Minta maaf, tapi tak salam

Sahabat
May 22, 2020
Nurulfatiha

BERMAAFAN ketika hari raya memang dah jadi kelaziman kita sejak dulu lagi. Selalunya kita akan berjabat tangan ketika memohon keampunan daripada tuan rumah yang diziarah dan sebaliknya.

Ya, memang indah momen itu. Ia bukan sahaja membuatkan silaturahim bertambah mesra.

Tapi apakan daya kita tidak lagi boleh buat macam tu ketika lebaran kali ini. Apa sekalipun, kita kena biasakan diri dengan normal baharu ini iaitu tak boleh lagi berjabat tangan.

Kalau saling bermaaf-maafan tanpa bersalaman boleh ke? Apa hukumnya ya?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, berjabat tangan merupakan salah satu syiar dalam agama kita.

USTAZ MUSTAFAR

“Bahkan, ada hadis sahih yang menyatakan kelebihan berjabat tangan seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, daripada sahabat al-Bara’ bin ‘Azib Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim yang bertemu kemudian saling berjabat tangan, kecuali dosa keduanya diampunkan sebelum mereka berpisah.”

Hadis itu menunjukkan kelebihan berjabat tangan apabila bertemu.

Adapun ketika penyakit koronavirus (Covid-19) boleh merebak melalui sentuhan, maka kaedah fikah menyebut, mencegah kerosakan itu adalah lebih baik daripada mendatangkan kebaikan. Apatah lagi, ia belibatkan urusan nyawa yang mana menjaga nyawa itu termasuk dalam maqasid syariah.

Bagi Muslim, maka buat masa ini, cukuplah sekadar memberi ucapan salam atau apa-apa isyarat seperti meletakkan tangan ke dada atau mengangkat tangan dan sebagainya.

Mudah-mudahan pandemik Covid-19 itu segera ALLAH SWT hilangkan sehingga kita boleh menjalankan aktiviti harian atau ziarah-menziarahi serta bersalam-salaman sesama Muslim,” jelas beliau.

Ingat tau, kita kena elak bersalaman. Jagalah diri kita dan orang di sekeliling kita supaya tidak terdedah dengan ancaman wabak Covid-19.

Paling penting jaga penjarakan sosial masing-masing. Insya-ALLAH lama-lama nanti biasalah kita dengan situasi normal baharu ini.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis