Kenali Ibnu Al-Syatir, ilmuan hebat cipta peralatan astronomi

Ibnu Al-Syatir
March 27, 2020
Oleh Nurulfatiha

DALAM bidang astronomi, nama Ibnu Al-Syatir terpahat antara ilmuan Islam dengan kelasnya yang tersendiri. Seantero dunia mengenali beliau dengan kehebatan ilmunya dalam bidang berkenaan.

Menelusuri sisi peribadinya dengan lebih rapat, pemilik nama sebenar Abu Al-Hasan Alauddin Ali Muhammad Al-Ansari itu dilahirkan pada 704 Hijrah iaitu bersamaan 1304 Masihi.

Iklan

Ibnu Al-Syatir
IBNU AL-SYATIR

Anak kelahiran kelahiran Damsyik, Syria itu terkenal dengan kemampuannya menjelaskan teori planet dan mencipta peralatan astronomi yang digunakan oleh mereka yang mendalami serta mengkaji ilmu berkenaan.

Namun begitu, tidak banyak kisah peribadi beliau ketika masih kecil yang diceritakan. Pengisahannya hanyalah berkisar tentang Ibnu Al-Syatir kehilangan bapanya ketika beliau berusia enam tahun.

Selepas itu, beliau dipelihara oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang pengukir. Maka, tidak hairanlah cendekiawan itu berupaya menguasai ilmu kesenian ukiran.

Iklan

Dengan bakat yang dimilikinya itu, beliau memanfaatkannya. Ibnu Al-Syatir mampu menghasilkan seni ukiran menggunakan gading yang diminati oleh kebanyakan golongan kaya dan sanggup membeli pada harga tinggi.

Dengan pulangan hasil karya seninya itu, Ibnu Al-Syatir mampu mengelilingi dunia dan berkunjung ke banyak negara termasuk Iskandariah untuk mendalami ilmu astronomi.

Iklan

Antara ciptaannya yang paling masyhur adalah astrolab iaitu alat yang digunakan untuk  mengira jarak bintang yang lebih dekat.

Ibnu Al-Syatir
CONTOH astrolab iaitu alat yang digunakan untuk mengira jarak bintang.

Jika diteliti, astrolab itu berbentuk cakera yang diperbuat daripada kayu ataupun logam. Pada bahagian tepi alat itu, terdapat ukuran darjah, manakala di tengahnya pula ada jarum penunjuk boleh bergerak.

Ya, walaupun hanya peralatan kuno, namun alat itu mampu mengukur ketinggian bintang di langit. Kehebatannya memang tidak boleh disangkal lagi apabila Ibnu Al-Syatir membuat pembetulan alat penunjuk waktu. 

Sumbangan

Menariknya, beliau hanya menggunakan bayang-bayang matahari di atas permukaan jam yang dinamakan sebagai mizwalah.

Pun demikian, ada satu penemuan Ibnu Al-Syatir yang dipinggirkan. Ia adalah teori heliocentrism iaitu matahari sebagai pusat sistem suria. Ramai yang menganggap teori itu datangnya hasil cetusan ahli ilmu falak dari Poland, Nicolaus Copernicus.

Bagaimanapun, ahli sejarah astronomi mendapati fakta bahawa teori planet mengelilingi matahari sebenarnya diambil daripada Ibnu Al-Syatir.

Menurut orientalis Inggeris, David King, kebanyakan teori yang dikaitkan dengan Copernicus sebenarnya ‘dicedok’ daripada Ibnu Al-Syatir. 

Berdasarkan kajian terhadap manuskrip Arab di Poland pada tahun 1973, ia menunjukkan bahawa Copernicus mengambil penemuan dalam buku Nihayat Al-Sul Fi Tashih Al-Usul nukilan ilmuan Islam berkenaan.

Seperkara, Ibnu Al-Syatir juga antara individu penting yang berjaya mencipta alat untuk mengetahui waktu solat. Ia dinamakan sebagai al-Basit yang kemudiannya diletakkan di menara azan Masjid Umawi di Damsyik.

Ibnu Al-Syatir
MODEL planet hasil idea Ibnu Al-Syatir sebelum ini pernah dipinggirkan walaupun beliau individu terawal yang mencetuskannya.

Menjadi resam seorang ilmuan hebat, figura berkenaan tidak terlepas untuk menjilidkan ilmu yang dimiliki dengan mengarang 30 buah buku.  Antaranya Risalah fi Ta’liq, Urjuzah fi al-Kawakib, Risalah ‘an Sun al-Usturlab, kitab al-Mukhtasar fi Sun al-Usturlab dan Risalah fi Usul ‘llm al-Usturlab.

Begitu besar sumbangan beliau dalam bidang astronomi hinggakan karyanya pernah dianggap sebagai sebuah revolusi ilmiah sebelum Renaisans.

Menurut riwayat yang masyhur, tokoh hebat berkenaan meninggal dunia pada 777 Hijrah bersamaan 1375 Masihi

PROFIL

Nama: Abu Al-Hasan Alauddin Ali bin Muhammad  Al-Ansari

Gelaran: Ibnu Al-Syatir

Tahun kelahiran: 704 Hijrah (1304 Masihi)

Tempat lahir: Damsyik, Syria

Tahun kematian: 777 Hijrah (1375 Masihi)

Kepakaran: Astronomi, matematik dan kejuruteraan

Sumbangan:

– Mencipta peralatan astronomi seperti astrolab.

– Memberi penjelasan tentang teori planet mengelilingi matahari.

Karya agung: Risalah fi Ta’liq, Urjuzah fi al-Kawakib, Risalah ‘an Sun al-Usturlab, kitab al-Mukhtasar fi Sun al-Usturlab dan Risalah fi Usul ‘llm al-Usturlab. 

Sumber: Portal Masjid Wilayah Persekutuan, https://dakwah.kamikamu.net/ dan  www.muftimelaka.gov.my

Foto: www.muftimelaka.gov.my, Wikipedia, dakwah.kamikamu.net dan istinteam.blogspot.com/

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis
Iklan