TATKALA orang lain sedang enak dibuai mimpi, ada pula individu yang berjaga pada waktu berkenaan. Berjaganya itu bukan kerana ingin melakukan pekerjaan yang tertangguh atau menonton televisyen.

Individu berkenaan bangun semata-mata untuk beribadah dan sujud kepada ALLAH SWT.

Tidak semua orang mampu melakukannya. Ia memerlukan iltizam yang tinggi.

Namun, bagi mereka yang alah bisa, tegal biasa, menghidupkan malam dengan qiamullail, semua itu direntas tanpa sebarang masalah. Walaupun saban hari terpaksa mengorbankan waktu tidur, tetapi ia bukan masalah besar . Mereka tidak mengharapkan perkara lain, melainkan keredaan dan keampunan rahmat daripada YANG MAHA ESA semata-mata.

Sesungguhnya, bukan calang-calang fadilat yang diperoleh oleh mereka yang melazimkan diri dengan melakukan qiamullail. Tambahan pula, jika ia dilakukan pada saban hari tanpa gagal.

Begitupun, bagi mereka yang sukar bangun malam, ada yang memilih untuk memulakan solat sunat sebaik sahaja solat Isyak selesai didirikan.

Adakah ia tetap dikira sebagai qiamullail jika ibadah dikerjakan sejurus selepas solat Isyak? Apakah qiamullail hanya terhad kepada solat sunat semata-mata?

Bagi menyelami maksud sebenar qiamullail, Sinar Islam mengajak pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman untuk berbicara lanjut mengenainya.

USTAZ MK AZMAN

Ujar beliau, qiamullail adalah bangun pada waktu malam iaitu menghidupkan malam dengan beribadah kepada ALLAH SWT.

Ia tidak semestinya hanya dengan menunaikan solat sunat sahaja, tetapi turut merangkumi amalan ibadah yang lain seperti membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredaan ALLAH SWT.

Waktu yang panjang

Menyoroti historiografi qiamullail, pendakwah itu memberitahu, pada awalnya, ia (qiamullail) wajib bagi Rasulullah SAW dan para sahabat.

“Setelah setahun disyariatkan, amalan itu menjadi sunat muakkad pula bagi setiap umat Islam. Namun, ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.

Memperincikan waktu qiamullail, Ustaz MK Azman menjelaskan, sebenarnya ia bermula apabila masuknya waktu Maghrib dan berakhir pada waktu Isyak yang panjang. Namun, waktu paling afdal adalah satu pertiga malam yang terakhir.

“Mengambil contoh waktu solat semasa di Kuala Lumpur, waktu Maghrib bermula pada jam 7 malam dan berakhirnya waktu Isyak pada jam 5.49 pagi. Ini bermakna, satu pertiga malam terakhir bermula pada jam 2.13 pagi sehingga Subuh.

“Justeru, tiada masalah jika kita terus dilakukan ibadah-ibadah seperti solat, zikir dan seumpamanya selepas selesai solat Isyak. Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menunaikan solat tajahud, digalakkan tidur terlebih dahulu,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada setiap malam, ALLAH Azzawajalla turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka ALLAH berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti akan KU-kabulkan, dan siapa yang memohon kepada-KU, pasti akan KU-beri, dan siapa yang mohon ampun kepada-KU pasti akan KU-ampuninya.” (Riwayat Malik, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan yang lainnya)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa pintu rahmat ALLAH itu terbuka pada waktu malam seluas-luasnya khususnya pada akhir-akhir malam, malah, segala permohonan diterima pada ketika itu.

“Begitupun, pembahagian malam ini hanyalah bersifat taqribi (anggapan paling dekat) bukannya tahdidi (secara tepat). Terpulang kepada umat Islam untuk berqiamullail mengikut keselesaan dan kemampuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz MK Azman menegur sikap segelintir masyarakat yang ‘gila kerja’ berbanding dengan ibadah sunat untuk meraih keredaan ALLAH.

“Manusia mudah dirangsang semangatnya oleh habuan duniawi, tetapi habuan ukhrawi tidak dipandang.

“Ketahuilah, ibadah malam adalah ibadah yang istimewa. Hanya orang yang ada kekuatan untuk bangun akan dikurniakan ALLAH ganjaran yang banyak daripada-NYA. Mereka yang meyakini janji-janji ALLAH sahaja yang tekad untuk bangun. Sedangkan, kalau tak bangun pun tidaklah berdosa,” katanya.

Benarkah mereka yang mengerjakan qiamullail tinggi darjatnya di sisi ALLAH SWT dan diampunkan dosanya?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran lantas mengakuinya.

IMAM MUDA ARAN

Beliau turut mengemukakan ayat suci al-Quran yang memberi gambaran tentang perkara berkenaan bagi menyokong hujahnya.

Firman ALLAH SWT: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

Ciri-ciri orang beriman

Jelas pendakwah itu lagi, qiamullail merupakan ibadah tambahan bagi menampung kekurangan dalam ibadah lain. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk melengkapkan ibadah fardu yang kita lakukan.

“Ayat ‘semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji’ jelas memberitahu bahawa ALLAH SWT begitu memuliakanal dan mengangkat darjat mereka yang rajin melakukan qiamullail.

“Dalam sebuah Hadis Riwayat al-Baihaqi, ada dijelaskan tentang kemuliaan seorang Mukmin adalah bangun malam. Justeru, sesiapa yang berbuat demikian (qiamullail), ia ibarat orang kenamaan (VIP) di sisi ALLAH SWT. Kemudian, dosa mereka akan dihapuskan.

“Mereka yang menghidupkan malam dengan qiamullail ialah orang yang bertakwa. Dalam ayat 15, Surah al-Dzariyat, diceritakan bahawa orang yang bertakwa itu akan ditempatkan dalam taman-taman syurga dengan mata-mata air terpancar daripadanya,” ujar beliau.

Imam Muda Aran meneruskan perkongsian ilmunya. Ujar beliau, qiamullail bukanlah bermaksud kita menghidupkan malam dengan amal ibadah sepanjang waktu berkenaan.

Qiamullail
MEMBACA al-Quran dan bersedekah juga merupakan antara ibadah sunat yang dianjurkan dalam Islam.

Walaupun amal ibadah dilakukan sebentar cuma, itu sudah dinamakan qiamullail, ungkap beliau.

“Terpulang kepada individu berkenaan untuk melakukan amalan-amalan baik pada waktu itu. Ada orang lebih suka berselawat, segelintir orang pula lebih gemarkan berzikir, bertasbih, suka baca hadis, baca al-Quran, menunaikan solat sunat dan seumpamanya.

“Lagi dahsyat jika al-Quran itu dibaca dalam solat, jadi dua dalam satu. Solat sunat dilakukan dan dalam solat itu pun dia baca al-Quran,” katanya.

Beliau turut kongsikan pandangan Ibnu Abbas RA tentang cara mudah untuk mendapat ganjaran seperti qiamullail. Ibnu Abbas menyatakan, qiamullail boleh diperoleh andai seseorang itu melakukan solat Isyak secara berjemaah di masjid atau surau, kemudian dia berazam dan menunaikan solat Subuh berjemaah keesokan paginya di rumah ALLAH.

“Namun, azam berkenaan mestilah ditepati. Bukannya mengelat, sampai masanya dia tak pergi berjemaah di masjid kecuali dirinya terhalang oleh sesuatu,” katanya.

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran menjawab: “Orang yang tidurnya sangat sedikit disebabkan solat tahajud dan juga amalan-amalan soleh yang lain serta sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut demi meraih keredaan-NYA, ketahuilah, semua itu merupakan ciri-ciri orang beriman.

“Dalam al-Quran ada dijelaskan, tiada seorang pun yang mengetahui nikmat indah dan menggembirakan yang bakal diperoleh oleh mereka sebagai imbalan bagi amal-amal soleh yang dilakukan,” ujar beliau.

Antara banyak amalan qiamullail, jelas Imam Muda Aran, solat malam itu begitu istimewa. ALLAH SWT menjadikan malam itu untuk berehat iaitu tidur, bermunajat dan qiamullail. Begitu juga dengan solat malam, ia juga satu bentuk rehat.

Abu Hurairah berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat pada pertengahan malam.” (Riwayat Muslim)

“Pada saat orang lain sedang relaks, kita pula bersusah-payah bangun, itulah perbezaan yang ALLAH SWT akan nilai hamba-hamba-NYA itu iaitu melalui ibadah qiamuallail berkenaan.

“Mudah untuk ALLAH kenal pasti daripada berbilion manusia, berapa ramai yang melakukan ibadah tersebut. Ini kerana ramai juga yang bangun malam, tetapi semata-mata untuk tengok (perlawanan) bola saja,” katanya mengakhiri bicara.

Ayuh, sama-sama kita hidupkan malam kita dengan amal kebaikan walaupun hanya sebentar cuma. Siapa tahu kesusahan kita di dunia ini akan memberi kesenangan kita di akhirat yang kekal abadi.

Lakukan amalan sunat sebagai tanda syukur

Qiamullail merupakan amalan orang soleh yang mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Iklan

Menurut pendakwah Ustaz Muhammad Hadi Ahmad Talhah, malam merupakan waktu terbaik untuk bermunajat, mengadu dan bersunyi-sunyian dengan ALLAH SWT. Malah, ia juga merupakan antara waktu mustajabnya doa iaitu pada satu pertiga akhir malam.

USTAZ MUHAMMAD HADI

Jelas beliau, mereka yang istiqamah dengan qiamullail menjadi antara salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.

“Ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan ALLAH kelak. Antaranya adalah seorang lelaki yang mengingati ALLAH ketika sunyi, bersendirian dan mengalir air matanya memohon ampun kepada-NYA.

“Amalan qiamullail juga merupakan antara satu ciri-ciri ibadurrahman (hamba ALLAH yang MAHA PENYAYANG),” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau menambah, qiamullail juga menjadi amalan rutin Nabi Muhammad SAW sekalipun ketika bermusafir.

“Bahkan, nabi sendiri menunaikan solat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya. Begitu lama baginda melakukan qiamullail sehinggakan Aisyah RA juga berasa pelik mengapa Rasulullah SAW bangun malam melakukan qiam sehingga begitu sekali keadaan kaki baginda. Sedangkan, jika baginda ada dosa sekalipun, ALLAH sudah ampunkan dosa yang dahulu dan akan datang.

“Cuma, baginda SAW hanya menjawab: ‘Apakah aku tidak boleh jadi hamba yang bersyukur?’

“Jelaslah bahawa syukur itu sebenarnya adalah dengan menambah amal ibadah kepada ALLAH SWT. Ini bermakna, kita melakukan amalan sunat itu sebagai tanda kita bersyukur kepada-NYA,” jelasnya sambil menambah bahawa amalan qiamullail juga akan memudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki.

Mengulas tentang adab qiamullail, Ustaz Muhammad Hadi menjelaskan, ia sama sepertimana kita menunaikan solat fardu iaitu kita bersuci dengan berwuduk sebelum menghadap ALLAH SWT dengan penuh khusyuk. “Solat yang dilakukan ketika orang lain lena dibuai mimpi sudah tentulah dalam keadaan ikhlas dan tidak riak, insya-ALLAH sudah tentulah DIA akan menerimanya,” katanya sambil menjelaskan bahawa solat sunat elok dilakukan di rumah.

Menjawab satu soalan lain, Ustaz Muhammad Hadi berkata: “Jika berniat melakukan qiamullail, tetapi tidak terjaga, kita akan dapat satu pahala dan apabila kita buat pula, akan dapat 10 pahala. Itu adalah asas pahala yang ALLAH SWT berikan kepada kita.

“Namun, kena ingat bahawa niat tadi itu kena bersungguh-sungguh, bukan sekadar niat hanya pada bibir saja. Jadi apabila tiba-tiba terjaga daripada tidur sudah masuk waktu Subuh, maka niat tadi akan dikira berpahala,” katanya.

Seperkara lagi, Ustaz Muhammad Hadi turut mengingatkan kita agar mengejutkan pasangan masing-masing untuk bersama-sama melakukan qiamullail.

“Ia sangat dituntut untuk dilakukan. Walaupun kita hanya dapat bangun jam 5 pagi, tiada salahnya kita melakukan amalan ini walaupun hanya setengah jam.

“Sekurang-kurangnya kita istiqamah. Amalan ini bukan dikira banyak atau sedikit, tetapi paling penting berterusan. Itulah sebaik-baik amalan iaitu secara berterusan walaupun sedikit,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Qiamullail
MEREKA yang istiqamah melakukan qiamullail iaitu mengingati ALLAH ketika sunyi, bersendirian dan mengalir air matanya memohon keampunan-NYA termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan ALLAH pada hari akhirat kelak.

ANEKDOT

Fadilat melakukan qiamullail

Iklan

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadah qiamullail:

1. Dibangkitkan di akhirat di tempat yang terpuji.

Firman ALLAH SWT: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

2. Ibadah yang memberi kesan mendalam kepada jiwa.

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.” (Surah al-Muzammil, ayat 6)

3. Waktu mustajab berdoa.

Rasullulah SAW bersabda: “Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang Muslim menepati saat itu dan berdoa kepada ALLAH SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat, nescaya ALLAH kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.” (Riwayat Muslim)

4. Ibadah yang disukai ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-NYA (dengan mengerjakan sembahyang Tahajud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.” (Surah al-Insan, ayat 26)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud

Foto: 123rf & Freepik