Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Al-Quran rumi
July 1, 2020
Nurulfatiha

ZAMAN sekarang, nak beli al-Quran tidaklah sesukar dulu. Ini kerana kita ada banyak pilihan al-Quran yang mudah didapati di pasaran.

Saiz pun ada macam-macam. Nak saiz besar pun ada, yang saiz kecil pun ada. Malah, kalau rasa nak beli al-Quran mengikut juzuk pun dah ada dijual sekarang sama ada di kedai atau secara online.

Bukan itu saja, zaman sekarang ini pun sudah banyak aplikasi al-Quran digital. Hanya perlu download saja di telefon bimbit masing-masing.

Kalau kita teliti semula satu persatu, semua ayat-ayat al-Quran itu menggunakan tulisan jawi dalam bahasa Arab. Masakan tidak, itukan kalam ALLAH, mana boleh ditukar sesuka hati pula.

Lainlah kalau terjemahan. Kita perlukannya untuk memahami bait-bait kalimah ayat suci berkenaan. Ia akan jadi panduan untuk kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Tapi perasan atau tidak, sejak akhir-akhir ini, sudah ada al-Quran dengan tulisan rumi yang dijual di pasaran. Ia memudahkan mereka yang tidak lancar mengaji untuk membacanya dengan baik dengan bantuan tulisan rumi tadi.

Apa pandangan Islam tentang hal ini? Bolehkah al-Quran tulisan rumi itu digunakan untuk mengaji?

Perkara ini sebenarnya ada diputuskan dalam mesyuarat panel penapisan buku-buku agama berunsur Islam yang telah diadakan pada 9 Mac 2011 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Berdasarkan mesyuarat berkenaan, barisan panel memutuskan al-Quran rumi diharuskan untuk kegunaan mereka yang tiada asas bahasa Arab dengan tujuan untuk belajar.

Namun begitu, panel turut mengesyorkan agar umat Islam sebaik-baiknya menggunakan al-Quran Resam Uthmani yang menggunakan huruf berbahasa Arab.

Ia lebih tepat dan memenuhi ketepatan tatabahasa Arab itu sendiri. Andai kita tersilap sebut makhraj ayat, boleh berlaku perubahan makna pada perkataan atau ayat berkenaan.

Bukan itu saja, ia juga mengubah kehendak sebenar kalimah bahasa Arab yang terkandung dalam al-Quran Resam Uthmani berkenaan.

(Artikel berkaitan: Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala)

Ketahuilah bahawa bahasa Arab atau bahasa al-Quran itu akan digunakan ketika di syurga nanti.

Malah, mereka yang membaca al-Quran Resam Uthmani akan diganjari dengan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan al-Quran rumi.

Barisan panel mencadangkan agar kita teruskan menggunakan al-Quran berbahasa Arab tulen untuk tujuan membacanya.

Kepada mereka yang sudah lancar membaca al-Quran, tiada keperluan pun untuk kita gunakan al-Quran tulisan rumi tu.

Cuma kita perlu berguru untuk perbaiki mana-mana bacaan yang kurang dari segi sebutan huruf, tajwid dan sebagainya.

Semoga kalam ALLAH yang dibaca itu akan meningkatkan lagi saham akhirat kita.

Sumber: Kemusykilan agama, Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Komen

About Nurulfatiha

Biodata Penulis