Iklan

Pasang ayat al-Quran di TV dan radio, tapi fikiran entah ke mana-mana. Baca penjelasan Ustaz Azhar Idrus

June 10, 2020
Nurulfatiha

KADANG-KADANG kita rasakan tiada rancangan TV yang menarik. Bila tukar channel, nampak pula ada bacaan ayat suci al-Quran.

Lalu, kita memilih siaran itu.

Iklan

Mungkin bagi kita, lebih baik dengar alunan kalam ALLAH daripada tonton cerita yang entah apa-apa.

Lepas tu, kita tak hayatinya langsung, siap bersembang depan TV tu. Macam TV tu pula tengah tengok kita.

Walhal, bait-bait kalimah kalamullah itu sedang berkumandang.

Iklan

Begitu juga keadaannya bagi segelintir orang bila pasang atau dengar ayat al-Quran di radio. Sekadar untuk menghidupkan suasana di rumah.

Tapi bila mengaji, boleh pula semua orang pakai pakaian yang menutup aurat, berwuduk dulu sebelumnya dan duduk dengan sopan.

Ya, semua tahu adab bila membaca al-Quran dan mendengar orang lain membaca al-Quran. Namun, bila kita dengar laungan ayat suci dari televisyen dan radio pula bagaimana?

Perlu lagi ke kita jaga adab sepertimana kita mengaji dan mendengar orang lain membaca al-Quran?

Ketahuilah bahawa saat alunan ayat suci al-Quran sedang dibacakan walaupun menerusi televisyen atau radio dan seumpamanya, kita disunatkan untuk melakukan sepertimana biasa iaitu mendengar dan memerhatikan makna bacaan.

Makruh hukumnya seandainya kita membuat bising. Tidak kiralah sama ada berbual-bual ataupun bermain-main. Ia sebenarnya termasuk dalam perbuatan yang menyalahi adab yang baik.

Semua itu jelas sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Syarah al-Yaqut an-Naafis yang menerangkan: “Kemudian jikalau bacaan al-Quran terdengar daripada radio atau televisyen atau lain dari keduanya dan sebahagian daripada yang hadir di situ atau salah seorang daripada mereka lalai ia atau bermain dengan permainan yang sia-sia, tidakkah itu dikira berpaling dan tidak memuliakan al-Quran?

“Maka hukumnya tidak jauh daripada haram ataupun sekurang-kurangnya kami kata dengan makruh hukumnya,”

Menjelaskan lanjut tentang perkara itu, pendakwah, Ustaz Azhar Idrus berkata, mereka yang hadir pada tempat yang sedang diperdengarkan bacaan al-Quran itu, usahlah melalaikan diri dengan berbuat tidak endah atau bermain yang sia-sia.

Ini kerana jelasnya, perbuatan itu seolah-olah menunjukkan kita berpaling daripada memberi tumpuan untuk mendengar bacaan al-Quran sebagaimana yang disunatkan berbuat demikian.

“Adapun orang yang membuka siaran bacaan al-Quran, kemudian dia sendiri tidak menghiraukannya dengan berbual atau bermain-main, nescaya tidak jauh haramnya.

“Disunatkan siapa yang hadir pada tempat yang tersiar bacaan al-Quran mendengarnya dan tidak membuat kesalahan jika meninggalkan tempat tersebut kerana ada hajat yang lain,” katanya menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Bagaimana pula jika siaran televisyen bacaan al-Quran itu terpasang di tempat awam dan menjadi laluan mereka yang lalu lalang?

Jelas Ustaz Azhar, jika dalam keadaan demikian, ia tidak dikira berpaling atau tidak mengendahkan al-Quran.

Justeru, sebagai umat Islam, jagalah adab dan kemuliaan al-Quran tak kiralah di mana saja kita berada.

Kalau terdengar bacaan al-Quran di mana-mana, hormatilah ia dan dengarkan alunan kalam ALLAH itu dengan sebaiknya.

Sumber: Instagram Ustaz Azhar Idrus

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis