Mimpi siang atau malam… Macam mana nak tahu mimpi itu baik atau tidak?

Mimpi siang atau malam
August 21, 2020
Oleh Nurulfatiha

SETIAP orang tidak akan ‘lari’ daripada bermimpi ketika sedang tidur. Walaupun tahap kekerapan yang berbeza, tetapi ia pasti berlaku kepada kita tidak kiralah sama ada tidur pada waktu siang atau malam.

Segelintir orang percaya bahawa mimpi adalah mainan tidur. Namun, ada juga yang beranggapan mimpi itu membawa petanda kepada suatu perkara sama ada baik atau buruk.


Begitu juga dengan bermimpi ketika tidur siang atau malam. Ada sesetengah orang menganggap, ia membawa petanda mimpi yang bagus.

Apakah pandangan Islam tentang mimpi seseorang? Bagaimana kita hendak tahu tentang petanda mimpi yang bagus? Adakah bermimpi pada waktu siang ataupun waktu malam?

Memperincikan jawapannya, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, secara umumnya, mimpi yang dialami oleh seseorang boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

USTAZ MUSTAFAR

Ia sama ada mimpi daripada gangguan syaitan, mimpi disebabkan manusia terlalu memikirkan sesuatu perkara dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 juzuk kenabian seperti diriwayatkan oleh Saidina ‘Auf bin Malik dalam hadis sahih riwayat Ibnu Majah, terang beliau.

Iklan

“Mimpi daripada syaitan yang menimbulkan kegusaran dan keresahan tidak membawa apa-apa makna. Melainkan jika dia tersedar, maka disunatkan untuk meludah ke sebelah kiri dan memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.

“Begitu juga mimpi disebabkan terlalu memikirkan sesuatu perkara sehingga apabila dia melakukan sesuatu, perkara itu sama seperti dialami dalam mimpinya. Ini juga tidak membawa kepada apa-apa isyarat atau makna.

Iklan

“Namun, bahagian ketiga, begitu banyak hadis sahih lain yang menceritakan tentang mimpi yang baik (rukyah salihah). Jika perkara ini datang dengan petunjuk-petunjuk tertentu, hendaklah dirujuk kepada ahlinya seperti disebutkan oleh Imam Ibn Battal di dalam kitabnya, Syarah Sahih al-Bukhari,” jelas beliau kepada Sinar Islam. 

(Artikel berkaitan: Apabila kita bermimpi ibu bapa yang telah meninggal…)

Di samping itu, Ustaz Mustafar turut mengingatkan tentang pandangan Imam al-Syatibi bahawa mimpi tidak boleh menjadi penentu kepada hukum syarie.

“Adapun waktu tertentu sama ada siang atau malam, tidak mengkhususkan mimpi itu jadi baik ataupun buruk,” jelas beliau.

Jika bermimpikan sesuatu, tidak semestinya ia membawa petanda sesuatu yang baik atau sebaliknya.

Usah buat pelbagai andaian, sebaliknya rujuklah kepada mereka yang pakar dalam bab mimpi seperti alim ulama dan seumpamanya.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis