SETIAP manusia yang diciptakan oleh ALLAH SWT adalah sebaik-baik ciptaan. Betapa beruntungnya kita dilahirkan dalam keadaan cukup sifat dan anggota badan.

Sepatutnya kita bersyukur kerana dijadikan ALLAH SWT dengan penuh kesempurnaan. Meskipun berbeza dari segi rupa paras dan fizikal, namun semua itu datangnya daripada ALLAH SWT.

Namun, entah kenapa ada segelintir orang yang kadangkala tergamak untuk menghina orang lain. Hakikatnya, kita dan orang yang dihina itu masing-masing merupakan hamba ALLAH yang hanya berasal daripada tanah. Malah, tanah itulah yang kita pijak di muka bumi ALLAH ini.

Begitupun, mulut begitu mudah menuturkan kata-kata hinaan yang mencerca orang lain. Bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, malah ada juga kanak-kanak yang sudah pandai merendah-rendahkan orang lain.

“Woi si gemuk, mari sinilah main. Asyik makan saja kerja kau ni.”

Demikian antara lontaran perkataan yang dikeluarkan oleh anak-anak kecil yang begitu menyakitkan telinga. Barangkali kata-kata itu masih belum difahami oleh mereka. Mungkin juga kanak-kanak yang dihina itu masih lagi tidak faham.

Andai dibiarkan begitu, lama-kelamaan kanak-kanak tersebut akan hidup dengan penuh rasa rendah diri akibat ejekan rakan-rakan.

Hina orang lain

Pendakwah Datuk Ustaz Kazim Elias menegaskan, manusia tiada hak untuk menghina orang lain kerana kita semua adalah ciptaan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “DIALAH yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-NYA…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 6)

Melihat kalamullah berkenaan, jelas Ustaz Kazim, kita tidak berhak untuk mencerca kerana semua kejadian itu adalah atas kehendak ALLAH SWT.

“Sebab itu kita tak boleh hina orang. Jangan sibuk menghina hidung orang.

“Siapa kita nak panggil orang hitam? Siapa kita nak panggil orang hidung kembang dan telinga capang? Siapa kita?

“ALLAH yang bentukkan dia (orang itu). Itu adalah hak ALLAH. Kita tidak hak nak untuk campur, untuk bagi markah dan kutuk ciptaan ALLAH,” tegasnya sebagaimana yang dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram @jom_kuliah baru-baru ini.

Iklan

Ketahuilah, Islam melarang keras kita mengejek mahupun menghina orang lain. Sekalipun individu berkenaan ialah musuh kita atau orang bukan Islam.

Demikian nasihat yang dikemukakan oleh pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz ketika ditemu bual penulis awal tahun ini.

(Artikel berkaitan: ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’)

Ujar beliau, sewajarnya kita memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia kerana tidak dijadikan sedemikian rupa.

Iklan

Agamawan itu menegaskan, kalam ALLAH ada menyebut bahawa sesiapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, ia ibarat memakan bangkai saudaranya yang sudah mati.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya…” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Maka, jauhilah sikap sedemikian yang bukan sahaja mengundang dosa, tetapi boleh menjebakkan kita menjadi muflis di akhirat andai tidak sempat bertaubat.

Sumber: Instagram @jom_kuliah & Sinar Islam