BERHATI-hati ketika berkongsi cerita, bukan apa risau melarat sehingga menjadi mengumpat. 

Islam amat mencegah umatnya mengumpat sehingga mengaibkan orang lain kerana hukumnya adalah haram.

Menceritakan keburukan seseorang tanpa tujuan yang jelas atau sekadar membangkitkan rasa keseronokan bercerita merupakan perbuatan yang dibenci ALLAH. 

Namun terdapat enam situasi yang dibolehkan untuk mengumpat di dalam Islam, ini yang perlu diketahui.

1. Berhadapan dengan penganiayaan

Jika seseorang telah dianiaya maka, golongan ini dibolehkan untuk mengadu dan menceritakan perkara buruk yang dialaminya kepada pihak berkuasa. 

Tujuan aduan dibuat kepada pihak berkuasa adalah untuk menyedarkan orang yang menganiaya bahawa tindakannya itu adalah satu perbuatan salah. 

Pasti pihak berkuasa akan mengenakan tindakan kepada pelaku secara tidak langsung akan memberi keinsafan kepada dirinya untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. 

Baca juga: Menyambung Bulu Mata Itu Cantik Tapi Apakah Sebenarnya Hukum Di Dalam Islam?

2. Meminta bantuan mencegah kemungkaran

Sebagai seorang muslim, mencegah kemungkaran amat dituntut di dalam Islam sehinggakan Rasulullah SAW bersabda:

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” Hadis Riwayat Muslim

Sekiranya seseorang itu melihat kemungkaran, mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya pihak tersebut dapat mencegah kemungkaran itu daripada berlaku.

Namun, sekiranya aduan dibuat bukan berlandaskan niat untuk mencegah kemungkaran maka, hukumnya adalah haram. 

3. Meminta fatwa daripada mufti

Mufti merupakan seseorang yang ilmuan yang telah memenuhi syarat-syarat berijtihad sehingga layak untuk memberikan fatwa. 

Sekiranya seseorang berhadapan dengan situasi yang tidak jelas sehingga perlu menceritakan perilaku seseorang kepada mufti maka, ia dibolehkan.

Situasi ini bukanlah berniat untuk memalukan seseorang itu tetapi bertujuan untuk mendapatkan penjelasan daripada mufti mengenai hukum keadaan itu.

4. Mengajak umat Islam supaya berhati-hati

Istilah menceritakan keaiban boleh digunakan sekiranya seseorang itu berada dalam satu situasi untuk meminta pandangan tentang peribadi seseorang untuk kebaikan dirinya.

Ia dibolehkan kerana pandangan daripada seseorang yang mengenali individu tersebut akan membantu untuk menilai keperibadian seseorang sama ada seseorang itu amanah, boleh dipercayai dan bertanggungjawab. 

Iklan

5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan

Sekiranya seseorang itu mempertontonkan tindakan melakukan dosa kepada khalayak umum seperti meminum arak, mengambil dadah serta mengamalkan ajaran sesat maka, dibolehkan untuk bercerita tentang mereka. 

Ia bertujuan supaya orang ramai tidak terpedaya dan sentiasa berwaspada sekiranya berurusan dengan individu terbabit. 

Namun, menceritakan keperibadian selain daripada dosa yang dipertontonkan itu tidak dibenarkan kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya. 

6. Memanggil seseorang sebagai tanda pengenalan

Iklan

Sudah menjadi kebiasaannya memanggil seseorang dengan menyebut sifat dan ciri yang terdapat pada tubuh seseorang. 

Perkara ini dibolehkan selagi tujuan panggilan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghina atau merendah-rendahkan individu tersebut. 

Di bulan yang mulia ini, jauhilah perbuatan mengumpat kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan malahan hanya menambah dosa sendiri. 

Sumber:  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca juga: ALLAH Tak Ampunkan Dosa Mengumpat Orang Lain?

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI