Mufti Besar India dan qari terkenal dunia, Misyari Rasyid doakan kesembuhan Dr Zulkifli

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
October 12, 2020
Nurulfatiha

UMUM mengetahui, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif koronavirus dan sedang menerima rawatan sejak seminggu lalu.

Saat menerima perkhabaran tersebut hingga kini, ramai pemimpin dan masyarakat tidak putus-putus mendoakan Dr Zulkifli agar segera diberikan kesembuhan.

Bukan itu sahaja, beberapa ulama terkemuka dunia turut menitipkan doa dari jauh buat agamawan berkenaan. Mereka mendoakan agar Dr Zulkifli sihat seperti sedia kala dan kembali berkhidmat.

Antara tokoh yang mendoakan beliau ialah qari terkemuka dunia, Syeikh Misyari Rasyid Alafasy. Beliau memohon kepada ALLAH SWT agar Dr Zukifli agar diberi kesihatan yang baik.

“Saya meminta kepada Tuhan yang MAHA KUASA, Tuhan Arasy yang AGUNG untuk menyembuhkan yang mulia Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri,” kata qari yang pernah menjadi Imam Masjid Nabawi di Madinah menerusi ciapan di Twitter miliknya semalam.

Perkongsian beliau itu diulang kicau lebih 680 pengguna Twitter dan mendapat lebih 2,000 tanda suka.

Malah, Dr Zulkifli dilihat turut membalas ciapan beliau pada hari yang sama.

“Ya Tuhan, amin saudaraku yang dikasihi. Semoga Tuhan memberikan ganjaran yang baik untuk doa anda dan untuk pertanyaan anda mengenai keadaan kami ketika ini yang menunjukkan tanda yang baik.

(Artikel berkaitan: “Kepada ALLAH saya berserah dan memohon pertolongan” – Dr Zulkifli Mohamad)

“Saya meminta kepada ALLAH SWT yang MAHA KUASA untuk melindungi anda daripada segala kejahatan, kebencian dan malapetaka serta memberkati kita, anda dan umat Islam dengan keamanan, kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan,” katanya membalas ciapan Syeikh Misyari Rasyid menerusi Twitter milik beliau.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
SYEIKH MISYARI RASYID (gambar kiri) dan Syeikh Aboo Backer mendoakan Dr Zulkifli agar segera diberikan kesembuhan.

Selain itu, Dr Zulkifli turut menerima kiriman mesej daripada Mufti Besar India, Sheikh Aboo Backer Ahmed Al-Malibari yang mendoakan agar kesihatan beliau kembali pulih dan bertugas seperti sedia kala.

“Saya mengharapkan hubungan baik ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama Malaysia India khususnya dari sudut pendidikan agama untuk menfaat kedua-dua buah negara,” katanya Dr Zulkifli menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Pada 5 Oktober lalu, Dr Zulkifli disahkan positif Covid-19. Beliau kini dirawat di sebuah hospital di Seremban.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 90 individu kontak rapat Dr Zulkifli yang disaring Kementerian Kesihatan Malaysia disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Marilah sama-sama kita doakan agar Dr Zulkifli dan mereka yang diuji dengan penyakit Covid-19 segera sembuh.

Teruskan berdoa agar wabak ini segera diangkat oleh ALLAH SWT dari muka bumi ini.

Sumber & Foto: Twitter @Alafasy & Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

About Nurulfatiha

Biodata Penulis