RAMAI orang beranggapan mereka pandai mendidik anak-anak masing-masing. Hakikatnya, sebagai ibu bapa, kita juga sedang mendalami proses pembelajaran melalui pengalaman dalam mendidik zuriat sendiri.

Masakan tidak, kita tidak pernah diajar tentang cara untuk mendidik anak-anak secara formal. Jauh sekali menggenggam segulung sijil mahupun ijazah keibubapaan.

Sebab itulah ilmu keibupabaan perlu digali sendiri. Jangan anggap ia suatu perkara yang mudah kerana tanggungjawab yang dipikul begitu berat. Sedar atau tidak, kitalah yang mencorakkan anak-anak dan membentuk sahsiah mereka. Ia bukan sekadar menyediakan makanan, pakaian dan keperluan sahaja.

Dalam hal ini, Islam menganjurkan kita untuk mendidik anak-anak secara berhikmah. Bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang hebat?

Surah Luqman menceritakan perihal seorang hamba ALLAH bernama Luqman al-Hakim yang dikurniakan hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anak-anaknya.

Walaupun beliau bukanlah seorang nabi ataupun rasul, namun Luqman al-Hakim merupakan bapa yang hebat sehinggakan ALLAH SWT merakamkan namanya dalam al-Quran.

Malah, dua kali nama Luqman disebut dalam al-Quran menerusi ayat 12 dan 13, Surah Luqman.

Penasihat Rumah Ngaji Malaysia, Ustaz Safri Muhammad Zein berkongsi kisah bagaimana Luqman berkomunikasi dan mendidik anak-anaknya menerusi Tadabbur Ayat-Ayat Keluarga yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook QuranHour.

Ayat yang hebat
USTAZ SAFRI

Ujar beliau, ALLAH menggambarkan Luqman sebagai seorang ayah yang hebat. Beliau diberikan al-Hikmah iaitu mengerjakan suatu perkara dengan ilmu pengetahuan yang dikurniakan-NYA.

“Seseorang yang ada ilmu apabila beribadah dengan ilmu yang diberikan oleh ALLAH SWT, dia akan mendapatkan hikmah daripada ALLAH.

“Salah satu kehebatan Luqman ialah beliau sentiasa bersyukur kepada ALLAH. Para ayah perlu mencontohi Luqman. Apakah kita termasuk sebagai seorang ayah yang bersyukur kepada ALLAH? Apakah kita termasuk dalam orang yang mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan kepada kita seperti kesihatan, keluarga, harta dan sebagainya?,” ujar beliau mengajak kita supaya bermuhasabah diri.

Ketika Luqman berkata dan menasihatkan anaknya, jelas Ustaz Safri, lafaz ya’izu pada ayat 13, Surah Luqman ada perbezaan dengan nasihat. Ya’izu diambil daripada perkataan mau’izah.

Iklan

“Nasihat merupakan sekumpulan kata-kata pilihan yang bernilai dan baik sifatnya iaitu amar makruf nahi mungkar. Mau’izah pula bermaksud ucapan dalam bentuk keperibadian berunsur nasihat, tetapi isinya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

“Jadi, tugas seorang ayah itu tidak hanya menasihati anaknya, tetapi juga melakukan mau’izah iaitu memberikan peringatan dan larangan dalam bentuk motivasi atau apa jua keadaan dapat memberikan bimbingan kepada anak tersebut,” jelas beliau.

Ayat yang hebat
AYAH yang hebat akan membentuk keperibadian yang baik kepada anak dan keluarga mereka.

Bukan itu sahaja, seorang ayah juga perlu menggunakan nama panggilan anak yang paling indah dalam menyampaikan mau’izah seperti mana yang dilakukan oleh Luqman kepada anaknya, terang Ustaz Safri.

“Luqman menggunakan panggilan Ya bunayya (wahai anak kesayanganku). Dalam konsep bahasa Arab, perkataan Ya bunayya merupakan panggilan yang paling indah, lembut dan boleh memberi kesan kepada orang yang mendengar khususnya kepada anak.

Iklan

“Justeru, gunakanlah panggilan yang indah-indah kepada anak kita seperti Along, Angah, Adik, Baby dan sebagainya supaya mau’izah itu sampai kepada anak-anak. Jangan panggil dengan suara yang tinggi dan tidak menyedapkan hati. Tunjukkan keperibadian kita sebagai seorang ayah yang hebat,” jelas beliau.

Pendek kata, untuk menjadi seorang ayah yang hebat, kita memerlukan empat perkara penting ini sebagai asas sebagaimana dilakukan oleh Luqman al-Hakim:

1. Seorang ayah mestilah sentiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan ALLAH SWT.

2. Tanamkan sifat syukur ke dalam diri, isteri, keluarga dan anak-anak.

3. Berusahala untuk memiliki kebijaksanaan iaitu bagaimana menyampaikan dan menyalurkan maklumat yang baik kepada anak terutama dalam bimbingan akidah atau tauhid agar keluarga kita tidak mensyirikkan ALLAH.

4. Sentiasa berdialog dan berkomunikasi dengan anak. Komunikasi merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan kita sehinggakan hampir 14 kali ALLAH SWT menyebut komunikasi antara seorang ayah dengan anak dalam al-Quran.

Ya, memang berat tanggungjawab ketua keluarga ini. Namun, kita berusahalah menjadi ayah yang terbaik untuk anak-anak kita.

Kelak, mereka juga akan berbuat perkara yang sama kepada kita dan generasi mereka.