“ISH, kotorlah tempat ini. Aku tak sanggup duduk sini lama-lama, geli tengok keadaan macam ni.”

Itu antara dialog lazim yang kita seringkali dengar setiap kali ke suatu tempat yang kotor.

Bayangkan, diri sendiri pun tidak betah dengan keadaan itu, apatah lagi orang di sekeliling.

Ya, kebersihan merupakan elemen yang sangat penting dalam kehidupan. Agama Islam sendiri amat mengambil berat soal kebersihan. Hal itu boleh dilihat melalui perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah yang mana Islam sangat menitikberatkan perkara tersebut.

Oleh itu, kita dapati, Islam meletakkan syarat suci daripada hadas kecil dan besar serta bersih daripada sebarang najis sebelum mengerjakan ibadah solat. Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Maidah, ayat 6:

“Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Islam menggambarkan kebersihan merupakan gaya hidup yang amat dicintai oleh ALLAH SWT sepertimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH MAHA SUCI dan mencintai benda yang suci (baik). ALLAH MAHA BERSIH dan mencintai kebersihan. ALLAH MAHA PEMURAH dan mencintai kemurahan. Oleh kerana itu, bersihkanlah diri kamu.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Sikap menjaga kebersihan bukan hanya dijaga untuk kepentingan diri sendiri, bahkan perlu dititikberatkan pada barang dan tempat kegunaan awam, lebih-lebih lagi lokasi dalam masjid dan surau.

Dalam komentar kali ini, saya ingin menyentuh tentang kebersihan rumah ALLAH. Umum mengetahui surau dan masjid merupakan tempat tumpuan ibadah bagi umat Islam. Justeru, ia begitu signifikan untuk kita menjaga dengan baik segala yang bersangkutan soal tempat kita untuk menunaikan ibadah.

Hal menjaga kebersihan sesebuah masjid atau surau pernah diperintahkan oleh baginda SAW dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidah Aisyah RA.

Beliau berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan agar membina masjid-masjid pada setiap kabilah, selalu dibersihkan dan diwangikan.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Hadis itu menggesa agar kehormatan masjid wajib dititikberatkan iaitu dari segi kebersihan dan memastikan ia sentiasa dalam keadaan yang menyegarkan, bukan bau yang menyakitkan hidung.

Kotori rumah ALLAH
MENJALANKAN aktiviti gotong-royong amat digalakkan supaya kebersihan rumah ALLAH terpelihara, di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama jemaah. -Foto: Bernama

Keabsahan solat

Terdapat hadis yang mengecam perbuatan mengotori masjid sepertimana yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Ketika melihat air ludah di dalam masjid, lalu baginda bersabda: “Meludah di dalam masjid adalah suatu dosa, maka kaffarahnya ialah menanamkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iklan

Jelas melalui hadis tersebut, sikap mengotori masjid atau membiarkan masjid dalam keadaan kotor adalah satu sikap yang tercela dalam Islam. Oleh sebab itu, Islam amat mengambil berat tentang kebersihan sesuatu tempat terutamanya masjid. Bahkan, baginda amat memuji seseorang yang membersihkan masjid daripada sebarang kotoran.

Hal itu pernah berlaku ketika zaman Rasulullah SAW. Pada suatu hari, baginda terlihat kahak di dalam masjid dan ia menyebabkan baginda kecewa.

Lantas, seorang wanita datang dan membersihkan kesan kahak itu, lalu baginda memuji perbuatan itu seraya bersabda; “Betapa baiknya perbuatan ini.”

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap Muslim untuk menjaga kebersihan masjid. Tidak ketinggalan juga, mana-mana individu yang diberi amanah untuk menjaga masjid dan surau bagi memastikan rumah-rumah ALLAH sentiasa dalam keadaan bersih.

Jika rumah ALLAH tidak dijaga kebersihannya, ia akan mengundang ketidakselesaan para jemaah yang ingin beribadah. Apatah lagi, jika terdapat najis di dalamnya kerana ditakuti menjejaskan keabsahan ibadah solat.

Iklan

Barangkali wujud persoalan yang timbul, bagaimana jika terdapat najis di dalam sesebuah masjid atau surau seperti najis cicak yang banyak? Adakah ia boleh menjejaskan ibadah seseorang di dalam surau tersebut?

Secara asasnya, ibadah solat tertakluk beberapa syarat yang wajib dipenuhi iaitu tubuh badan dan tempat solat mestilah suci daripada sebarang najis.

Jika seseorang itu mengerjakan solat dan dia tidak menyentuh najis sama ada daripada mana-mana anggotanya atau pakaiannya, maka solatnya masih sah walaupun di sekelilingnya terdapat tahi cicak dan seumpamanya.

Namun begitu, seseorang itu perlu berhati-hati agar tidak memijak najis sebelum atau ketika solat. Ini kerana seseorang yang menanggung najis, solatnya dikira tidak sah. Jika terpijak, dia hanya perlu membasuhnya sahaja tanpa perlu mengulangi wuduk.

***Ditulis oleh pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed