SEGELINTIR orang melakukan sesuatu perkara tidak kiralah dalam urusan pekerjaan mahupun kehidupan dengan sambil lewa sahaja.

Baginya, asalkan suatu perkara itu selesai, maka sempurnalah urusan dan kerjanya di situ. Lebih menyedihkan apabila seseorang itu enggan bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan jika ada kesilapan di mana-mana.

Sikap itu begitu menjengkelkan. Ia menunjukkan seolah-olah kita tidak ikhlas menguruskan perkara berkenaan.

Selama ini, kita selalu dengar pendakwah hatta masyarakat di sekeliling selalu menyatakan bahawa kerja itu adalah satu ibadah.

Hakikatnya, memang benar pernyataan itu. Islam memandang pekerjaan juga satu ibadah. Malah, skop ibadah sebenarnya lebih luas.

Demikian perkongsian pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid yang menjelaskan tentang kerja dan ibadah menerusi instagram miliknya dan @cocombee baru-baru ini.

Beliau terlebih dahulu berkongsi cerita tentang satu kisah yang berlaku pada zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab RA. Ada seseorang yang selalu beriktikaf di masjid.

“Sudah tentu ketika beriktikaf itu, orang tadi akan berzikir, membaca al-Quran dan pelbagai lagi,” katanya.

Menyambung ceritanya, Saidina Umar lantas bertanyakan kepada orang tadi: “Kamu ada keluarga?”

Individu berkenaan mengiyakan.

Tanya Saidina Umar RA: “Lalu siapa yang bagi nafkah kepada kamu dan keluarga kamu?”

Orang itu menjawab: “Saudara aku.”

Mendengarkan jawapan itu, Saidina Umar RA lantas menyatakan: “Saudaranya lebih beribadah daripada orang itu.”

Berdasarkan kisah berkenaan, Habib Ali Zaenal Abidin berkata, jelaslah ibadah itu tidak dihadkan dengan hanya berzikir, solat dan membaca al-Quran sahaja.

“Dalam kisah itu dinyatakan bahawa saudaranya kerja. Barangkali saudaranya itu jual beli, ada kedai dan sebagainya untuk mencari duit atau cari rezeki yang tujuannya untuk beri nafkah.

“Nafkah itu diberikan kepada orang yang di masjid tadi. Bayangkan, takkan ada orang di masjid kalau tak ada orang beri makan kepada dia.

“Jadi jelaslah bahawa ibadah tidak terhad kepada zikir dan sebagainya…tidak,” jelasnya.

Kerja

Iklan

(Artikel berkaitan: Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih)

Ketahuilah, setiap pergerakan kita dalam bentuk khidmat kepada alam ini yang diniatkan kerana ALLAH SWT akan menjadi ibadah, terang beliau.

“Bukan (sahaja khidmat) kepada manusia saja, hatta kepada binatang, alam semula jadi, hutan, sungai dan laut (pun turut dikira sebagai ibadah).

“Pendek kata, apa sahaja pergerakan kita untuk khidmat kepada alam ini dan diniatkan pada khidmat itu untuk ALLAH SWT, maka ia akan jadi ibadah,” jelas beliau.Kerja

Habib Ali Zaenal Abidin turut mengingatkan kita tentang hadis masyhur berkaitan seseorang yang akan masuk ke syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW menceritakan bahawa seorang lelaki melihat seekor anjing memakan tanah kerana kehausan. Lalu lelaki itu mengambil kasut lalu memberikan air kepada anjing itu dengan kasut tersebut sehingga anjing itu hilang dahaga. Lalu ALLAH bersyukur kepada lelaki itu dan memasukkannya ke dalam syurga. (Sahih al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita pelacur diampuni oleh ALLAH. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni kerana hal tersebut. (Sahih al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa memberi minum kepada anjing dikira sebagai satu bentuk ibadah juga.

Iklan

“Anjing juga merupakan makhluk Tuhan. Ingatlah, bukankah orang masuk neraka gara-gara kucing diikat tak diberi makan?,” soalnya.

Justeru, bersungguh-sungguhlah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Jangan lupa berniat kerana ALLAH SWT atas setiap pergerakan kita yang baik dan memberikan manfaat kepada makhluk lain.

Semoga ia dikira sebagai ibadah yang boleh memberatkan timbangan amal kita sebagai bekalan di akhirat kelak.

Sumber: Instagram habibalizaenalalhamid & @cocombee

Foto: Freepik