MENURUT Islamic Republic News Agency (IRNA), masjid di seluruh dunia setakat tahun 2019 mencecah 3.85 juta buah.

IRNA yang memetik laporan Al-Bayan berkata, bilangan masjid sedia ada di kebanyakan negara masih tidak mencukupi lantaran jumlah penduduk yang beragama Islam semakin meningkat di seantero benua dari semasa ke semasa.

Hal itu dikatakan lebih meruncing di negara Eropah apabila statistik menunjukkan pertumbuhan penduduk Muslim yang tinggi disebabkan faktor penukaran agama, penghijrahan termasuk kadar kelahiran.

Di Perancis misalnya, penduduk Islam dianggarkan mencecah 7 juta orang, namun hanya mempunyai 2,200 buah masjid.

Situasi sama juga berlaku di Britain. Terdapat 1,000 buah masjid, namun komuniti Islam merangkumi 5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Meskipun demikian, masjid-masjid yang sudah dibina atas inisiatif pihak tertentu dari zaman dahulu hingga ke era milenial mempamerkan sisi unik dari segi seni bina yang mematuhi syariah, reka bentuk, keluasan, struktur, kedudukan setiap bahagian sehinggalah penggunaan warna pada setiap perincian.

Baru-baru ini, sebuah laman web berpaksikan konten Islamik, The Muslim Vibes baru-baru ini menyenaraikan lima masjid paling popular dan menawan di Eropah yang pastinya menggamit sesiapa untuk datang mengimarahkan rumah ALLAH.

Setiap daripada masjid itu dilihat mempunyai kriteria tersendiri, di samping pembinaannya yang memakan kos berjuta-juta ringgit. Namun yang pasti, fungsinya hanya satu iaitu beribadah kepada ALLAH YANG MAHA ESA tanpa sekelumit perasaan jemu.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Jin, ayat 18 bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) ALLAH semata-mata.”

1 Masjid Cambridge Central
Lokasi: 309-313, Mill Road, Cambridge, CB1 3DF, United Kingdom (UK)
Tarikh siap: 2019
Rujukan: cambridgecentralmosque.org

REKA bentuk masjid tersebut diilhamkan daripada gabungan seni bina Islam dan Inggeris.

Menurut Abdul Hakim Murad yang bertindak sebagai ketua di masjid terbabit, bangunan tersebut mengambil masa lebih dari 10 tahun untuk disiapkan.

Berkonsepkan oasis yang dilingkari tumbuhan semula jadi, Masjid Cambridge Central dibina dengan kerjasama pakar dari UK yang terdiri daripada Keith Critchlow, Emma Clark, Amber Khokhar dan Ayesha Gamiet.

“Reka bentuk akhir masjid dilihat seperti ‘mengahwini’ seni bina tradisional, susunan geometri oktagonnya, hortikultur, tanaman dan pertukangan asli Inggeris. Paduan itu menjadikan ia satu bangunan yang unik,” kata laman web rasmi masjid berkenaan.

Antara ciri paling istimewa adalah penggunaan struktur kayu.

Selain itu, pemasangan lampu-lampu memberi pencahayaan yang indah di ruangan solat.

Seperti yang ditulis dalam ruangan komen di laman sosial, masjid tersebut akan menyambut kehadiran tetamu ALLAH dengan taman-taman yang indah, air pancut dan sebuah atrium yang gah lagi menawan.

2 Masjid Agung Cordoba
Lokasi: Calle Cardenal Herrero 1, 14003 Cordoba (Andalusia), Sepanyol
Tarikh siap: 786 Masihi
Rujukan: https://www.britannica.com/ dan https://www.spain.info/

Masjid Agung Cordoba yang terletak di Sepanyol turut dikenali sebagai Spanish Mezquita-Catedral de Córdoba. Ia diubah menjadi katedral Kristian pada abad ke-13.
Struktur asal bangunannya dibina oleh pemerintah, Umayyah Abd ar-Rahman I pada tahun 784-786 Masihi.

Umayyah telah menggandakan ukuran keluasan masjid pada abad ke-9 dan ke-10, sekali gus menjadikan masjid tersebut sebagai salah satu bangunan suci terbesar di dunia Islam.

Apabila seseorang memasuki ke kawasan halaman Masjid Agung Cordoba di sebelah selatan, mereka akan melihat bahagian atapnya tampil unik apabila disokong dengan batuan berkualiti jenis porphyry, jasper dan marmar.

