Lazimkan diri berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW terutama pada hari Jumaat. Ini sebabnya

Selawat
March 5, 2021
Oleh Nurulfatiha

MENJADI satu rahmat buat diri kita apabila dilahirkan sebagai umat Islam. Masakan tidak, kita sudah ditunjukkan jalan yang lurus sejak dari dalam kandungan lagi.

Sesungguhnya, kita merupakan insan yang cukup bertuah dan beruntung kerana menjadi umat kepada nabi serta rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Banyak keistimewaan yang dikurniakan kepada umat baginda berbanding umat-umat zaman nabi sebelumnya.

Meskipun tidak berkesempatan bertemu secara empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak menyelami keperibadian dan sirah baginda.

Itu adalah antara bukti kecintaan kita kepada insan yang bergelar kekasih ALLAH SWT. Antara pendekatan paling mudah dan sering kali dilakukan oleh kebanyakan dalam kalangan kita adalah dengan berselawat ke atas nabi.

Selawat itu sebagai puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang dizahirkan bagi menunjukkan manifestasi kecintaan kita terhadap baginda. Sememangnya wajar untuk kita berbuat demikian kerana dilahirkan sebagai umatnya.

Kenapa kita digalakkan berselawat? Bilakah waktu yang sesuai untuk kita berbuat demikian?

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

ALLAH, para malaikat berselawat

Sebelum mengupas lanjut tentang topik berkenaan, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood mengajak umat menelusuri keperibadian Nabi Muhammad SAW.

SITI FATAHIYAH

Jelas beliau, Rasulullah SAW ialah manusia paling agung yang mempunyai akhlak paling terpuji.

Ia ditonjolkan ketika baginda bertindak sebagai ketua negara, ketua agama, ketua dalam peperangan, ketua keluarga dan pada saat nabi menjadi hamba ALLAH.

“Sesungguhnya, ketinggian dan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW menjadikan baginda figura dambaan setiap mukmin.

“Ketaatan dan kepatuhan baginda kepada ALLAH SWT dan mengutamakan pengabdian kepada-NYA dalam setiap tindakan dan perwatakannya menjadikan Nabi Muhammad SAW begitu dikasihi oleh ALLAH SWT,“ katanya ketika ditemu bual Sinar Islam secara maya baru-baru ini.

Selain mentaati ALLAH SWT dan rasul-NYA, ujar Siti Fatahiyah, sudah pasti sebagai hamba-NYA, kita perlu menyuntik rasa cinta yang mendalam terhadap Sang Pencipta dan kekasih-NYA itu.

Disebabkan itulah ibadah berzikir dan berselawat sangat penting untuk kita amalkan, ungkapnya.

“Di samping itu, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu ibadah yang telah disyariatkan ke atas orang-orang yang beriman.

“Bahkan, ALLAH SWT dan para malaikat juga berselawat ke atas baginda,“ katanya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.“ (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Sebagai orang yang beriman, beliau menambah, kita hendaklah sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, di samping berzikir kepada ALLAH SWT bagi mendidik hati dan jiwa kita.

 

 

Selawat
BERSELAWAT mendidik hati dan jiwa kita.

Ganjaran besar menanti

Ketahuilah, ganjaran bagi mereka yang berselawat ke atas nabi ada dicatatkan dalam kitab suci umat Islam dan beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.“ (Riwayat Muslim)

Selain itu, Siti Fatahiyah menjelaskan, dengan lafaz pujian yang mulia kepada junjungan besar nabi kita itu diharapkan kita peroleh syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.“ (Surah al-Mudatthir, ayat 48)

Menyambung hujahnya, Siti Fatahiyah menjelaskan, berselawat ke atas nabi sebenarnya dapat mendidik hati, jiwa dan akal kita untuk menjadi hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur atas rahmat-NYA.

“Pada masa sama, ia melatih kita sentiasa reda atas segala ujian yang ditakdirkan.

“Dengan cara tersebut, hati, jiwa dan akal kita akan menjadi cekal dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang penuh dugaan dan cabaran.

“Andai kita lalai daripada melakukan ibadah dan berzikir serta berselawat, dikhuatiri ia akan membuatkan hati kita menjadi keras, mudah rapuh serta lalai ketika mendapat ganjaran di dunia atau ketika diuji,“ jelasnya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar tidak meninggalkan selawat. Luangkanlah sedikit waktu untuk membasahkan lidah dengan lafaz mulia dan puji-pujian kepada ALLAH SWT serta Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya, amat besar ganjaran kepada mereka yang berzikir dan juga berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Bak kata perumpamaan, sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia akan memperbanyakkan menyebutnya.

“Pendekatan itu juga menjadi tanda kecintaan kita kepada ALLAH SWT dan junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Semoga kita bakal mendapat ganjaran-ganjaran tersebut agar kita beroleh kejayaan, keberkatan dan keampunan dalam kehidupan di dunia ini dan di akhirat nanti,“ ujarnya.

Apakah sebenarnya hukum berselawat? Ketika diajukan persoalan itu kepada pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, beliau menjelaskan, majoriti ulama berpendapat bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan satu ibadah.

Iklan
BAKHTIAR FITRI

“Apabila disebut ibadah itu, maksudnya kita akan memperoleh pahala jika melakukannya. Ia sama seperti hukum berzikir, bertahmid dan juga tasbih.

“Begitupun, kita perlu ingat bahawa hukum selawat ke atas nabi adalah wajib sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada bila-bila masa.

“Hukum wajib itu disebabkan ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi bahawa orang yang bakhil ialah seorang yang tidak berselawat ke atas nabi,“ katanya.

Mengulas tentang waktu sesuai berselawat, pendakwah itu menjelaskan, ia sangat digalakkan pada bila-bila waktu.

Namun begitu, dalam sebuah hadis riwayat Abu Umamah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya, selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku di dalam syurga.“ (Riwayat al-Baihaqi)

“Hadis itu jelas memberitahu supaya kita memperbanyakkan selawat pada malam Jumaat dan hari Jumaat,“ jelasnya.

Kepada satu soalan, Bakhtiar Fitri menjawab: “Cara selawat yang tepat adalah dengan lafaz yang penuh. Sebaik-baiknya, berselawatlah dengan lafaz Allahumma salli ‘ala sayyidina Muhammad.

“Ada ulama menyebut, kita tambah dengan perkataan sayyidina itu sebagai menghormati baginda dan beradab dengan nabi. Demikianlah lafaz yang tepat bila kita hendak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.“

Memperoleh syafaat nabi

Meneruskan perkongsian ilmunya, Bakhtiar Fitri kemudian menjelaskan kelebihan apabila kita kerap kali berselawat.

Selawat
MEREKA yang sering melazimkan diri dengan berselawat berpeluang untuk memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.

Ujar beliau, mereka yang sering melazimkan diri berbuat demikian, ALLAH SWT akan menurunkan rahmat ke atasnya.

“Rahmat itu adalah kasih sayang ALLAH, bantuan-NYA dan cinta ALLAH kepada kita.

“Sebenarnya, maksud asal kalimah selawat itu adalah limpahan kasih sayang. Ini bermakna, siapa yang paling banyak selawat ke atas nabi, maka dirinya akan dapat kasih sayang yang melimpah-ruah daripada ALLAH.

“Itulah namanya keberkatan yang diterima asbab berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,“ katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Bakhtiar Fitri, mereka yang banyak berselawat ke atas nabi akan memperoleh syafaat baginda SAW pada hari akhirat kelak.

“Begitupun, untuk mendapatkan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW, usah bergantung kepada selawat semata-mata.

“Ya, memang kita kena banyak berselawat. Namun, ingatlah bahawa ada cara lain yang membolehkan kita memperoleh syafaat baginda.

Iklan

“Pertama, kita perlu betul-betul yakin bahawa Nabi Muhammad SAW ialah utusan ALLAH yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Bukan setakat yakin saja, tetapi kita juga kena ikut apa yang nabi buat.

Selawat
SOLAT berjemaah adalah antara amalan yang dianjurkan oleh baginda SAW untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.

“Kedua, umat Islam perlu sedar bahawa ALLAH SWT akan memberi keizinan kepada nabi untuk memberikan syafaat. Mudah kata, Nabi Muhammad SAW hanyalah perantaraan untuk kita mendapatkan bantuan daripada ALLAH SWT.

“Ingatlah, setiap umat Islam yang hendak mendapatkan syafaat, jangan sama sekali mensyirikkan ALLAH SWT. Seperkara, banyakkan amalan yang nabi suka. Banyakkanlah berbuat kebaikan kerana semua itu nabi suka dan tinggalkanlah perkara kejahatan. Mudah-mudahan amal kita tadi memudahkan kita masuk ke dalam syurga,“ ujarnya.

