ISU wanita berpakaian sukan ketat sudah lama diperkatakan. Ramai warganet yang memberikan maklum balas tentang perkara itu.

Ada yang mengkritik. Tidak kurang juga yang mempertahankan tentang pemakaian digunakan ketika bersukan termasuklah aktiviti berbasikal.

Apatah lagi jika ia melibatkan wanita Muslimah yang bertudung. Semakin ‘panjanglah’ ceritanya nanti.

Sebelum ini, pendakwah Ustaz Abu Syafiq pernah menegur pemakaian wanita ketika berbasikal dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Kata beliau: “Pakaian wanita berbasikal yang jenis ketat sudah pastilah haram. Bayangkan kalau ‘terkemalangan’ …’mati katak gitu jeklah dengan dosa. Berbasikal tapi rumah bersepah dan busuk rak kemas. Malulah wei.”

Pandangannya itu mendapat perhatian ramai. Meskipun kata-kata itu agak ‘merentap’ hati, namun ada benarnya tentang pengharaman pemakaian ketat tersebut.

Pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed ada menjelaskan tentang isu itu dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Ujar beliau, wanita yang minat sukan berbasikal dan aktiviti-aktiviti sukan yang lain sambil memakai pakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram), hukumnya jelas lagi nyata tanpa perlu kepada fatwa mufti.

Ini kerana katanya, ia termasuk dalam urusan agama yang ‘tidak boleh tidak’ iaitu mesti dan pasti diketahui hukumnya sama ada oleh orang awam atau tidak. Semua orang tahu hukumnya haram yang nyata.

“Saya pernah ditanya tentang kenyataan para ulama Syafi’iyyah yang menyatakan, wanita yang memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya makruh.

“Adakah hukum makruh ini boleh dibawa di luar solat? Jawapannya sudah tentu TIDAK. Ini kerana jelas dalam kitab-kitab fiqh menjelaskan hukum itu dalam bab solat sahaja, bukan situasi luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi/bukan mahram.

“Buktinya, apabila fuqaha membicarakan tentang aurat lelaki mahupun perempuan. Mereka memfatwakan berdasarkan situasi berbeza.

“Contohnya, ulama Syafi’iyyah menyatakan, wajah wanita ketika solat tidak wajib ditutup, manakala di hadapan lelaki ajnabi, mereka wajib menutup wajah mereka menurut pendapat muktamad (ada pendapat kedua dalam Mazhab Syafie, wanita harus mendedahkan muka jika aman daripada fitnah),” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Wanita berbasikal
PELIHARALAH aurat walaupun ketika beriadah atau bersukan.

Bagi kaum Adam, Ustaz Syed Shahridzan menjelaskan, aurat lelaki ketika solat paling minimum adalah antara pusat dan lutut.

“Namun apabila seorang lelaki berhadapan dengan wanita ajnabi, maka lelaki itu wajib menutup tubuh badan mereka.

“Dalam erti kata yang lain, haram si lelaki ‘berlengging’ (tidak berbaju) di hadapan wanita ajnabi. Jelas bukan? Fatwa berbeza berdasarkan situasi yang tak sama,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Ustaz Syed Shahridzan memberitahu, dalam kitab al-Majmu’ iaitu rujukan utama fiqh Syafie, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa maksud perkataan ‘wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang’ dalam hadis sahih adalah wanita yang menzahirkan kecantikan tubuh badan mereka meskipun berpakaian.

Ketahuilah bahawa wanita sebegitu termasuk dalam dua golongan ahli neraka, terang beliau.

“Maka jelas menurut ulama, wanita berpakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi haram hukumnya. Yang makruh hanyalah ketika solat berseorangan atau bersama mahramnya.

“Sementara itu, bagi hukum lelaki memakai pakaian ketat termasuk pakaian sukan, dalam kitab fiqh menyatakan, lelaki memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya Khilaf Awla iaitu lebih afdal ditinggalkan.

Iklan

“Namun, jelas apa yang dinyatakan ini berkait rapat ketika solat dan berbeza di luar solat terutama di hadapan wanita ajnabi.

“Sepakat para ulama daripada mana-mana mazhab pun bahawa apa jenis pakaian dan ketrampilan lelaki yang boleh menimbulkan syahwat kepada pihak wanita, hukumnya haram.

“Oleh itu tidak mustahil lelaki yang berbadan cantik, slim dan sado mampu menaikkan syahwat wanita yang melihatnya. Jika tidak, mengapa ALLAH perintahkan wanita agar menjaga mata mereka seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Nur, ayat 31? Lelaki ‘boROY’ yang berpakaian ketat pun ada wanita yang bersyahwat.

“Konklusinya, lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya. Oleh itu, sewajarnya dielakkan.

“Bayangkan isteri orang boleh puji ‘kesadoan’ badan lelaki ajnabi. Suami orang jangan cakaplah, lebih ramai yang puji dan terpikat dengan kecantikan tubuh badan wanita lain.

Iklan

“Ini hakikat yang perlu diterima kerana kita hidup dalam persekitaran yang tidak sihat. Orang yang dipuji akan berasa bangga tetapi sedarkah pujian itu hasil dari perbuatan dosa?,” soalnya.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau turut menasihatkan kita agar membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

“Segala keputusan dalam menentukan gaya hidup berada di tangan kita sendiri. Kita yang menentukan sama hidup kita ini tunduk pada syariat ALLAH atau tidak.

“Tidak salah bersukan, tetapi biarlah ia berlandaskan patuh syariah. Sebagai suami, anda bertanggungjawab mendidik isteri anda sendiri ke jalan yang diredhai ALLAH SWT. Jangan pula suami berperanan sebagai ajen menyebarkan perbuatan yang salah di sisi agama,” nasihat beliau

Bersukan tidak salah. Begitu juga dengan aktiviti berbasikal. Apa yang perlu dititikberatkan adalah pemakaian yang perlu patuh syariah.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil