Nurflix bina rangkaian media Islamik antarabangsa, lebih 1,000 konten dapat ditonton menjelang akhir tahun ini.

July 13, 2021
Oleh Lynn Mazlina

PENANGAN penularan Covid-19 yang semakin meruncing kini mendorong platform penstriman video dengan kandungan Islamik, Nurflix melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media Islamik antarabangsa.

Ketua Pegawai Eskekutifnya, Syah Mohamed berkata, pihaknya bakal menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan dan media Islamik dari luar negara.

“Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti.

“Nurflix bakal memiliki kandungan dan kolaboratif dengan (syarikat penerbitan luar negara) seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia.

Justeru, dianggarkan terdapat lebih 1,000 konten untuk ditonton menjelang akhir tahun ini, insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, Nurflix juga sedang dalam perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat untuk generasi.

Dengan jalinan rangkaian ini, kita berharap kandungan dan program dari luar boleh kita tonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia juga ditonton di luar sana. Sudah tiba masa untuk rangkaian ini diperkasakan,” terangnya.

Syah menambah, kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurlix juga akan memberi peluang pekerjaan post produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa.

Iklan

Iklan

Inisiatif tersebut juga dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dari dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna.

Lebih istimewa, ujar Syah, Nurflix mempunyai sasaran untuk menjadi platform pembelajaran, bukan semata-mata hiburan dengan menonton filem dan drama semata-mata.

Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.

 

"Naik taraf ini akan dilancarkan sempena 1 Muharram atau 10 Ogos 2021 dan akan memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia akan lebih stabil dan pantas,” terang Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang akan dilaksanakan kelak.

Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ini, Nurflix berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat-penggiat media Islamik sekaligus menggerakkan ekonomi terutama di sektor penerbitan dan media sepanjang dunia dilanda pandemik. Harga pakej langganan baharu juga akan turut diumumkan pada Ogos akan datang.

Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore & Google Playstore.

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis