RAMAI orang mengimpikan untuk menjadi seorang yang kaya-raya dari segi harta benda. Bagi mereka, kekayaan itu boleh memenuhi segala perkara yang diinginkan.

Ya, memang seronok apabila semua kemahuan dapat direalisasikan. Namun, tidak semua perkara boleh kita peroleh dengan kekayaan berkenaan umpamanya nikmat kesihatan.

Seperkara lagi, kita perlu ingat bahawa kekayaan sebenarnya juga merupakan antara satu bentuk ujian daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Masakan tidak, hal kekayaan bakal dipersoalkan di akhirat kelak. ALLAH akan tanya bagaimana kita menggunakan kemewahan yang dimiliki.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkata, disebabkan itu, umat Islam hendaklah sentiasa mendidik jiwa dan minda agar sentiasa dekat dengan YANG MAHA ESA.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

“Sedarilah bahawa setiap yang kita miliki adalah pinjaman ALLAH SWT dan DIALAH MAHA PEMBERI REZEKI termasuk mempunyai segala kuasa untuk menarik semula rezeki tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-NYA.

“Dengan rezeki yang dikurniakan-NYA, kita seharusnya menggunakannya ke jalan yang diredai ALLAH SWT. Jauhkan sifat bakhil dan ujub dalam diri.

“Sifat bakhil juga membawa ke arah perasaan yang cintakan dunia. Ia merupakan sifat tercela yang patut dihindari oleh semua Muslim terutamanya bagi mereka yang dikurniakan harta yang melimpah-ruah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Berkali-kali doa minta kaya, tapi tak dimakbulkan. Rupanya ALLAH gantikan dengan…)

Iklan

Ahli akademik itu turut menasihatkan masyarakat agar menggunakan rezeki dikurniakan ke jalan ALLAH. Ketahuilah, ALLAH SWT menjanjikan imbalan yang bukan calang-calang jika kita bersedekah ke jalan yang diredai-NYA.

Ujar beliau, ALLAH SWT menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kepada mereka yang membelanjakan hartanya ke jalan-NYA. Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT:“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat) kurnia-NYA, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-NYA.Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) ALLAH, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Baqarah, ayat 261-262) 

Iklan

Justeru, Ustazah Siti Fatahiyah mengajak umat Islam supaya merebut peluang untuk bersedekah ke jalan ALLAH dengan melakukan infak atau wakaf mengikut kemampuan masing-masing.

“Semoga amalan ini menjadi bekalan yang sangat berguna pada saat nyawa terpisah daripada badan. Amalan ini yang kita harapkan pada saat kita resah gelisah tatkala segala amalan kita dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” katanya.