Najis anjing depan kawasan rumah, bagaimana kaedah pelupusan dianjurkan Islam?

Najis anjing
August 21, 2020
Oleh Nurulfatiha

DUDUK di kawasan perumahan yang sering menjadi tumpuan anjing berkeliaran memang memang agak menguji diri.

Jika haiwan berkenaan merupakan anjing liar, keselamatan diri jadi taruhannya. Itu belum lagi bab najis anjing yang merata-rata di sekeliling kawasan perumahan. Adakalanya, najis anjing itu betul-betul ada di hadapan rumah kita.

Andai najis anjing itu memang betul-betul berada di hadapan rumah kita, bagaimanakah caranya untuk membuang najis tersebut?

Di mana kawasan sesuai untuk dibuang kerana bimbang ada orang lain pula yang terpijak jika dibuang merata-rata? Bagaimana kaedah sebenar lupuskan najis anjing?

Sebelum memperincikan jawapan lanjut, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, apa sahaja yang berasal daripada anjing dan anggotanya, ia dikira sebagai najis.

Ia termasuklah air kencing, tahi, darah, peluh, air liur atau mana-mana bahagian anggotanya. Demikian pandangan yang disepakati oleh Mazhab Syafie, terang beliau.

Iklan

“Jika terkena, wajib dibasuh tujuh kali dan salah satunya adalah dengan tanah seperti disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim.

“Dalam situasi di atas, maka wajib kita membuang najis itu ke tempat yang terlindung daripada terkena pada manusia yang lalu-lalang.

“Kemudian membasuhnya sebanyak tujuh kali yang mana salah satunya dibasuh dengan air tanah. Demikian pendapat majoriti ulama seperti Mazhab Syafie, sebahagian pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali sehingga hilang bau, rasa dan warna,” katanya.

Jelasnya, ia sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis sahih seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah, Saidina Ali dan selainnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW : “Apabila anjing meminum bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah.”

Iklan

Ujar beliau, walaupun terdapat perbezaan riwayat berkenaan dengan bilangan basuhan dan kaedah basuhan, akan tetapi cukuplah dengan pandangan Mazhab Syafie dan majoriti ulama seperti yang telah dinyatakan di atas.

Justeru, jangan pandang enteng tentang perkara ini. Jika ternampak ada najis anjing di hadapan rumah kita, cepat-cepatlah buang di tempat yang sesuai supaya tidak dipijak oleh orang lain.

Jika kita memudahkan urusan orang lain, insya-ALLAH ALLAH akan mudahkan urusan kita pula.

 

 

About Nurulfatiha

Biodata Penulis