DALAM sejarah pemikiran umat Islam, isu tentang ateisme bukanlah perkara baharu. Sejak daripada awal perkembangan Islam, masalah berkaitan fahaman atau kepercayaan yang tidak mengakui kewujudan Tuhan telah didengari.

Kisah Imam al-Ghazali (505 Hijrah) umpamanya, yang berhadapan dengan serangan ahli falsafah pada zamannya. Ia termasuklah daripada golongan materialis dahriyyun yang menyangkal kewujudan ALLAH SWT. Mereka menyatakan, alam ini bersifat qadim (tercipta dengan sendiri).

Imam al-Ghazali melalui karyanya Tahafut al-Falasifah menjawab dengan tegas bagi ‘meluruskan’ kembali kekacauan pemikiran tersebut. Kritikan itu akhirnya membuatkan ahli falsafah tidak mampu lagi untuk bangun bagi mempertahankan pemikiran mereka. Begitu juga kisah debat yang masyhur antara Imam Abu Hanifah dengan golongan ateis.

Justeru, dalam wacana akidah semasa berdasarkan pengajian Sifat 20, ulama Ahli Sunah Waljamaah dalam kalangan Asha‘irah dan Maturidiyyah menetapkan, antara satu sifat yang wajib bagi ALLAH SWT ialah ‘wujud’.

Ia adalah sifat yang paling penting dalam perbincangan Sifat 20. Lawan kepada sifat itu ialah ‘adam’ atau tiada. Ada banyak dalil dalam al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa ALLAH itu wujud.

Firman ALLAH SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-NYA ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada ALLAH yang menciptakan-Nya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada ALLAH.” (Surah al-Fusilat, Ayat 37)

Dalam memahami ateisme, buku risalah Ateisme Satu Penelitian Awal tulisan Muhammad Rashidi Wahab yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antara rujukan penting kepada umat Islam di Malaysia.

Pada 3 Mei 2019, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Sinar Islam mengeluarkan artikel tentang ‘Kecelaruan ateisme terhadap Tuhan dan agama’. Artikel ini adalah lanjutan daripada topik berkenaan.

Pengajian akidah sifat 20
KEYAKINAN dan pemikiran ateis jelas terpesong serta bercanggah dengan dalil-dalil agama Islam.

Bukti kewujudan ALLAH

Untuk mencapai keyakinan tentang kebenaran wujudnya Tuhan iaitu ALLAH SWT, ia boleh diperoleh melalui dua jalan. Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh al-‘Allamah Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti dalam karyanya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat, selain hujah fitrah dan historikal;

1. ​​​​​​​Memerhati dengan pancaindera terhadap perkara yang diciptakan oleh-NYA seperti alam semesta yang tidak dijadikan dengan sia-sia. Melalui analisis yang sempurna dengan kaedah berfikir menggunakan akal secara tepat (mantik), seseorang itu akan berasa yakin terhadap bukti-bukti kewujudan ALLAH SWT.

2. Mengkaji kewujudan ALLAH SWT berdasarkan perkhabaran yang disampaikan kepada manusia melalui al-Quran dan hadis mutawatir serta hadis sahih. Kajian itu hendaklah dibuktikan melalui kaedah-kaedah ilmiah tertentu melalui al-istiqra’ al-tam. Namun begitu, fokus tulisan ini melalui jalan pertama sahaja.

Menurut al-‘Allamah al-Buti, alam semesta yang dapat disaksikan sekarang adalah daripada perkara mumkin yang mana akal dapat menerima bahawa tidak mustahil alam semesta ini boleh ditiadakan.

Barangkali wujud sesuatu sebab tertentu yang boleh menyebabkan ketiadaannya, sebagaimana wujud sesuatu sebab tertentu yang telah mengadakannya. Maka, segala yang berlaku terhadap alam semesta sudah pasti wujud suatu kesan dari luar yang memberatkan salah satu daripada dua mumkin, sama ada ia layak menerima ada atau tiada.

Dalam hal itu, akal akan menyatakan, semestinya wujud kekuatan luar yang memberikan kesan kepada alam semesta. Ia dikaitkan dengan kekuatan Tuhan.

Selain itu, kejadian dan aturan alam semesta yang mengagumkan membuktikan bahawa di sebaliknya sudah tentu terdapat pencipta dan pengaturnya. Mustahil ia berlaku dengan sendiri. Pencipta itulah yang mengarahkan alam semesta ‘berjalan’ menuju kepada matlamat yang telah ditentukannya.

Iklan

Natijah daripada hakikat itu menunjukkan bahawa alam semesta bukan bersifat qadim. Maka, sudah tentu wujud suatu kekuasaan yang memberi kesan untuk menciptakan alam ini iaitu ALLAH SWT selaku Tuhan MAHA PENCIPTA.

Semua bukti itu berupaya mengelukan lidah golongan ateis walaupun mereka sengaja berdolak-dalik dan menutup akal dengan pelbagai alasan. Golongan tersebut selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian bermula dengan teori Big Bang.

Akan tetapi, semua keyakinan itu jelas terpesong dan bercanggah dengan dalil al-Quran atau hadis. Ia turut ditolak oleh kaedah ilmiah dan rasional akal manusia yang sihat.

Iklan

Menurut al-‘Allamah Mustafa Sabri dalam karyanya, Mawqif al-‘Aql wa ‘Ilm wa al-‘Alm, hujah kemungkinan dan kebetulan itu akan runtuh dengan sendiri kerana terdapat ‘ketidakteraturan’ dan ‘ketidaktersusunan’ terhadap sesuatu walaupun dibiarkan jutaan tahun.

Dengan kata lain, golongan ateis tetap mengandaikan bahawa segala apa yang tersusun di muka bumi ini adalah bukan aturan daripada ALLAH SWT yang menciptakan segala-galanya.

Maka, benarlah kata-kata al-‘Allamah al-Buti bahawa ateisme tidak lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanyalah mengikut hawa nafsu semata-mata!

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor