KADANG kita asyik mengeluh dan runsing dek rezeki yang dirasakan tidak mencukupi. Rasa resah dan gelisah hingga tak senang duduk dibuatnya.

Sedang kita tahu, jodoh, rezeki, ajal, maut sudah ditentukan olehNYA. Tapi seringkali kita seakan hilang arah dan punca.

Jika itu yang dirasakan, bacalah perkongsian international influencer yang juga Pengerusi NGO Serantau Muslim, Hakim Mohd Nor juga dikenali dengan gelaran Ustaz Hakim Avengers ini:

Ada jalan keluar

Ustaz Hakim

Ada orang mengeluh belum bertemu jodoh.

Ada yang gelisah belum ada cahaya mata.

Ada yang risau belum dipanggil bekerja walau dah hadiri berpuluh interview.

Ada yang cuak bisnes tak berjalan seperti yang diharap.

Ada yang bimbang hutang masih belum dapat dibayar pada masanya.

Ada yang takut kereta ditarik kerana tidak mampu membayarnya.

Ada yang seram dengan peperiksaan yang akan di hadapinya.

Pelbagai permasalahan yang dihadapi. Semuanya gusar bila rezeki akan tiba.

Sabar dulu. Tarik nafas. Bertenang.

Percayalah, ALLAH akan beri jalan keluar permasalahanmu. ALLAH akan beri rezeki dari jalan yang tak disangka-sangka.

Ya, rezeki tidak pernah salah alamat. Sama ada cepat atau lambat.

Dalam al-Quran, alamat atau tanda seseorang itu akan menerima rezeki yang banyak adalah apabila dia mula:

1. Bertaqwa
2. Bertawakal
3. Bersedekah
4. Bersyukur
5. Beristighfar / Bertaubat
dan banyak lagi.

Kalau teliti senarai ni, kita dapati ia ada persamaan. Semuanya nak ajak kembali beribadat kepada ALLAH.

Iklan

Inilah dia sebenarnya fungsi sebenar kita sebagai manusia, iaitu untuk beribadat.

Seandainya kita tidak menjalankan fungsi sebenar, kita akan rosak. Seumpama pen yang fungsinya untuk menulis dijadikan sebagai sendal pintu. Ia pasti rosak.

Jadi, bagaimana nak betulkan semula keadaan?

Jawapannya, pergilah ke pangkal jalan dan baiki keadaan.

Seumpama tali benang yang berpintal, sekiranya ingin di huraikan, maka mulakan dari pangkalnya. Cari puncanya.

Iklan

Dan, punca atau pangkal kepada penyelesaian semua permasalahan ada pada ALLAH. Kembalilah kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan berikanmu jalan keluar permasalahanmu.

Ingat, rezeki itu tidak pernah salah alamat.

Ustaz Hakim Avengers

Moga bermanfaat!