BULAN Ramadan bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Kini memasuki fasa 10 malam terakhir, maka umat Islam diseru melipatgandakan amalan kepada ALLAH.

Sesungguhnya, ALLAH menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna diturunkan al-Quran iaitu Lailatul Qadar.

Ia adalah malam yang penuh keberkatan seperti firman ALLAH dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke tiga yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan.”

Itulah malam Lailatul Qadar dan ia pada bulan Ramadan seperti firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke-185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan antara yang hak dan yang batil.”

Menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berikut merupakan amalan-amalan yang biasa dilakukan Rasulullah SAW ketika memasuki 10 malam terakhir.

1. Mengetatkan ikatan kain di pinggang baginda

Imam al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lataif al-Ma’arif menyatakan bahawa perbuatan mengetatkan ikatan kain di pinggang baginda membawa erti baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda.

2. Menghidupkan malam

Ganjaran menghidupkan malam dapat diperoleh sekiranya seseorang itu melakukan solat Isyak atau Subuh secara berjemaah.

Abd al-Rahman bin Abd ‘Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, maka dia seumpama telah mendirikan solat separuh malam dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka dia seumpama telah mendirikan solat seluruh malam”. (Riwayat Muslim)

3. Membangunkan ahli keluarga untuk beribadah

Terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Baginda mengetuk pintu dan membangunkan Fatimah dan Ali bin Abi Talib lalu berkata: “Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat?” (Riwayat al-Bukhari).”

Selawat
SOLAT berjemaah adalah antara amalan yang dianjurkan oleh baginda SAW untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Kelebihan beribadah pada malam Lailatul Qadar:

1. Waktu diturunkan al-Quran secara sekali gus.

Al-Quran diturunkan ALLAH SWT pada malam disebut malam al-Qadr.

Diturunkan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Lebih baik dari 1000 bulan.

Firman ALLAH yang bermaksud, “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah al-Qadr:3).

3. Dosa diampunkan.

Rasulullah memberi galakan beribadat pada malam al-Qadr dengan sabda baginda yang bermaksud;

“Sesiapa yang melakukan qiyam pada Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Riwayat al-Bukhari)

Qiyam bermaksud menghidupkan malam dengan ibadah.

Baca juga Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam 10 terakhir Ramadan:

1. Menunaikan solat terawih dan qiyamullail
2. Membaca al-Quran
3. Beriktikaf
4. Bersedekah
5. Menunaikan solat fardu berjemaah
6. Berbakti kepada ibu bapa
7. Berzikir dan beristigfar
8. Berdoa اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Semoga ia dapat memberi manfaat bagi membantu kita dalam meningkatkan ibadah bagi memburu malam Lailatul Qadar.

Moga ALLAH merezekikan kita ganjaran beribadah pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 malam.