Makanan yang dibuang, dicampak adalah habuan syaitan. Justeru jangan sesekali membazir apalagi mencela makanan

February 7, 2021
Oleh Nurulfatiha

KITA sememangnya sudah diajar sejak dari kecil lagi supaya tidak mengata tentang makanan. Walaupun kita tidak suka dengan hidangan tersebut, jangan sesekali menzahirkannya.

Paling tidak pun, hormatilah makanan itu. Tidak perlulah menjamahnya jika kita tidak menyukainya. Itulah adab yang diajarkan oleh agama Islam.

Sekalipun sajian tersebut masin atau barangkali tidak sedap, jangan sesekali kita mencelanya. Masakan tidak, pada hakikatnya, makanan itu juga adalah ciptaan ALLAH SWT.

Mungkin juga akan ada hati yang terasa mahupun terguris dengan komentar kita dengan pernyataan jujur tadi.

Ketahuilah, Islam begitu melarang umatnya menghina dan mencela makanan. Apatah lagi mencampakkan makanan sewenang-wenangnya.

Pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini berkongsi tentang larangan tersebut.

PU SALMAN

Komentar itu dibuat selepas beliau menonton sebuah rancangan yang mana pelakonnya mencampakkan doh roti canai merata-rata dan berkali-kali.

Ujar beliau, tindakan itu sangat tidak baik kerana ia bertentangan dengan apa yang dianjurkan dalam agama Islam.

Iklan

“Bukan itu sahaja, Islam juga melarang umatnya menghina makanan. Dalam hal ini, Imam Sayuti berkata: “Pijak makanan sangat makruh, bahkan mencampakkan atas lantai pun dilarang (makruh) kerana ada hadis”,” katanya.

Dalam pada itu, PU Salman turut memperbetulkan kesilapan yang seringkali dilakukan oleh kebanyakan masyarakat berkaitan perihal makanan.

Ketahuilah bahawa makanan yang dibuang dan dicampak adalah habuan syaitan, jelas beliau.

Buang makanan

Iklan

Bahkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila jatuh suapan makanan, hendaklah kamu kutip dan bersihkan daripada kotoran, selepas itu makan dan jangan biarkan untuk syaitan.” (Riwayat Muslim)

PU Salman menambah, mereka yang membuang makanan itu sebenarnya sudah melakukan pembaziran.

“Bayangkan makanan jin pun nabi cukup hormati dan melarangnya daripada dicemari, apatah lagi makanan manusia.

“Bahkan, dalam sebuah Hadis Riwayat at-Tirmizi, baginda SAW melarang kita daripada beristinjak dengan najis binatang (kerana ia jijik) dan tulang kerana ia merupakan bekalan makanan untuk jin,” jelasnya.

Buang makananSesungguhnya, ada banyak keburukan apabila kita membazir-bazirkan makanan dan mencelanya.

Janganlah kita sesekali bersikap sedemikian rupa kerana semua itu merupakan rezeki pemberian ALLAH SWT.

Bagi makanan yang sudah terjatuh tanpa sengaja, segeralah kita mengutipnya jika diyakini masih bersih. Mungkin sahaja makanan yang terjatuh tadi ada keberkatan di dalamnya.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: Freepik & Facebook PU Salman

About Nurulfatiha

Biodata Penulis