Keluarnya api dari Kota Aden iring manusia pada akhir zaman

Api dari Kota Aden
April 10, 2020
Nurulfatiha

MENJELANG hari kiamat kelak, dikisahkan bahawa orang mukmin yang masih hidup akan terlebih dahulu menemui Sang Pencipta. Menurut riwayat masyhur, insan terpilih itu akan meninggal dunia hanya dengan kiriman angin yang lembut.

Menurut kenyataan media Bahagian Kandungan TV Alhijrah, angin lembut bertiup sebelum dunia bertemu hari penamatnya. Peristiwa itu digambarkan berlaku selepas kematian Yakjuj dan Makjuj. Ketika itu, kaum Muslimin akan hidup makmur dan sejahtera.

Sabda Rasulullah SAW: “Tatkala mereka hidup dalam keadaan demikian itu, ALLAH mengirim sebuah angin lembut yang mengambil mereka dan mencabut nyawa setiap orang Mukmin dan Muslim, sehingga yang tinggal hidup hanyalah orang-orang yang kafir. Mereka saling bermusuhan di antara satu sama lain sebagaimana keldai saling bermusuhan antara sesama mereka. Pada mereka itulah kiamat akan terjadi.” (Riwayat Muslim)

Saat hampirnya api besar dari Lembah Aden, Yemen yang mengiringi manusia menuju ke mahsyar tiba, kota Madinah seolah-olah tidak berpenghuni. Ia berlaku selepas hancurnya Kaabah di Makkah yang turut memberi kesan kepada Madinah.

“Bahkan, seluruh binatang buas termasuk anjing dan serigala turut masuk ke dalam Masjid Nabawi,” kata kenyataan berkenaan kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Apabila munculnya api besar berkenaan, dua orang yang paling akhir dikumpulkan oleh api menuju ke mahsyar ialah pengembala dari Muzayanah yang hendak ke Madinah.

“Diceritakan bahawa pengembala tersebut berteriak mencari kambing mereka. Namun, binatang ternakan mereka sudah menjadi liar.

“Tanaman dan pepohon juga menjadi liar dan tidak terurus. Hinggalah suatu ketika tersebar berita bahawa akan munculnya api dari hadhramaut yang mengiringi manusia hinggakan mereka lari tunggang-langgang menyelamatkan diri masing-masing daripada api ganas yang terus menjalar ‘menghabiskan’ seluruh kota dan bumi,” kata kenyataan itu lagi.

Api dari Kota Aden
IKUTI episod 15 rancangan Al-Qariah yang membincangkan topik ‘Keluarnya Api dari Kota Aden’ jam 7.30 malam ini.

Untuk mengetahui perinciannya, jangan lepaskan peluang menonton episod 15 rancangan Al-Qariah pada jam 7.30 malam ini di TV Alhijrah.

Ia bakal dikupas oleh dua panel terkemuka, Datuk Badli Shah Alauddin dan Dr Muhammad Lukman Ibrahim serta dihoskan oleh Amin Idris.

Al-Qariah antara lain membincangkan tentang tanda besar hari kiamat. Rancangan itu yang mula menemui penonton sejak 3 Januari lalu bakal menutup tirainya pada Jumaat depan.

Jangan lepaskan peluang menyertai kuiz yang dipertandingkan dan menang hadiah yang ditawarkan. Caranya mudah.

Hanya mengumpulkan soalan pada setiap minggu selama 16 episod dan hantarkan semua jawapan serta butiran lengkap kepada pihak penganjur.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis