RUMAHKU, syurgaku. Frasa itu sering kali diungkapkan oleh masyarakat kita. Jelas betapa pentingnya rumah yang selesa kepada kehidupan kita.

Tidak hairanlah jika ramai yang suka menghias kediaman mereka dengan begitu cantik dan memberikan ketenangan.

Ini kerana segala kehidupan kita bermula dengan kediaman. Rumah yang mendamaikan akan memberikan persekitaran yang relaks dan positif kepada diri.

Kadangkala segala macam cara sudah dilakukan bagi memberikan mood yang berbeza di dalam kediaman masing-masing.

Namun, ia seolah-olah tidak memberikan kesan.

Hati rasa tidak tenang, jiwa rasa gelisah, hubungan suami isteri tidak berjalan dengan baik, anak-anak kerap menangis atau bergaduh dan seumpamanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Jika ada petanda yang kelihatan pelik tanpa punca yang jelas seperti ini, maka rajin-rajinkanlah diri untuk membaca Surah al-Baqarah di rumah masing-masing.

Surah kedua dalam al-Quran itu sering dikaitkan sebagai amalan untuk 'memagar' rumah daripada gangguan syaitan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bacalah oleh kalian Surah al-Baqarah, sesungguhnya membacanya adalah keberkatan manakala meninggalkannya adalah kerugian dan ia tidak akan mampu ditahan oleh para tukang sihir." (Riwayat Muslim)

Iklan

'Pagar' rumah


Bukan itu sahaja, dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya Surah al-Baqarah." (Riwayat Muslim dan al-Nasa'ie)

Jika ada petanda yang kelihatan pelik tanpa punca yang jelas seperti ini, maka rajin-rajinkanlah diri untuk membaca Surah al-Baqarah di rumah masing-masing. Surah kedua dalam al-Quran itu sering dikaitkan sebagai amalan untuk 'memagar' rumah daripada gangguan syaitan.

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, apa yang dimaksudkan dengan menjadikan 'rumah seperti perkuburan' adalah: "Rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan. Maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati.

(ARTIKEL BERKAITAN: Cat rumah dengan berus yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu babi, apa yang perlu kita lakukan)

Iklan

"Di antara makna lain bagi hadis ini adalah tidak boleh mengebumikan orang-orang yang mati di dalam rumah. Akan tetapi, hadis ini menunjukkan pada makna yang pertama iaitu rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan." (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 146/8)

Berdasarkan nas di atas, jelas begitu besarnya fadilat Surah al-Baqarah. Namun, ia perlulah dibaca penuh bermula daripada ayat satu hingga ayat terakhir iaitu ayat ke-286.

Andai tidak mampu, fokuskanlah kepada dua ayat terakhir Surah al-Baqarah pada waktu malam.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada malam hari, maka ALLAH akan mencukupinya." (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, hidupkanlah rumah kita dengan alunan kalamullah dan mengamalkan zikir-zikir yang dianjurkan oleh Islam.

Mudah-mudahan ia akan menjadi pelindung dan pendinding kepada diri serta ahli keluarga daripada sebarang gangguan.

Apa-apapun jangan sesekali tinggalkan ibadah fardu yang wajib iaitu solat lima waktu. Siapa lagi yang hendak kukuhkan 'tiang agama' dalam rumah kalau bukan diri kita sendiri.

Sumber: Instagram fiqih.remaja & laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan