BILA cakap tentang Hari Raya Aidilfitri, tanpa sedar kita akan teringat tentang baju raya.

Ia seakan perkara yang ‘paling wajib’ bagi masyarakat kita. Ya lah, nak raya mestilah kena ada baju yang cantik, bukan?

Lagipun memang kita disuruh bergembira pada hari raya. Jadi bila pakai pakaian yang cantik dan baharu pula, bertambah seronoklah.

Apatah lagi waktu hari raya, kalau boleh memang nak melaram habis. Maklum sajalah bukan selalu pun.

Di sisi agama, apakah hukumnya jika kita berhias diri pada hari raya? Adakah ia dituntut Islam untuk berpakaian cantik dan sempurna?

Dalam hal itu, terdapat hadis sahih riwayat Saidina Ibnu Umar bahawa ayahnya, Saidina Umar al-Khattab pernah menghadiahkan pakaian jubah sutera kepada Nabi Muhammad SAW pada hari raya.

Namun, Nabi Muhammad SAW menolaknya kerana lelaki tidak dibenarkan memakai sutera.

Apa pun, menghadiahkan pakaian cantik itu pernah berlaku pada zaman baginda.

Dalam satu kisah, telah disabitkan bahawa Saidina Ibn Umar memakai pakai yang paling baik pada hari raya.

Iklan

Maka, berhias dengan mandi, memakai pakaian yang cantik dan menghias diri merupakan sunah yang dituntut pada Aidilfitri.

Namun, janganlah sehingga membazir, berhutang dan berhabisan duit untuk mendapatkannya.

Ingat ya, kita dituntut memakai pakaian yang baik, bukan pakaian yang baharu setiap kali menjelang raya.

Di samping itu, kaum wanita juga diingatkan memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak berlebihan dalam berhias.

Jadi, tidak salah pun kita nak melaram pakai pakaian yang cantik-cantik. Tapi sebaiknya bersederhanalah, jangan pula lebih-lebih.

Iklan

Cubalah ikuti syariat yang diajar oleh agama Islam.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua pembaca SinarPlus.

(Sumber: Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki)