“BILA ibadah solat difardukan ya? Kenapa kita wajib tunaikan solat?”

Barangkali itulah antara soalan yang bersarang dalam minda segelintir orang. Walaupun ramai yang menunaikan ibadah itu, tetapi masih ada orang yang kurang jelas kenapa mereka melakukannya.

Sebenarnya, ibadah itu mula difardukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj iaitu pada 27 Rejab yang jatuh pada hari Ahad ini. Sesungguhnya, peristiwa itu merupakan mukjizat besar Nabi Muhammad SAW. Momen tersebut turut dirakamkan dalam al-Quran dan hadis.

Kejadian Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj dibawa menaiki buraq iaitu makhluk berbentuk seperti binatang tunggangan pada sebahagian malam itu bukanlah kisah dongeng atau mimpi.

Sesungguhnya ia adalah perkara benar, bahkan, kisah itu yang memberi makna besar kepada seluruh umat Islam hingga ke hari ini keranaperintah solat mula difardukan ketika itu.

Lebih istimewa apabila ibadah berkenaan diperintahkan ketika Nabi Muhammad SAW datang bertemu ALLAH SWT di Sidratul Muntaha dan bukan melalui perantaraan malaikat.

Solat 50 waktu

Memerihalkan tentang Israk dan Mikraj, pendakwah Ustaz Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi menjelaskan, Israk merupakan perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa. Istimewanya, perjalanan dari Baitulmaqdis di Palestin itu dengan menaiki sejenis binatang dipanggil sebagai buraq.

Solat
USTAZ HANAFI

Firman ALLAH SWT: “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang KAMI berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI.” (Surah al-Isra’, ayat 1) 

Mikraj pula, kata beliau, ia merupakan perjalanan ‘naik’ Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha (langit).

“Ketika dalam perjalanan naik itulah, baginda SAW bertemu dengan nabi-nabi sebelum ini seperti Nabi Adam, Musa dan Ibrahim AS sebelum bertemu ALLAH SWT di Sidratul Muntaha (langit) berdasarkan kepada hadis riwayat Muslim.

“Ketika itulah, baginda diperintahkan solat 50 waktu pada setiap hari. Begitupun, apabila berhadapan dengan Nabi Musa AS di langit keenam, Nabi Musa menasihatkan baginda SAW meminta tawar kerana merasakan umat Nabi Muhammad tidak mampu untuk melakukannya. Selepas beberapa kali berulang-alik bertemu ALLAH, maka jadilah lima rakaat solat sehari,” katanya kepada Sinar Islam ketika mengimbas kembali peristiwa Israk dan Mikraj.

Sekembalinya baginda SAW ke Masjidil Haram pada waktu subuh, Ustaz Hanafi berkata, kejadian itu membuatkan Rasulullah SAW termenung.

“Apabila ditanyakan oleh Abu Jahal, baginda menceritakan tentang peristiwa berkenaan. Lalu, Abu Jahal mengumpulkan penduduk Makkah untuk mendengar apa yang dilalui baginda. Malangnya, baginda ditertawakan kerana orang kafir menganggap peristiwa itu tidak logik,” jelas beliau.

Uji keimanan

Sungguhpun demikian, tambah Ustaz Hanafi, tujuan berlakunya Israk dan Mikraj adalah untuk ‘menurunkan’ solat dan menghiburkan hati Nabi Muhammad SAW.

Solat
SOLAT merupakan tiang agama yang wajib dipelihara untuk menguatkan iman dan membentengi diri kita.

“Ketika itu, baginda berdukacita dengan kematian isterinya yang tercinta, Saidatina Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib.

“Bukan itu sahaja, ia juga untuk menguji keimanan baginda menceritakan kepada umatnya, selain mereka yang mendengarnya sama ada percaya atau tidak dengan kekuasaan ALLAH. Ya, betapa berkuasanya ALLAH yang boleh menggerakkan hamba-NYA merentasi masa melihat syurga dan neraka. Itu semua kekuasaan ALLAH,” jelasnya.

Sesungguhnya, setiap apa yang berlaku itu terselit hikmah di sebaliknya. Dalam peristiwa luar biasa itu, kata agamawan itu, ia menunjukkan kebesaran ALLAH SWT.

“Bayangkan perjalanan yang mengambil masa antara 30 hingga 40 hari menaiki kuda atau unta itu mampu direntas hanya dengan sebahagian malam sahaja.

“Ingatlah (dengan) masa yang singkat itu, dunia ini hanya bersifat sementara. Banyak urusan dunia kalau dapat diselesaikan dalam masa yang singkat menunjukkan masa kita (benar-benar) berkat. Hakikatnya, masa yang berkat hanya datang dengan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Sesungguhnya, solat itu amat berat kecuali kepada orang yang beriman dengan ikhlas pada ALLAH SWT,” terang beliau.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, solat berasal daripada perkataan silah iaitu sambungan.

Solat
DA’I FUAD

“Ia merupakan penghubung antara kita dengan Sang Pencipta dalam melayari kehidupan mereka. Maka, siapa yang mendirikan solat, mereka sebenarnya berhubung dengan ALLAH dan siapa yang tidak solat, mereka menolak ALLAH,” tegasnya.

Mendekati ALLAH

Ujar beliau, peristiwa Israk dan Mikraj, secara psikologinya mengajar kita untuk ‘berjalan’ lebih dekat kepada ALLAH SWT apabila kita dilanda kesedihan dan kemurungan.

Iklan

“Peristiwa itu berlaku ketika tahun hazan iaitu tahun kesedihan Nabi Muhammad SAW. Maka, ALLAH mengajak baginda untuk berjalan dari Kota Makkah ke Palestin dan dari Palestin ke lohmahfuz.

“Dengan perintah solat itu, ibadah itu sebenarnya untuk mengelakkan diri kita daripada perkara maksiat dan mungkar. Andai kata kita ada masalah, maka carilah ALLAH. Di situ kita akan mendapatkan kekuatan yang lebih hebat. Jangan sampai kita membuang kehidupan kita dengan mengabaikan ibadah solat yang satu ini. Kembalilah kepada ALLAH SWT dengan jiwa yang bahagia,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Fuad berkata: “Solat merupakan kunci kepada keseluruhan ibadah kita. Soal sama ada diterima ataupun ditolak itu, tidak ada ayat yang jelas dalam al-Quran menyatakan penolakan tentang ibadah yang diperintahkan oleh ALLAH SWT, tetapi solat tetap menjadi keutamaan dalam kehidupan kita.

“Cuma apabila kita melaksanakan tuntutan yang paling utama iaitu solat, maka ia menunjukkan komitmen kita untuk melaksanakan ibadah puasa, menunaikan zakat, menunaikan haji dan lain-lain kerana keutamaan solat lebih ditekankan terhadap setiap umat Islam.

“Dalam al-Quran, lebih 20 ayat perintah wajib untuk solat dan  ditekankan kepada setiap insan. Maka, mendahulukan solat dengan memberikan keutamaan dan menunaikan ibadah terbaik kepada ALLAH adalah ruang dan pilihan untuk kita menjadi orang yang terbaik,” katanya berkongsi ilmu.

Bukan sekadar perbuatan semata-mata

Walaupun cukup mengerjakan solat lima waktu, namun hati seakan-akan tidak tenang dan diri tetap juga tanpa segan silu melakukan perkara yang dilarang oleh ALLAH SWT.

Sedar atau tidak, perkara itu memang berlaku dalam dunia realiti segelintir orang.

Iklan

Menjawab persoalan berkenaan, pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz berkata, ia barangkali berlaku kerana solat yang dikerjakan itu tidak lengkap sebagaimana yang diperintahkan ALLAH SWT.

“ALLAH menyuruh kita mendirikan solat, bukan hanya perbuatan solat. Ini bermakna kita perlu ‘mendatangkan’ ibadah solat sebagaimana perlakuan yang dikehendaki-NYA. Bahkan, sekembalinya peristiwa Israk Mijrak, Nabi Muhammad SAW mendirikan solat pertama pada waktu Zuhur iaitu selepas diajar oleh Malaikat Jibril.

“Baginda tidak mendirikan solat pertama pada waktu Subuh kerana belum diajar cara menunaikan ibadah itu. Bersandarkan kepada perbuatan nabi itu, para ulama menyimpulkan bahawa antara syarat sah solat adalah mengetahui kaifiat solat.

“Malangnya, kadangkala orang kita mengambil remeh tentang belajar solat tidak kiralah syarat wajib, syarat sah, perkara yang membatalkan solat, rukun dan adab ketika solat,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Oleh sebab itu, kata beliau, solat yang dilakukan kadangkala tidak sempurna atau tidak sah. “Sedangkan, solat itu mencegah diri daripada berbuat dosa kecil dan besar,” katanya sambil menjelaskan bahawa kefarduan solat menjadi antara hikmah terbesar peristiwa Israk dan Mikraj.

Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, solat merupakan ibadah istimewa kerana ia diperintahkan di ‘langit’, bukan di bumi sepertimana ibadah-ibadah yang lain.

Solat
HASSAN MAHMUD

“Kewajipan-kewajipan lain semuanya diturunkan di bumi seperti zakat dan haji, tetapi tidak pada sembahyang fardu ini. Itulah kekuatannya.

“Disebabkan itulah kita kena berpegang teguh dengan mendirikan ibadah solat sebagai tiang agama,” katanya.