SEGELINTIR orang gemar mengambil peluang untuk berbual ketika waktu makan. Apatah lagi jika seseorang itu bekerja.

Sudah tentu waktu rehat itu dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja untuk makan, tetapi juga berbual panjang bersama rakan sekerja.

Masakan tidak, itu sahajalah masa yang ada untuk berborak panjang sebelum kembali meneruskan kerja-kerja yang tergendala.

Kekok pula jika suasana terlalu sunyi ketika sedang menikmati makanan.

Namun begitu, sejak kecil lagi, kita sering kali diingatkan oleh ibu bapa masing-masing supaya tidak bercakap ketika makan.

Ketahuilah bahawa tidak semua perkara kita boleh lakukan ketika makan. Ada perkara yang dilarang. Bahkan, ada juga perkara yang diharuskan sebagaimana yang diajar oleh agama Islam kepada umatnya.

Ketika makanan berada di dalam mulut atau sedang mengunyah makanan, kita dilarang sama sekali untuk bercakap. Makruh hukumnya seandainya kita berbuat pada masa itu.

Bagaimanapun, jika tiada makanan di dalam mulut atau dalam erti kata lain, kita tidak mengunyah makanan, maka hukum bercakap atau berbual adalah harus.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi hidangan telah bersabda: “Sebaik-baik lauk adalah cuka. Sebaik-baik lauk adalah cuka.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis berkenaan dalam kitab Syarah Muslim menyatakan: “Dan pada hadis ini menganjurkan berbual ketika makan sebagai menjinakkan hati sesama orang yang makan.” 

Walaupun dibenarkan untuk berbual ketika tidak mengunyah makanan, namun perkara yang dibualkan itu mestilah melibatkan perbualan yang baik.

Mudah kata, perbualan tadi tidak dilarang oleh syarak.

Dalam hal itu, Imam al-Ghazali ada memberikan panduan yang boleh kita bualkan.

Iklan

Kata Imam al-Ghazali: “Setengah daripada adab-adab makan itu adalah bercerita pada masa makannya itu dengan cerita-cerita kebaikan dan bercerita kisah orang-orang soleh tentang makanan dan lainnya.” (Ihya Ulumiddin)

Ingatlah, berbual ketika makanan masih berada dalam mulut adalah adab tidak elok. Perbuatan itu boleh menyebabkan makanan yang dikunyah terjatuh atau kita tersedak.

Islam itu begitu cantik mengajar umatnya tentang adab termasuklah ketika makan.

Iklan

Jom sama-sama kita jaga adab ketika makan. Usahlah bercakap dengan makanan penuh dalam mulut hinggakan tersembur keluar.

Bukan sahaja tidak sopan, malah rakan yang melihatnya pula akan jadi kurang senang dengan keadaan itu.

Sumber: Instagram uaioriginal