SERAMAI 945 belia berusia antara 18 hingga 35 tahun diisytiharkan bankrap sepanjang tempoh bulan Januari hingga Julai lalu. Jumlah itu adalah berdasarkan rekod terkini daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Melihat angka itu, ita cukup membimbangkan kerana melibatkan orang muda yang baru berjinak-jinak untuk mengumpul aset.

Segala harta hasil penat lelah tulang empat kerat, nampaknya hilang begitu sahaja. Semuanya berpunca daripada sikap sendiri yang gagal menguruskan wang dengan baik atau akibat pihak ketiga.

Jika ditanya, tiada seorang pun mahu menjadi muflis. Menyebutnya sahaja sudah membuatkan ramai yang tidak senang duduk dan gundah-gulana.

Apatah lagi membayangkan segala harta hasil penat lelah tulang empat kerat, nampaknya hilang begitu sahaja. Semuanya berpunca daripada sikap sendiri yang gagal menguruskan wang dengan baik atau akibat pihak ketiga.

Itu baru bercerita tentang muflis di dunia. Bayangkan apa yang berlaku apabila kita diisytiharkan muflis di akhirat kelak?

Ketahuilah, ketika kita dibangkitkan di akhirat pada hari kiamat, tiada apa-apa yang tinggal pada diri kita. Tatkala amalan dihisab, timbangan amal pula tidak seberapa.

Kemudian, ada pula orang yang datang menagih hutang di akhirat. Tahukah semua, untuk melangsaikannya, ia perlu dibayar menerusi amalan kebajikan yang pernah kita lakukan di dunia.

Justeru, apakah amalan yang digunakan untuk melunaskan hutang berkenaan? Kesalahan dan dosa apakah yang menjebakkan seseorang manusia itu muflis di akhirat? Bagaimanakah cara untuk kita bertaubat?

Lelongan amal

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz, perkataan muflis sebenarnya berasal daripada kalimah bahasa Arab, al-Muflisun.

HASSAN MAHMUD

Jelas beliau, dalam masyarakat kita, keadaan itu berlaku apabila mahkamah mengisytiharkan seseorang muflis apabila gagal membayar hutang.

“Ini bermakna, segala apa yang dimiliki termasuk wang, kereta dan sebagainya ditarik semuanya. Demikian penggunaan istilah muflis di dunia.

“Berbeza pula dengan pengertian muflis di akhirat. Ia membawa maksud seseorang itu kaya, mempunyai harta dan segala-galanya, tetapi semua itu tidak dinilai di akhirat kelak,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Beliau kemudian memetik sebuah hadis masyhur daripada Abu Hurairah RA tentang pengertian muflis di akhirat.

Rasulullah SAW pernah bertanyakan kepada sahabat: “Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?”

Lalu, sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.”

Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun, pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.

“Maka, diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu, lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, Hassan Mahmud menjelaskan, mereka yang muflis amalannya bukanlah orang yang tidak beribadah.

“Namun, disebabkan dirinya suka mencaci dan memaki hamun orang lain serta suka buat benda-benda yang tak baik melalui lisan iaitu lidah, tangan dan seterusnya melalui perbuatan, semua itu menjadi alat-alat senjata yang akan menyebabkan orang muflis di akhirat.

“Maknanya, apa jua amalan yang dilakukan baik menunaikan solat, zakat mahupun puasa, semuanya diberikan kepada individu yang kita caci makinya ketika di dunia. Malah, sekiranya orang yang dicaci itu ada dosa, dosa itu akan dipindah balik kepada orang yang mencacinya tadi. Na’uzubillah,” jelasnya.

Dosa mulut

Menyambung hujahnya, pendakwah itu menjelaskan, dosa akibat daripada mulut dan lidah paling banyak dilakukan oleh masyarakat sehingga boleh menjebakkan kita muflis di akhirat.

Muflis di akhirat

Apa tidaknya, dengan anggota berkenaanlah ia digunakan untuk mengumpat, mengata orang lain, bercakap perkara yang kotor, melalak dan seumpamanya.

“Ya, memang lidah tidak bertulang. Namun begitu, natijahnya begitu buruk. Ingatlah kita ada malaikat di sebelah kanan dan kiri kita mencatat segala perilaku kita.

“Malaikat di sebelah kanan akan mencatat kebaikan kita misalnya, kita rajin solat di masjid. Begitupun, apabila keluar sahaja dari masjid, kemudian kita mengata pula orang yang tidak solat begitu dan begini, ia akan dicatat oleh malaikat di sebelah kiri,” katanya.

Tambahan pula, ujar Hassan Mahmud, kecanggihan teknologi dan media sosial pada hari ini sememangnya sangat mudah untuk kita ‘menempah’ dosa muflis di akhirat.

“Begitu juga halnya dengan perkara-perkara menyakitkan yang kita lakukan kepada orang lain dengan menggunakan tangan seperti pukul orang, bunuh orang, merosakkan harta benda orang lain. Semua peranan tangan itu juga bakal diseksa di akhirat kelak. Balik di (akhirat) sana, memang muflis.

“Justeru, usahlah menabur fitnah, melaga-lagakan orang, buat gosip dan sebagainya dalam media sosial. Kelak apabila sudah meninggal dunia, segala perbuatan jahat itu akan dibawa sehingga hari akhirat. Tidak seperti harta yang boleh ditinggal di dunia, tetapi di akhirat, ia akan dinilai lain” ujar beliau.

(Artikel berkaitan: Buli orang tanpa rasa bersalah… Hati-hatilah, perbuatan itu bakal dituntut di akhirat kelak)

Bagaimana dosa dengan manusia hendak diselesaikan jika individu itu sudah meninggal dunia? Hassan Mahmud berkata, andai individu itu sudah tiada lagi di dunia, carilah keluarganya.

“Jika tak jumpa keluarganya, andai hutang itu berkaitan duit, makai a mestilah diserahkan kepada pusat anak-anak yatim, baitulmal dan sebagainya.

“Seandainya ia melibatkan dosa seperti memukul atau buat perkara yang tidak boleh dibayar kecuali dimaafkan oleh individu tersebut, maka kita kena bertaubat bersungguh-sungguh. Terpulang kepada ALLAH SWT sama ada mahu menerima taubat berkenaan atau tidak,” katanya.

Muflis di akhirat
ALLAH SWT akan menerima taubat seseorang yang bersungguh-sungguh dan menyesal atas perbuatan dosa yang dilakukan selama ini selagi nyawa belum sampai di kerongkong.

Kepada satu soalan, agamawan itu menjelaskan: “Jika seseorang bersekongkol mengumpat dan seumpamanya, dia juga dikira terlibat dan tidak akan terlepas daripada balasan ALLAH SWT di akhirat.”

Ujar beliau, di dalam al-Quran ada disebutkan bahawa jika kita mendengar orang lain berbincang benda lain sama ada mengata orang, berbuat fitnah atau merosakkan harta benda orang, tetapi kita hanya dengar saja dan diam, ia dikira bersubahat.

Bekal ketakwaan

Semua fakta dikemukakan oleh Hassan Mahmud turut dipersetujui oleh pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

PU FAIZ

Ujar beliau, mereka yang tergolong sebagai muflis di akhirat juga adalah termasuk dengan orang yang tidak membawa bekal ketakwaan kepada ALLAH SWT.

“Ertinya, dirinya bukan sahaja tidak membawa pahala dan amal kebajikan, tetapi juga tidak ada satu syafaat yang dapat diberikan kepadanya termasuklah daripada Nabi Muhammad SAW.

“Ketahuilah, seseorang itu masih ada lagi jalan pertolongan jika ada syafaat. Namun begitu, apabila seseorang tidak mendapat syafaat terutama daripada baginda SAW, maka dia dikira benar-benar seorang yang bankrap atau muflis. Pendek kata, dirinya tiada apa-apa lagi untuk menyelamatkannya,” katanya.

Jelas pendakwah itu, antara perkara yang menjadikan seseorang muflis adalah apabila seseorang itu beramal tanpa ilmu. Malah, amalnya juga akan tertolak.

Satu lagi perkara yang menyebabkan seseorang itu muflis di akhirat ialah golongan yang murtad, terang beliau.

“Andai kata seseorang itu telah pun Islam dan beriman, kemudian dia memutuskan daripada Islam, maka segala amalan dia yang dikerjakan beberapa puluh tahun bagaikan debu berterbangan.

Iklan

“Begitu juga dengan orang yang suka menyimpan hasad dengki kepada orang lain. Sikap itu akan menghancurkan segala amal kebajikan seseorang sepertimana api yang memakan kayu dan daun-daun yang kering,” jelasnya.

Justeru, PU Faiz mengingatkan dirinya dan seluruh umat Islam agar tidak menjadi muflis di akhirat yang jauh lebih dahsyat natijahnya berbanding muflis di dunia.

“Biar muflis di dunia, jangan di akhirat. Kalau kita muflis di dunia, walaupun tidak boleh buat pinjaman bank, tetapi kita masih lagi bernyawa di dunia ini dan mengecapi nikmat ALLAH lagi.

“Namun begitu, muflis di akhirat pula, tempatnya tidak lain dan tidak bukan adalah di neraka kerana amalnya tak diangkat, berterbangan dan diberikan kepada orang yang pernah dia lakukan dosa terhadapnya. Lebih malang lagi, apabila dirinya terpaksa menanggung juga dosa orang tersebut dan Rasulullah SAW tidak boleh memberikan syafaat kepadanya,” nasihatnya.

Apa jua tindakan yang dilakukan, fikirkanlah natijahnya di akhirat kelak. Ingatlah, dunia hanya tempat persinggahan yang menjadi jambatan kita di akhirat yang kekal abadi.

Lima perkara signifikan akan dihitung di akhirat

Kiamat itu pasti akan berlaku. Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada dihitung segala perbuatan yang dilakukan di dunia yang bersifat sementara ini.

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, terdapat lima perkara yang akan dihisab sebagaimana yang disebutkan dalam satu riwayat hadis.

USTAZ WAN AKASHAH

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam pada hari kiamat di sisi Tuhannya sehingga akan ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya dalam apa ia gunakan, tentang masa mudanya dalam apa ia habiskan, tentang hartanya dari mana ia peroleh dan dalam apa ia belanjakan, dan tentang apa yang ia amalkan dari yang ia ketahui (ilmu).” (Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis berkenaan, dapat difahami bahawa sesi ‘soal jawab’ di hadapan ALLAH akan berlanjutan sehinggalah semua perkara berkenaan dihitung sepenuhnya, ujar beliau.

“Makin panjang umur seseorang, maka lagi banyak soalan yang akan ditanya. Begitu juga dengan hartanya, ilmunya dan masa mudanya.

“Disebabkan itulah mungkin ada individu yang akan jadi muflis di akhirat selepas proses hisab dilakukan. Apatah lagi jika ia melibatkan hutang kita dengan manusia lain seperti berhutang wang, ambil rasuah, dapat duit berjoli, abaikan nafkah isteri dan anak serta selainnya.

“Barangkali ada orang pernah menghabiskan masa mudanya dengan mengata orang lain, mencuri hak orang lain waima menyakiti hati orang. Ingatlah, segala perbuatan ini akan kembali balik (dihitung) di akhirat kelak. Sesiapa pun tidak akan terlepas,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Agamawan itu berkata, dosa sesama manusia disifatkan paling berat apatah lagi ketika meniti titian Siratul Mustakim. Ini kerana, terdapat beberapa seksyen pada titian berkenaan.

“Daripada seksyen pertama iaitu sama ada dirinya orang Islam atau tidak, kemudian solat, zakat dan lain-lain sehinggalah akhir sekali hubungan manusia dengan manusia.

“Hubungan itu termasuklah dengan isteri, anak, rakyat, melibatkan hutang dan sebagainya. Itulah yang menyebabkan seseorang itu lambat masuk ke dalam syurga.

“Bayangkan kita hendak jumpa balik manusia itu (orang yang kita pernah buat salah kepadanya, tetapi tidak sempat meminta maaf). Ada berbilion manusia dikumpulkan di padang mahsyar,” katanya.

Iklan

Seperkara lagi, Ustaz Wan Akashah turut mengingatkan agar kita menjaga aib manusia di dunia. Ketahuilah, mereka yang menutup aib manusia di dunia, ALLAH SWT akan menutup aibnya di akhirat kelak.

“Ingatlah, apa jua perbuatan tidak kiralah baik atau sebaliknya, waima sekecil zarah yang dilakukan akan dicatatkan oleh malaikat,” nasihatnya.

ANEKDOT

TANDA-TANDA taubat diterima oleh ALLAH SWT

Muflis di akhirat

– Majoriti ulama menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi ALLAH SWT.

– Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih al-Ghafilin menyatakan, apabila ahli hikmah ditanyakan tentang tanda-tanda taubat seseorang diterima adalah:

1. Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang yang soleh.

2. Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadah.

3. Hilang rasa bersenang-lenang dengan dunia daripada hatinya dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.

4. Percaya dan yakin dengan jaminan ALLAH SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh ALLAH SWT.

Sumber: Al-Afkar 52: Tanda ALLAH SWT Menerima Taubat Seseorang, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik & 123rf