SEJAK fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada Rabu lalu, sebahagian masjid hampir di semua negeri sudah mula dibuka untuk solat Jumaat dan jemaah.

Fokusnya hanya kepada kawasan zon hijau saja. Maknanya bukan semua masjid lagi terlibat. Bilangan jemaah yang dibenarkan juga terhad dan masjid yang dibuka perlu mengikut prosedur operasi standard ditetapkan (SOP).

Maknanya bila tibanya solat Jumaat, tidak semua orang berpeluang untuk ke rumah ALLAH bagi menunaikan kewajipan itu di sana.

Tapi terkadang hati rasa resah gelisah bila tak pergi solat Jumaat ni. Apa tidaknya, hukumnyakan fardu ain.

Lepas tu pula, bukannya kita tahu sama ada jemaah dalam sesebuah masjid tu capai atau tak bilangan jemaah yang dihadkan. Buatnya kalau masih ada ruang lagi untuk kita solat Jumaat pula macam mana?

Risau juga andai kita solat Zuhur, sedangkan kita dah boleh solat Jumaat. Mungkin ada sesetengah masjid ‘canggih’, mereka guna teknologi macam kod QR atau temujanji menerusi telefon nak dapatkan kepastian sama ada kita ‘lepas’ atau tak untuk ke masjid.

Namun, untuk masjid yang tiada kemudahan itu pula bagaimana? Perlu ke kita beratur di depan masjid semata-mata untuk dapatkan giliran solat Jumaat ni?

Tidak dinafikan masjid boleh beroperasi dalam SOP tertentu sepanjang musim PKPP ni.

Justeru, kita amatlah digalakkan untuk berusaha mendapatkan tempat bagi solat Jumaat dengan SOP yang disediakan pihak masjid seperti mengisi borang jika ada dan hadir awal ke masjid untuk beratur.

Namun begitu, janganlah sampai kita lupa kepada perkara yang asas iaitu mematuhi SOP digariskan.

Untuk mematuhi SOP ini, ia memerlukan kerjasama daripada setiap ahli kariah untuk memastikan proses pematuhan itu berjalan lancar, teratur dan sempurna.

(Artikel berkaitan: Boleh terus solat Zuhur, tak perlu tunggu solat Jumaat habis ketika musim PKPB)

Seandainya kelihatan dengan sangkaan yang kuat (ghalabat al-dzann) bahawa bilangan jemaah di masjid sudah penuh dan mencukupi, maka kita tak perlu lagi beratur sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kumpulan orang ramai.

Iklan
Solat Jumaat
JIKA mendapat kebenaran, tunaikanlah solat Jumaat di masjid, namun andai perlu beratur untuk mendapatkan tempat bagi solat Jumaat, patuhilah SOP yang ditetapkan.

Justeru, andai kita ada peluang untuk mendirikan solat Jumaat, rebutlah peluang itu sebaiknya. Kasihanilah orang yang berkobar-kobar nak ke masjid, namun tak dibenarkan atas kekangan kawasan zon merah dan seumpamanya.

Beraturlah jika perlu untuk kita menunggu giliran masuk ke rumah ALLAH. Jika dibenarkan masuk, bersyukurlah. Tapi kalau sudah lebih had, jangan pula kita bikin ‘ribut’ di situ. Sebaiknya, tunaikanlah solat Zuhur di tempat masing-masing.

Cubalah untuk lakukan solat fardu secara jemaah pula di masjid itu petang nanti, malam atau mungkin keesokannya.

Iklan

Sumber: Al-Kafi #1735: Adakah Wajib Hadir Beratur untuk Mendapat Tempat bagi Solat Jumaat pada Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Bernama