Baca juga Ayuh tanamkan azam banyak berselawat. Ini sebabnya…

‘Syukur jadi umat Nabi Muhammad SAW, banyak keistimewaan dikurniakan’

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan.

Ketahuilah, ALLAH SWT banyak memberi keistimewaan kepada umat nabi terakhir dalam Islam, kata pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi.

AHMAD LUTFI

Jelas beliau, antara keistimewaan itu adalah kita menjadi umat yang terbaik dan umat yang pertama masuk ke syurga.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Kita (Muhammad SAW dan umatnya) adalah umat yang terakhir dan yang pertama pada hari kiamat, kita ialah orang yang pertama masuk syurga.“ (Riwayat Muslim)

“Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga akan memaafkan umat Nabi Muhammad SAW saat kita terlupa, memberi pahala dua kali ganda, selain berpeluang menerima syafaat daripada baginda SAW.

“Malah, dalam sebuah hadis turut dinyatakan tentang kelebihan umat Nabi Muhammad yang dapat memberikan syafaat kepada orang lain.

“Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga pula dihadirkan pada hari kiamat dengan wajah yang bersinar kerana kesan wuduk.

“Subhanallah, begitu banyak sekali kelebihan yang ada pada kita sebagai umat baginda SAW,“ katanya.

Walaupun umat baginda dikatakan sebagai umat terbaik, namun Ahmad Lutfi mengingatkan bahawa kita perlu memenuhi syarat tertentu sebagaimana dijelaskan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110.

“Selain beriman kepada ALLAH, kita perlu memiliki kewajipan amar makruf nahi mungkar, menyuruh ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran.

“Andai umat terdahulu beriman dan melakukan amal makruf nahi mungkar, nescaya mereka pun lebih baik daripada umat Rasulullah SAW.

“Ertinya, jika kita tidak menepati ciri-ciri tersebut, gelaran umat terbaik boleh saja terlepas daripada diri kita. Bahkan, bukan mustahil bila kita menjadi umat yang sebaliknya,“ katanya.

Begitupun, ujar beliau, tidak perlulah kita berkecil hati. Sebaliknya, berusahalah mempertahankan keimanan, selain melakukan segala perintah ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-NYA.

Di samping itu, katanya, Rasulullah SAW juga telah mengkhabarkan kepada kita sejumlah keistimewaan yang hanya diberikan kepada umatnya.

“Berbeza dengan umat terdahulu yang mana mereka diperintahkan untuk berdoa dan dijamin pengabulannya hanya oleh nabi mereka,“ ujarnya.

ANEKDOT

SYAFAAT Nabi Muhammad SAW

Selawat– Terdapat dua jenis syafaat Nabi Muhammad SAW iaitu syafaat khusus (asy-Syafa‘atul uzma) dan syafaat umum.

Asy-Syafa‘tul uzma adalah permohonan baginda kepada ALLAH supaya disegerakan perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di padang mahsyar.

– Lantas, kita pun bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan baginda memohon kepada ALLAH supaya umat Nabi Muhammad dipercepatkan pengadilan di padang mahsyar.

– Selain itu, ada beberapa syafaat nabi yang lain. Antaranya, baginda SAW berupaya meninggikan kedudukan seorang hamba ALLAH daripada satu syurga kepada syurga yang lebih atas dengan izin-NYA.

– Kedua, syafaat nabi kepada orang yang masih ada saki baki iman dalam dirinya. Dengan izin ALLAH SWT, baginda SAW boleh membantu seseorang keluar dari neraka untuk masuk ke dalam syurga.

– Ketiga, syafaat nabi untuk membantu orang ketika berada di al-Mizan (tempat timbang amal kebaikan dan kejahatan manusia). Baginda SAW akan membantu memberatkan timbangan amal kita.

– Selain itu, antara syafaat nabi termasuklah memasukkan orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab. Maknanya, ada kelompok manusia yang masuk syurga tanpa dihisab.

– Seterusnya adalah syafaat Nabi Muhammad SAW yang dikurniakan kepada umatnya untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar daripada seksaan api neraka.

Sumber: Pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid

Foto: Freepik

 

About Nurulfatiha

Biodata Penulis