MESKIPUN tidak sempurna seperti insan lain, tetapi ia bukanlah penghalang untuk orang kurang upaya (OKU) mendalami kalam ALLAH.

Bahkan, bagi golongan insan yang tidak boleh mendengar, mengaji al-Quran tanpa suara memberi makna begitu mendalam buat mereka. Masakan tidak, ia menjadi jihad besar mereka untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

Lebih mulia lagi apabila ilmu kemahiran membaca al-Quran dikongsikan dengan golongan senasib.

Demikian yang dilakukan oleh Ustaz Marzuki Ong Maliki Ong yang dipilih sebagai Tokoh Anugerah Khas Orang Kurang Upaya Cemerlang pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan tahun 2016.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bersama dua rakannya, Ustaz Mohd Azhar Islam dan Ustaz Haji Aqlam Jafri menjadi pendakwah Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Mereka mengajar al-Quran tanpa suara menggunakan pendekatan Ejaan Jari Arab (EJA) di seluruh negara.

Ustaz Marzuki juga antara pewakaf al-Quran melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah melalui kempen #QuranHour.

“Saya mula membaca terjemahan al-Quran Tafsir ar-Rahman dalam bahasa Melayu semasa di Tingkatan Empat. Disebabkan kurang mahir berbahasa Melayu, saya pernah tersilap tafsir ayat 5, Surah Al-Fatihah kerana menyangkakan perkataan Engkau itu adalah kamu, rupa-rupanya merujuk kepada ALLAH SWT.

“Antara cabaran yang saya hadapi adalah masalah pemahaman terjemahan dan tafsir bahasa Melayu, masalah hafal kalimah al-Quran dalam bahasa Arab selain ketiadaan guru al-Quran yang mahir guna bahasa isyarat.

“Pada usia 45 tahun, saya mula tahu membaca, mengeja dan menulis ayat al-Quran serta tahu bacaan solat dalam bahasa Arab. Itu pun selepas bacaan saya disemak oleh guru yang berkemahiran EJA,” cerita beliau ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Kini, Ustaz Marzuki Ong dan rakan seperjuangannya daripada PRISMA giat menganjurkan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk golongan OKU pendengaran Muslim secara percuma.

Mengaji al-Quran
USTAZ MARZUKI ONG (tengah, tiga dari kanan) bersama Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Kelantan, Dr Johari Yap (tengah, tiga dari kiri) dan ahli MACMA lain ketika mengikuti kelas asas BIM beberapa bulan lalu.

“Walaupun kami tidak boleh mendengar dan bercakap, tetapi kami ada perasaan. Jadi, tiada alasan untuk kami belajar mengaji dan solat seperti orang lain.

“Alhamdulillah, isteri saya, Maslinda Khamis yang juga warga OKU pekak, selalu beri dorongan dan kekuatan kepada saya,“ katanya yang kini komited menghasilkan al-Quran Bahasa Isyarat Malaysia (Q-BIM) langkah demi langkah tanpa mengubah kalimah Arab dan terjemahan bahasa Melayu mengikut piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Tafsir Ayat Mesra OKU Pekak.

Pendakwah itu menambah, beliau juga menggunakan platform media sosial untuk membantu sahabat yang ingin bertanyakan mengenai agama.

Dalam pada itu, Ustaz Marzuki berkata, PRISMA sedang memproses Buku Bahasa Isyarat Malaysia Islam Jilid 2 dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

“Ia diharapkan dapat memenuhi permintaan golongan OKU Pekak beragama Islam yang dahagakan ilmu agama Islam.

“Mereka sebenarnya teringin untuk mempelajari al-Quran Isyarat sebab tidak pernah sentuh al-Quran sejak lahir hingga dewasa.

“Dianggarkan ada seramai 22,800 orang pekak Muslim di seluruh negara. PRISMA telah membantu lebih 500 orang daripada mereka untuk membaca dan mengenal ayat al-Quran,” katanya.

Ustaz Marzuki Ong berkata, PRISMA dengan kerjasama MFD berusaha mengumpulkan dana sebanyak RM800,000 bagi membangunkan projek Q-BIM dan Bahasa Isyarat Malaysia Islam (BIM-I).

Penulis: Fouziah Amir