Secara keseluruhannya, terdapat 850 tiang dengan 19 lorong (utara-selatan) dan 29 lorong (timur ke barat).

Hiasan paling indah di masjid tersebut adalah di mihrab ketiganya yang berbentuk oktagon.

Dindingnya pula dilapisi dengan mozek gaya bizantium dan diperbuat daripada emas.

Masjid Agung Cordoba sudah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

3 Pusat Islam Rijeka
Lokasi: Ul, Ante Mandica 50, Rijeka, Croatia
Tarikh siap: 2009
Rujukan: https://archnet.org/ dan https://islamicartsmagazine.com/

Pusat Islam Rijeka, Croatia merupakan hasrat terbesar yang diinginkan oleh umat Islam di Rijeka sejak sekian lama.

Ia terletak di satu kawasan dataran tinggi seluas 10,800 meter persegi dan telah menjadi mercu tanda pelabuhan tersibuk di negara berkenaan.

Masjid yang mempunyai ciri kontemporari dan dinobatkan sebagai antara bangunan tercantik di Eropah itu memiliki enam buah kubah.

Bahagian depannya pula terdiri daripada subkonstruksi logam yang ditutup dengan plat keluli tahan karat, sekali gus mewujudkan pengudaraan yang sangat baik di bangunan tersebut.

Fakta paling menarik tentang Pusat Islam Rijeka adalah reka bentuknya tidak ditentukan oleh arkitek, tetapi oleh salah seorang pemahat Croatia yang terkenal, Dusan Dzamonja.

Ideanya dipercayai dipengaruhi oleh tradisi pembinaan kubah masjid pada zaman Uthmaniyyah, namun desainnya berprinsipkan ‘makna baharu dalam tema lama.’

Arkitek Darko Vlahovic dan Branko Vucinovic kemudian melaksanakan tugas dengan merealisasikan idea Dzamonja yang dikatakan mempunyai nilai estetika dan artistik bermutu tinggi.

Selain Vlahovic dan Vucinovic, arkitek bersekutu dalam projek tersebut terdiri daripada Dora Vlahovic, Luka Vlahovic, Dubravka Durkan-Horvat dan Davor Mauser. Pembinaan masjid itu difahamkan ditaja oleh pemerintah Qatar.

 

4 Masjid Nabi Muhammad
Lokasi: Bandar Chechen, Shali, Rusia
Tarikh siap: 2009
Rujukan: https://www.reuters.com/

Iklan

Pada Ogos 2009, pihak berkuasa di wilayah Chechnya, Rusia telah merasmikan masjid terbesar di Eropah, Masjid Nabi Muhammad dalam upacara penuh kemegahan.
Bangunan yang dihiasi marmar itu memiliki kapasiti yang boleh memuatkan 30,000 orang pada satu-satu masa.

Terletak di luar ibu kota wilayah Grozny, masjid berkenaan direka dengan penuh berhati-hati dari aspek desain, keluasan, ukuran dan keindahannya.

Seperti dilaporkan Reuters, pekarangan masjid ditanam dengan sejumlah pokok bunga, dihiasi air pancut dan pada masa sama, dapat menampung 70,000 jemaah tambahan.

Pemimpin Chechen, Ramzan Kadyrov yang dilantik oleh Presiden Vladimir Putin untuk memerintah wilayah Muslim itu pada tahun 2007 telah mempelopori kebangkitan kembali Islam di Chechnya, termasuk dengan membangunkan masjid-masjid mewah.

 

5 Masjid Cologne Cathedral
Lokasi: Venloer Str,160, Koln, Germany
Tarikh siap: 2017
Rujukan: https://www.atlasobscura.com/ dan https://www.dw.com/

Binaan Masjid Cologne Cathedral yang terletak di Jerman memiliki gaya seni binaan dari Empayar Uthmaniyyah yang mempunyai kubah konkrit dan kaca dengan dua menara.

Ia terletak di kawasan komersial dan pintu masuk di tingkat bawah. Di tingkat atas bangunan, terdapat ruang untuk solat dan perpustakaan Muslim.

Arkitek terkenal negara itu, Gottfried Bohm dan anaknya, yang pakar dalam membangunkan gereja, bertanggungjawab untuk pembinaan dan reka bentuk masjid.
Antara fakta menarik tentang masjid berkenaan adalah:

-Ia dikelilingi dengan dinding kaca dan tangga yang dapat diakses dari jalan, melambangkan keterbukaan kepada semua agama.
-Masjid ini dibiayai oleh ratusan persatuan Muslim, termasuk melalui pinjaman bank dan sumbangan daripada pihak berkuasa urusan agama pemerintah Turki di Jerman, DITIB.
-Masjid ini pertama kali dibuka untuk solat pada bulan Ramadan, tahun 2017, namun secara rasminya pada kepada umum pada tahun 2018.
-Terdapat kedai dan kemudahan sukan yang bertujuan untuk memupuk interaksi antara penduduk yang berlainan agama.

 

BERIKUT ialah 10 MASJID tertua di dunia

MESKIPUN sudah beratus-ratus tahun berlalu, beberapa buah masjid di dunia masih utuh berdiri dan terus menjadi mercu tanda kepada umat Islam. Berikut senarai rumah ALLAH yang masih ‘hidup’ dan terus dikunjungi.

Iklan

1 Masjid al-Haram, Makkah
Masjid al-Haram ialah masjid yang pertama dan tertua di dunia serta merupakan tempat paling suci bagi umat Islam. Ia dibina mengelilingi Kaabah iaitu kiblat seluruh Mukmim di seantero benua ketika mengerjakan solat.

2 Masjid an-Nabawi, Madinah
Ia dibangunkan selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dari Makkah. Hampir 1,400 tahun, bangunan ini telah melalui proses penstrukturan sehingga dinobatkan sebagai masjid kedua terbesar di dunia.

3 Masjid al-Aqsa, Jerusalem
Didirikan pada 705 Masihi dan merupakan tapak yang sangat penting dan suci dalam Islam. Rumah ALLAH ini telah melalui banyak peristiwa seperti gempa bumi, diserang sehingga dikembalikan kepada pejuang Islam, Salahuddin al-Ayyubi selepas penawanan Baitulmaqdis. Masjid ini sangat bersejarah dan menjadi kebanggaan umat Islam.

4 Masjid Besar Sana’a, Yemen
Dibina pada abad ke-7 hingga ke-8 bersebelahan dengan tapak Istana Ghumdan. Masjid ini memiliki seni bina yang hebat kerana dalam era yang berbeza-beza, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan. Bangunan indah ini juga disenaraikan sebagai tapak warisan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

5 Masjid Uqba, Tunisia
Ia dibangunkan oleh seorang Jeneral Arab Uqba, Ibn Nafi pada tahun 670. Masjid yang terpenting di Tunisia ini telah menjadi pusat pembelajaran, pemikiran Islam dan sains sekular sebelum universiti di negara itu ditubuhkan pada abad ke-11.

6 Masjid Ummayad Syria, Damsyik
Dibina pada 634 Masihi dan telah bertahan dalam banyak dinasti. Tempat ibadah ini memiliki pesona tersendiri dan menjadi salah satu sejarah terpenting dalam dunia Islam.

7 Masjid Quba
Terletak di tepi kota Madinah, masjid ini merupakan salah satu rumah ibadah yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, baginda akan menziarahi Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya dan kadangkala Rasulullah ke sana pada hari Isnin.

8 Masjid Jumma Lama Kilakarai, Tamil Nadu, India
Didirikan pada zaman Dinasti Pandiya pada tahun 628, tetapi dinaik taraf semula pada abad ke-11. Ibn Battuta dalam catatannya mengenai masjid ini mengatakan ‘orang-orang di sana hidup seolah-olah mereka berada di Tanah Arab’.

9 Masjid Agung Kufah, Iraq
Dibina pada tahun 670 Masihi dan memiliki 187 buah tiang, empat menara setinggi 30 meter dan lima gerbang.

10 Masjid Besar Xi’an, China
Masjid tertua di China ini siap pada tahun 742 Masihi. Tidak seperti masjid di seluruh dunia yang mempunyai kubah dan menara, Masjid Besar Xi’an direka dengan gaya seni bina pagoda Cina dan tulisannya diterjemah ke dalam bahasa Arab.

 

Sumber dan foto UNSPLASH, https://divisare.com/, cambridgecentralmosque.org, https://www.fodors.com/,
https://www.themoscowtimes.com/, https://art.branipick.com/, i.imgur.com dan https://www.taiwannews.com.tw