KEBANYAKAN daripada kita pasti pernah berhutang, tidak kiralah sama ada daripada orang lain, bank ataupun institusi berkaitan.

Berapa pun jumlahnya, ia wajib dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun, adakalanya kekangan tertentu membuatkan kita rasa ‘terhimpit’ untuk membayarnya. Barangkali ada perkara mendesak yang menyebabkan hutang itu ‘terbabas’ untuk dibayar.

Ia bukan bermaksud kita enggan membayarnya. Cuma kekangan tadi membuatkan diri kita sukar untuk menjelaskannya pada waktu itu atau bulan tertentu.

Masakan tidak, kita sendiri tidak tahu pasang surut kehidupan pada masa akan datang.

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.

Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

Ini doa yang dianjurkan sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis masyhur:

Pertama

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.

Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”

Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?”

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.  Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.
BERDOALAH semoga ALLAH memudahkan urusan kita dalam melunaskan hutang.

Kedua

Bahawa ‘Aisyah RA memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari azab kubur, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah Dajal, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Artikel berkaitan: Harus viralkan orang tak bayar hutang di media sosial?)

Ketiga

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang ENGKAU memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan ALLAH). Ya ALLAH! ENGKAULAH yang awal, sebelum-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang terakhir, setelah-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-MU. ENGKAULAH yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-MU. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” (Riwayat Muslim)

Keempat

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, ALLAH akan selesaikanya untuk kamu?”

Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-MU daripada bergantung kepada selain-MU.” (Riwayat al-Tirmizi)

Begitu banyak doa yang boleh kita amalkan. Iringilah usaha kita untuk membayar hutang dengan doa yang dianjurkan.

Semoga ALLAH memudahkan urusan kita untuk melunaskan hutang sebelum ajal datang menjemput.

Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-180: Doa-Doa untuk Melangsaikan Hutang, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & https://news.detik.com/