BIBIR begitu mudah menuturkan perkataan sabar. Namun, hati membentak-bentak seakan sukar benar untuk menerima sesuatu dan bersabar begitu sahaja.

Ya, bukan mudah untuk mendidik hati supaya bersabar. Apatah lagi saat diri ditimpa ujian berat atau sedang dalam keadaan amarah yang membuak-buak.

Begitulah lumrah sifat manusia. Begitupun, kita perlu ingat bahawa segala rasa itu semua datangnya daripada nafsu dalam diri.

Jika tidak dibendung, natijahnya begitu buruk.

Barangkali kita hilang kawalan dan bertindak di luar kewarasan akal. Maka sebab itulah segala rasa itu perlu ditundukkan dengan sifat sabar untuk melenyapkannya.

Disebabkan itulah perkataan sabar disebut sebanyak 90 kali dalam al-Quran. Ia sudah cukup membuktikan mengapa begitu pentingnya sifat sabar dalam diri.

Bagaimana cara kita untuk meningkatkan sifat sabar mengikut apa yang dianjurkan oleh agama Islam?

(Artikel berkaitan: Sabar hadapi cubaan, usah keluh-kesah kerana ini sebabnya ALLAH menguji)

Jom kita amalkan 6 tip ini yang boleh dilakukan untuk membebaskan diri daripada dibelenggu sifat kurang sabar:

1. Niatkan kerana ALLAH SWT

Sesungguhnya segala perkara yang diniatkan kepada ALLAH akan mendapat keredaan-NYA. Inilah yang akan memupuk sifat sabar dalam diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Amal itu tergantung niatnya dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Banyakkan membaca al-Quran

BANYAKKAN membaca al-Quran akan melapangkan hati kita.

Hati akan tenang apabila kita banyak membaca kalam ALLAH. Ia melorongkan kita supaya bersabar dalam setiap perkara.

Firman ALLAH SWT: “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

3. Puasa

Iklan

Ia merupakan antara cara untuk ‘mengasah’ diri supaya bersabar. Masakan tidak, puasa mengajar kita supaya bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga segala macam nafsu yang bersarang dalam diri.

4. Berzikir

LAZIMI diri kita dengan berzikir dan mengingati ALLAH SWT.

Membasahkan lidah dengan mengingati ALLAH akan membuatkan kita lebih kuat. Ingatan dan keyakinan kepada ALLAH dalam setiap perkara yang dilakukan membuatkan kita lebih bersabar dalam mengharungi suatu perkara.

5. Bersyukur dengan apa yang dimiliki

Lihat betapa banyaknya nikmat kurniaan ALLAH yang tidak terhitung kepada kita. Bersyukurlah dengan pemberian-NYA. Rasa syukur akan melatih diri kita menjadi orang yang sabar dan ikhlas dalam kehidupan.

Iklan

6. Berdoa

Jangan lupa titipkan doa agar kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi. Mohonlah kepada ALLAH semoga kita menjadi orang yang sabar.

Jom sama-sama kita praktis. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang yang bersabar.

Begitu besarnya sifat sabar ini kerana imbalannya bukan calang-calang. Sesiapa yang bersabar, insya-ALLAH mereka bakal menjadi calon-calon ahli syurga kelak.

Sumber: https://www.timesindonesia.co.id/ dan https://dalamislam.com/