HAJAT di hati ingin singgah ke masjid untuk menunaikan solat. Pada masa sama juga mahu menumpang tandas di masjid untuk mengqada hajat.

Malangnya, setelah sampai ke tempat berkenaan, tandas pula ditutup kerana dalam proses baik pulih. Terpaksalah dipendamkan hasrat untuk membuang air di tandas.

Lantas kita mengambil wuduk dan mendirikan solat dalam keadaan menahan buang air kecil atau air besar tadi.

Situasi itu barangkali pernah dilalui oleh kebanyakan daripada kita, bukan? Apatah lagi, jika kita dalam perjalanan yang jauh atau terlibat dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

Ada orang kata, tidak sah kita solat dalam keadaan menahan kencing atau buang air besar.

Benarkah begitu? Apakah pandangan agama Islam tentang perkara ini?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustaz Syed Bakri Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed menjelaskan, solat dalam menahan kencing itu tetap sah, cuma hukumnya adalah makruh.

Ia sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada solat ketika hadirnya makanan dan tidak ada solat juga dalam keadaan seseorang itu menahan diri daripada membuang air kecil dan besar.” (Riwayat Muslim)

Beliau turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi yang mensyarahkan tentang hadis tersebut.

(Artikel berkaitan: Tinggalkan atau tak solat langsung, ramai yang tak pandang ini sebagai jenayah, padahal…)

Kata Imam al-Nawawi: “Dalam hadis ini menunjukkan makruhnya solat seseorang dalam keadaan makanan telah disediakan dan dia perlukan makanan tersebut, kerana hal ini akan menyebabkan hatinya sibuk memikirkan makanan tersebut dan penyebab kepada hilangnya khusyuk dalam solat.

Iklan

“Begitu juga dengan makruhnya solat seseorang dalam keadaan dia menahan dirinya daripada membuang air kecil dan besar, ia menyebabkan hatinya tidak tenang dan solatnya tidak khusyuk.

“Dan kedua-dua keadaan ini hukum solatnya makruh mengikut pandangan mazhab kami dan selain daripada kami jika dia solat dalam keadaan waktu solat yang panjang.

“Manakala jika waktu solat hampir ke penghujung waktunya, maka dia mesti solat untuk menjaga waktu solatnya serta tidak boleh dia melewatkannya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/26)

Tahan kencing
SOLATLAH dalam keadaan penuh khusyuk dan tidak terganggu dengan urusan lain.

Berdasarkan ungkapan tersebut, PU Syed berkata, jika ada sesuatu yang ‘menyibukkan’ daripada kekhusyukan dalam hatinya ketika solat, maka selesaikanlah terlebih dahulu urusan berkenaan supaya kita boleh khusyuk ketika beribadah kepada-NYA.

“Begitu juga dengan perbuatan menahan diri daripada membuang air kecil dan besar, ia sangat mengganggu kekhusyukan dalam solat.

“Membuang air kecil dan besar merupakan hajat yang perlu diselesaikan dengan segera tanpa perlu ditangguhkan. Solat dalam keadaan menahannya (air kecil dan besar) akan merosakkan solat itu sendiri yang mungkin akan menyebabkan rukun-rukun qauli dan fi’li tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan sempurna.

“Berkemungkinan juga disebabkan dia menahan, akan menyebabkan najis tersebut terkeluar sedikit dan mengenai pakaiannya,” katanya.

Justeru, usahlah kita menahan diri daripada melepaskan hajat berkenaan. Setelah itu, dirikanlah solat dengan penuh khusyuk.

Iklan

Itu sahajalah waktu kita dengan ALLAH SWT. Sudah pastilah kita ingin dilihat dan berada dalam keadaan sempurna ketika ‘menghadap-NYA’.

Sumber: Instagram syedbakri_alyahyaofficial

Foto: 123rf & Freepik