LAILATUL Qadar yang merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan. ‘Memburunya’  adalah satu perbuatan yang dituntut.

Justeru kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadan untuk meraih pahala beribadah pada malam al-Qadar tersebut.

Menurut perkongsian Pejabat Mufti Wilayah, ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadan iaitu pada malam diturunkan padanya al-Quran. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ

Maksudnya: Bulan Ramadan yang mana padanya telah diturunkan al-Quran.

Surah al-Baqarah (185)

Begitu juga firman ALLAH SWT yang menyatakan bahawa al-Quran telah diturunkan pada malam al-Qadr iaitu:

إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.

Surah al-Qadr (1)

Demikian juga firman ALLAH SWT:

إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.

Baca juga: Kejar keistimewaan bulan Ramadan dengan melakukan ibadah sunnah, berikut cara-cara mengerjakan solat sunat witir

AMALAN 10 MALAM TERAKHIR BULAN RAMADAN

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.

Riwayat Muslim (1175)

Tiga ibadah baginda Rasulullah SAW pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:

PERTAMA: MENGETATKAN IKATAN DI PINGGANG 

Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah.

Maksud yang kedua pula ialah meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Ibn Rajab berpendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

KEDUA: MENGHIDUPKAN MALAM

Menghidupkan malam bermakdsud menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah. Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata (ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat Isyak secara berjemaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah.

Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada Lailatul Qadar maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

KETIGA: MENGEJUTKAN KAUM KELUARGA UNTUK BERIBADAH

Ketika masuk 10 malam terakhir bulan Ramadan, baginda SAW mengejutkan isteri-isteri dan keluarga bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:

أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان

Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?

Riwayat al-Bukhari (1127)

Iklan

Baca juga: Kejut Ahli Keluarga Beribadah, Antara Amalan Rasullulah SAW Pada 10 Malam Terakhir Ramadan

KELEBIHAN BERIBADAH PADA LAILATUL QADAR

Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:

1. Dosa-dosa kecil diampunkan

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

2. Ganjaran amalan melebihi 1,000 bulan

Ini adalah berdasarkan firman ALLAH SWT:

Iklan

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ

Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Surah al-Qadr (3)

Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (Lailatul Qadar) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).

Semoga kita semua mengambil peluang memperbanyakkan amal soleh pada 10 malam terakhir Ramadan ini dalam usaha memburu Lailatul Qadar.

Baca juga: Nafas baru Ramadan, amalan 8M untuk berhenti merokok

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI