PADA hari ini, kita telah memasuki pertengahan bulan Syaaban. Ini menandakan bulan Islam ini bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan digantikan dengan bulan Ramadan.

Pastinya ramai yang mengambil peluang berpuasa pada hari ini iaitu 15 Syaaban bagi melengkapkan puasa ayyamul bidh (hari putih) mereka.

Hari putih bermaksud pertengahan bulan Islam meliputi 13, 14 dan 15 hari bulan qamariah iaitu hari yang disunatkan berpuasa dalam agama suci ini.

Selepas pertengahan bulan Syaaban, ada yang keliru sama ada mereka boleh meneruskan ibadah puasa atau tidak.

Ini kerana ada pandangan menyatakan larangan berpuasa selepas 15 Syaaban. Benarkah begitu?

Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki memperincikan jawapannya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

USTAZ MUSTAFAR

Jom kita baca penerangan ringkas dan mudah difahami ini:

“Diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, janganlah kamu berpuasa.” (Riwayat al-Nasaie, Ahmad, al-Tirmizi dan selainnya)

Akan tetapi, status hadis berkenaan diperselisihkan oleh para ulama. Imam al-Tirmizi menyatakan, hadis itu hasan sahih, manakala Imam Ahmad menyatakan hadis ini munkar (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lemah, bersalahan dengan perawi yang terpecaya atau perawi yang fasik dan sering melakukan kesilapan).

Iklan

Adapun bagi ulama yang menyatakan hadis ini lemah, maka sudah tentu mereka mengharuskan berpuasa selepas separuh bulan Syaaban sama ada berpuasa sunat mahupun ganti seperti pendapat Imam Ahmad dan selainnya.

Mazhab Syafie pula menyatakan, hukum berpuasa selepas separuh bulan Syaaban adalah dilarang ataupun makruh, melainkan bagi sesiapa yang biasa melazimi puasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa hari putih berserta puasa ganti.

Ia disebabkan ada hadis dalam Sahih Muslim yang mana Saidatina Aisyah RA menyatakan, Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban.

Iklan

Maka, sesiapa yang melazimi puasa pada hari Isnin dan Khamis atau atau berpuasa ganti, tidak mengapa untuk mereka melakukannya walaupun selepas separuh bulan Syaaban,” jelas beliau.

Semoga jawapan ini dapat meleraikan kekusutan kita yang mungkin keliru sebelum ini.

Kepada mereka yang belum habis berpuasa ganti, jangan pula jadikan hukum ini sebagai alasan tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan pada tahun lalu. Lunaskanlah hutang ganti puasa sebelum tibanya Ramadan yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.