KERAP kali juga kita dengar orang di sekeliling mengatakan, orang sedang berjunub ada pantang larang tertentu. Bukan sahaja bab melibatkan ibadah, tetapi juga perkara lain.

Antara yang kita selalu dengar adalah tidak boleh melakukan pekerjaan lain sebelum mandi junub.

Begitu juga jika ingin menjamu selera. Tidak boleh makan dalam keadaan berjunub dan seumpamanya.

Ada pula pandangan orang menyatakan tiada masalah untuk mereka yang dalam keadaan berhadas besar itu makan, tetapi dia perlu mengambil wuduk terlebih dahulu.

Apakah pandangan Islam dalam hal ini? Wajib mandi junub terlebih dahulu sebelum makan dan minum atau cukup sekadar berwuduk sahaja untuk menjamah makanan?

Dalam hal ini, ada satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Keberkatan makanan itu adalah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ketika mensyarahkan hadis berkenaan, al-Mubarakfuri menyatakan antara hikmahnya adalah: “Sesungguhnya makan selepas membasuh kedua-dua tangan menjadikan ia lebih selamat dan enak (makanan tersebut), kerana tangan tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti (seharian kita), maka membasuhnya adalah (merupakan perbuatan) lebih dekat (terjamin) kepada kebersihan dan kesucian.

“Juga kerana tujuan makan adalah untuk memudahkan kita beribadah (ada kekuatan). Maka, perkara tersebut sesuai, lebih-lebih lagi ia selari dengan perbuatan bersuci bagi menunaikan solat (berwuduk) yang mana dimulai dengan membasuh kedua-dua tangan. Manakala makna kedua bagi berwuduk di sini ialah membasuh kedua-dua tangan dan mulut daripada lemak-lemak (daging yang melekat).” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/470)

Makan dan minum

Daripada hujah berkenaan, maka mereka yang berjunub disunatkan untuk berwuduk sebelum makan dan minum.

Di sisi Mazhab Syafi’iyyah, membasuh tangan sebelum makan bagi orang yang berjunub, hukumnya adalah sunat. Malah, ia juga merupakan pandangan dalam Mazhab Hanafiyah dan Hanabilah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Mereka berhujah dengan riwayat daripada Aisyah RA: “Bahawa Rasulullah SAW sekiranya dalam keadaan berjunub. Kemudian, baginda mahu makan atau tidur, baginda akan berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

(Artikel berkaitan: Wanita datang bulan tetap boleh kumpul pahala dengan 5 perkara ini)

Menurut Al-Khatib al-Syirbini: “Diqiaskan orang yang berjunub dengan perempuan yang haid dan nifas sekiranya telah berhenti darahnya. Juga diqiaskan dengan perbuatan makan dan minum. Hikmah akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan.

“Sekiranya dia melakukan semua perkara tersebut (seperti makan, minum dan tidur) dalam keadaan berjunub, hukumnya adalah makruh. Dan wuduk yang dimaksudkan di sini ialah wuduk syar’ie (sebagaimana hendak solat) dan bukannya lughawi (membasuh tangan). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/195)

Syeikh Abdul Aziz al-Rajihi menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan keluasan dalam perkara tersebut.

Iklan

Dalam hadis yang lain menyatakan, sekiranya Nabi Muhammad SAW mahu makan, baginda akan berwuduk terlebih dahulu. Sedangkan dalam hadis itu menunjukkan baginda hanya membasuh kedua-dua tangannya.

Makan dan minum

Oleh yang demikian, perbuatan membasuh tangan itu hukumnya adalah harus.

Namun begitu, jika seseorang itu dapat berwuduk, maka ia adalah lebih baik (afdal) dan tiada masalah sekiranya dia meninggalkan wuduk sekalipun.

Begitupun, sekiranya orang yang berjunub tadi mahu tidur, dia hendaklah berwuduk sebagaimana wuduk untuk menunaikan solat.

Apa-apapun, jangan biarkan atau sesekali kita makan dan minum tanpa berwuduk atau membasuh tangan terlebih dahulu.

Iklan

Ketahuilah, sebenarnya terselit hikmat di sebalik amalan berwuduk dan membasuh tangan itu.

Ini kerana, Imam al-Ghazali menyebut dalam Ihya’ ‘Ulum al-Deen menyatakan, tangan kita tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti seharian kita.

“Maka, membasuhnya adalah merupakan perbuatan yang lebih dekat (terjamin) kepada kebersihan dan kesucian,” kata ulama berkenaan.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123rf & Freepik