NAMA dan sifat-sifat ALLAH bukan sekadar terlafaz hanya di bibir. Alangkah indahnya jika sifat-sifat Sang Pencipta itu dijadikan sebagai inspirasi dan panduan untuk kita menjadi Muslim yang lebih baik di muka bumi ini.

Daripada 99 nama-nama ALLAH, ar-Rahman begitu dominan dalam bentuk kasih sayang. ALLAH SWT memperkenalkan nama-NYA itu pada Surah al-Rahman untuk kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepada makhluk-NYA.

Untuk menyahut panggilan ALLAH ar-Rahman, Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein berkongsi ilmu mengenai 12 ciri ibadurrahman dengan pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

USTAZ SAFRI

Untuk meraih sifat ar-Rahman, ALLAH SWT menyatakan ciri-ciri hamba ALLAH YANG MAHA PENGASIH atau disebut sebagai ibadurrahman dalam Surah al-Furqan ayat 63 hingga 77.

Ciri-ciri itu ialah:

Iklan
  1. Orang yang berjalan di muka bumi dengan rendah hati, tenang dan sopan santun. Ia merupakan ciri utama bagi hamba ALLAH yang penyayang iaitu berasa rendah diri di hadapan ALLAH dan meletakkan kedudukan yang sama di hadapan manusia.
  2. Orang yang mengucap salam (kata-kata yang baik) apabila berhadapan dengan perdebatan orang jahil.
  3. Orang yang tekun mengerjakan ibadah pada waktu malam ketika sujud dan berdiri dapat menghakis sifat sombong dalam diri.
  4. Orang yang banyak berdoa kepada ALLAH.
  5. Orang yang infak pada jalan ALLAH SWT tidak terlalu membazir dan kedekut, tetapi bersederhana.
  6. Orang yang tidak menyekutukan ALLAH SWT.
  7. Orang yang tidak membunuh manusia yang diharamkan ALLAH SWT kecuali dengan kebenaran seperti qisas.
  8. Orang yang tidak melakukan zina.
  9. Orang yang bertaubat dan membuat kebaikan. Ibadurrahmanbertaubat kepada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan amal soleh.
  10. Orang yang tidak memberi kesaksian palsu apabila bertemu dengan orang yang melakukan perbuatan tidak berfaedah.
  11. Orang yang diberi peringatan ayat-ayat ALLAH, tidak bersikap pekak dan buta.
  12. Orang yang sentiasa berdoa untuk diri, keluarga, keturunan dan umat Islam. Doa yang dipetik dari ayat 74 Surah al-Furqan:“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Secara ringkasnya, kita perlu berusaha menjadi ibadurrahman dengan memenuhi ciri-ciri di atas sebagaimana dinyatakan oleh ALLAH SWT YANG MAHA PENGASIH dalam Surah al-Furqan.

Sesungguhnya, ibadurrahman mampu menyebarkan kasih sayang dengan berpandukan al-Quran dan berakhlak sebagaimana sunah Rasulullah SAW. Semoga ALLAH SWT memberi taufik dan hidayah kepada kita, keluarga, keturunan dan umat Islam.

Iklan

Untuk mengetahui mengenai WUIF, layari Facebook, WorldQuranHour.