RAMAI yang mengeluh tatkala diri ditimpa musibah. Siapa pun yang berada dalam situasi ini, memang tidak dapat dielakkan jika berperasaan sedemikian. Lumrah manusia sememangnya begitu.

Namun, andainya kita tahu hikmah di sebalik musibah itu, pasti kita akan bersabar apabila menerima ujian berkenaan.

Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan pasti terselit hikmah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad)

Ketahuilah, ada sebab kenapa ALLAH SWT memberikan ujian berupa musibah, keletihan, kegusaran, kesakitan sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan.

Musibah yang datang itu adalah sebagai kifarah atau penghapus dosa agar hamba-NYA sentiasa dalam rahmat-NYA.

Ingatilah bahawa rahmat ALLAH SWT MAHA LUAS.

Sesungguhnya, rahmat ALLAH SWT akan sentiasa mengiringi hamba-NYA ketika dalam ketaatan.

Iklan

Selain itu, keampunan ALLAH pula akan sentiasa bersama-sama hamba-NYA yabg bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.

Bahkan, sesiapa yang bersabar dengan musibah diterimanya, maka dosa-dosanya akan diampunkan lebih-lebih lagi dosa seorang hamba yang memohon keampunan kepada ALLAH.

Begitu agungnya sifat ALLAH SWT yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.

Justeru, usah mudah melatah atau mengeluh jika kita ditimpa musibah. Tidak kiralah apa jua bentuk ujian berkenaan, hadapinya dengan sabar.

Iklan

Semoga ALLAH SWT akan menghapuskan dosa kita.

Sumber: Portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia