KERJAYA sebagai pereka dalaman adakalanya menuntut kita untuk berurusan dengan pelanggan bukan Islam.

Benar, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam selagi mana tiada ancaman kepada agama suci ini dan umatnya.

Namun begitu, seandainya diminta untuk terlibat dengan projek seperti merekabentuk ruang bar dan selainnya, bolehkah ia dilakukan oleh pereka dalaman yang beragama Islam?

Dari segi komisen pula, apakah hukumnya menggunakan wang yang diterima hasil kerja tadi?

Dalam mengupas isu itu, terdapat dua pandangan ulama. Ada pandangan yang mengharuskan seorang Muslimin terlibat dengan membina dan bekerja di gereja dan sebahagian ulama pula mengharamkannya.

Begitupun, jika diteliti semula semua pandangan ulama dan dalil-dalil yang digunakan, majoriti ulama menyatakan bahawa haram orang Islam terlibat dalam proses pembinaan gereja atau rumah ibadat agama lain.

Ia bersandarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri.

Kata Saidina Umar RA: “Barang siapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan akan ditohmah.”

Justeru, kita perlu mengelakkan apa jua perkara berisiko yang mendatangkan fitnah kerana ia akan memberi kesan jangka pendek atau panjang.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya.” (Sunan Abi Daud)

Ketahuilah bahawa Islam merupakan agama yang fleksibel dan meraikan keperluan manusia. Dalam hal ini, ada beberapa pengecualian diberikan dalam situasi tertentu.

Umpamanya, jika seseorang itu memenangi sebuah tender untuk projek pembinaan atau baik pulih rumah ibadat agama lain, maka wajib ke atasnya untuk menolak tender berkenaan.

Iklan

Akan tetapi, seandainya mereka terpaksa membayar denda atau pampasan atas penolakan tersebut dan bayaran dikenakan pula mahal serta membebankan, ada ‘keringanan’ diberikan.

Pada masa itu, individu tadi boleh bertaqlid kepada Mazhab Hanafi dan Syeikh Yusof al-Qaradawi yang mengharuskannya atas dasar maslahah.

Projek rumah ibadat lain
ELAKKAN diri daripada terlibat dengan projek pembinaan atau merekabentuk dalaman melibatkan rumah ibadat bukan Islam atau ruang-ruang solat agama lain. -Gambar hiasan

Tidak kiralah apa jua pekerjaan yang diceburi sama ada terlibat dalam pembinaan rumah atau bangunan dan membuat reka bentuk dalaman yang melibatkan rumah ibadat bukan Islam, berusahalah untuk tidak terlibat dengan kerja-kerja seumpama itu.

Sekiranya benar-benar tidak mampu berbuat demikian dan dibimbangi akan menyebabkannya jatuh miskin, maka boleh bertaqlid dengan mazhab yang mengharuskannya atas dasar darurat.

Iklan

Akan tetapi, hindari diri daripada menerima projek sebegitu adalah lebih utama dan lebih hampir kepada sifat takwa.

Sebagai Mukmin yang sejati, berusahalah untuk melakukan apa disuruh-NYA dan meninggalkan larangan-NYA serta sebarang perkara yang berunsurkan syubhah.

Ingatlah bahawa kita dijadikan oleh ALLAH SWT untuk mengabdikan diri kepada-NYA. Sentiasalah mengingati-NYA dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang