Nampak remeh bila potong barisan, tapi dosa buat begitu

August 8, 2020
Nurulfatiha

“ISH, suka-suka hati je potong que (barisan). Penat aku beratur panjang-panjang dari tadi. Geram betul dengan orang yang tak ada rasa malu potong barisan macam ni.”

Ya, demikian yang kebanyakan dalam kalangan kita rasakan setiap kali ada orang lain memotong barisan.

Hati siapa yang tidak mendongkol geram apabila tiba-tiba sahaja ada orang bertindak sedemikian. Tambah menyakitkan hati, apabila kita sudah lama beratur menunggu giliran demi memenuhi urusan tertentu seperti membeli makanan dan seumpamanya.

Ketahuilah bahawa sebenarnya haram hukumnya memotong barisan. Demikian tegas pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu melampaui batas , sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Jelas PU Salman, perbuatan potong barisan adalah melampaui batas kerana telah mengambil hak orang lain.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mendahului pada sesuatu yang harus (bukan hak orang lain), maka dia lebih berhak mendapat perkara itu.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Jangan seseorang menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian dia duduk di situ.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW turut bersabda: “Sesiapa yang berdiri dari satu tempat duduk, kemudian balik semula ke situ, maka dia lebih berhak.” (Sahih Muslim)

Berdasarkan nas-nas berkenaan, kata PU Salman, memang jelas pengharaman perbuatan memotong barisan itu.

“Perbuatan ini juga menyakiti orang lain terutamanya sesama Muslim. Ia adalah dosa yang jelas,” jelasnya.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita agar tidak menyakitkan hati orang lain.

Ramai yang menganggap remeh perbuatan potong barisan itu. Ingatilah bahawa dosa tetap dosa jika memotong que.

Sekalipun rakan sendiri yang terlebih dahulu beratur mengajak kita turut sama beratur di barisannya, elakkanlah menerima tawarannya.

Sebaiknya, jagalah hati orang lain yang beratur menunggu giliran.

Sumber: Facebook PU Salman

About Nurulfatiha

Biodata Penulis