APABILA ternampak anak-anak kencing berdiri, terus sahaja ibu bapa memarahi mereka. Pada masa sama, nasihat diberikan agar tidak lagi anak tadi berbuat demikian.

Ya, kita sememangnya diajar supaya menjaga adab sekalipun sedang membuang air kecil. Demikian perkara yang diterapkan sejak kecil lagi.

Malah, perkara itu juga selari dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya supaya membuang air dalam keadaan duduk.

(Artikel berkaitan: Bersembang dalam telefon ketika dalam tandas, ini hukumnya yang perlu kita tahu)

Menjelaskan perkara itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, walaupun ada segelintir orang percaya bahawa air kencing mereka yang berdiri akan menjadi ubat kepada syaitan yang luka akibat azan, namun, tanggapan itu adalah al-faqir.

DA’I FUAD

“Tidak maklum dan jumpa riwayat berkaitan.

“Namun, menurut Imam Zahabi, perbuatan tidak menguruskan najis dengan baik adalah antara perilaku dosa-dosa besar. Ia penting bagi memanifestasikan keindahan Islam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Da’i Fuad turut mengemukakan sebuah hadis yang memerihalkan cara Rasulullah SAW ketika membuang air kecil.

Menurut Hadis Riwayat at-Tirmizi: “Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah SAW itu kencing berdiri, maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah SAW itu kencing melainkan dalam keadaan duduk.”

Berdasarkan hadis itu, ujar Da’i Fuad, ia jelas membuktikan larangan untuk kencing berdiri. Namun, telah wujud suatu hadis yang berlawanan dengan penyataan di atas.

Hadis yang dimaksudkan berbunyi: “Nabi Muhammad SAW mendatangi tempat buangan sampah sebuah kaum, kemudian baginda kencing secara berdiri. Kemudian, baginda meminta air, lalu aku membawanya dan baginda pun berwuduk.” (Riwayat al-Bukhari)

Kencing berdiri

Iklan

Beliau kemudian menukilkan pandangan Imam Ibnu Hajar bahawa Nabi Muhammad SAW membuang air kecil dengan cara itu untuk membuktikan kencing berdiri itu tidak haram.

“Namun, harus difahami bahawa ia hanyalah satu pengajaran daripada nabi dan bukannya galakan oleh baginda untuk kita berbuat demikian.

“Tuntasnya, menurut Mazhab Imam Syafie, hukum kencing berdiri adalah makruh,” tegasnya.

Kencing berdiri

Bagi Da’i Fuad, secara peribadinya, beliau menganggap perbuatan itu agak menjelikkan. Apatah lagu jika ia dilakukan di tandas-tandas awam terutama oleh orang lelaki.

“Ayuh kita cuba elakkan. Ingat, kencing berdiri makruh, ‘kencing’ orang hukumnya haram,” tegasnya.

Iklan

Apa-apapun, jangan biasakan diri kita daripada melakukan perkara yang makruh. Bukankah lebih elok jika kita melaksanakan perkara yang sunah, itu lebih baik.

Bahkan, ganjaran pahala sudah pasti menanti.

Sumber: Instagram @daifuadmokhtar

Foto: Freepik