MELIHAT aneka juadah lazat yang terhidang di depan mata membuatkan sesiapa sahaja terliur.

Apatah lagi, jika dalam keadaan lapar. Tidak semena-mena nafsu makan membuak.

Pun begitu, Islam mengajar kita agar berpada-pada ketika makan dan minum, selain tidak gelojoh serta membazir.

Apakah adab makan dan minum yang dianjurkan oleh syariat? Benarkah jika makan berlebih-lebihan, kita ibarat seperti orang kafir yang makan dengan tujuh perut?

Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersikap bersederhana dan tidak melampau.

“Begitu juga halnya apabila membabitkan soal makan. Jangan tamak, sebaliknya ambil makanan diperlukan sahaja dan dalam kadar sedikit supaya tidak membazir.

“Bersikap gelojoh adalah tidak baik kerana ia mencerminkan perilaku negatif kita di hadapan orang lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Hidup berjiran

Beliau turut menitipkan nasihat yang pernah disampaikan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya iaitu: “Wahai anakku, apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran) dan anggota badan pun terasa berat daripada ibadah.”Bukan itu sahaja, ujar pensyarah berkenaan, sebenarnya terdapat banyak keburukan apabila perut seseorang terlampau penuh.

Seperti analogi Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa perut yang kenyang ibarat pohon yang disirami dengan air secara berlebihan sehingga akhirnya merosakkan batang dan akarnya (menjadi rapuh dan reput).

“Apabila perut terlalu kenyang, ia menyebabkan otak kita menjadi lemah dan malas untuk melakukan perkara lain termasuk beribadah,” jelasnya.

Beliau kemudian memetik pandangan Sheikh Abu Sulaiman al-Darani yang menyatakan, terdapat enam ‘penyakit’ yang bakal dihadapi apabila seseorang terlalu kenyang.

Ia melibatkan hilang kemanisan beribadah, sukar menghafal, kurang rasa simpati pada orang lain, malas beribadah, meningkatkan hawa nafsu dan kerap ke tandas.

Selain itu, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, kesihatan manusia sebenarnya berkait rapat dengan pemakanan.

manisan

Iklan

Katanya, jika kita tidak menjaga pemakanan dengan baik, badan kita mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.Ia bertepatan dengan satu hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya.” (Riwayat Ahmad).

Sementara itu, menurut pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa turut mengingatkan agar kita tidak makan secara berlebih-lebihan yang disifatkan menyerupai orang kafir yang makan dengan tujuh perut.

Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.” (Riwayat al-Bukhari)

ANEKDOT
Cara pemakanan selari dengan saranan agama:

  1. Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  2. Makan dengan perlahan-lahan dan tidak gopoh atau gelojoh.
  3. Menetapkan saiz hidangan makanan supaya tidak makan berlebihan.
  4. Pilih makanan yang seimbang dan rendah kalori.
  5. Elakkan makanan berlemak dan tinggi kandungan gula.
  6. Dalam Thibbun Nabawi karya Ibnul Qayyim rahimahullah (751 Hijrah), beliau menjelaskan bahawa pengambilan makanan perlulah pada kadar yang betul.

Baca juga Tempoh solat jamak dan qasar apabila kita dibenarkan balik kampung

Iklan

Ini penting bagi mengelakkan beberapa masalah sekiranya pemakanan tidak dikawal seperti:

1. Menyukarkan proses penghadaman.
2. Menyempitkan pernafasan dan akan menjadi faktor terganggunya fungsi tubuh dan jantung.
3. Kekenyangan yang melampau akan mengurangkan daya tubuh.
4. Menaikkan berat badan.

Sumber: Sinar Islam Plus