SELAIN menghidupkan sunah Aidilfitri di rumah masing-masing ketika menyambut lebaran kali ini, lagu raya turut memainkan peranan dalam membangkitkan mood hari raya.

Masakan tidak, lagu itukan berbentuk hiburan. Ia boleh jadi terapi, peneman dan pengubat rindu meskipun tak dapat pulang ke kampung halaman beraya bersama insan tersayang yang jauh nun di sempadan negeri.

Begitu juga bagi mereka yang berpeluang menziarahi keluarga terdekat. Semacam tidak lengkap hidup bila tiada lagu raya berkumandang.

Tambahan pula, ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berseloroh suruh mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala pada 10 Mei lalu. Memang ‘kecoh’ juga dibuatnya dan jadi bualan ramai ketika itu.

Itu cerita pada bulan Ramadan lalu. Bila sudah masuk bulan Syawal, lagu-lagu raya bukan saja kerap dimainkan di radio malah di tempat-tempat awam dan majlis keraian juga.

Memandangkan kita tak boleh adakan rumah terbuka, majlis sambutan hari raya dan sebagainya, ada juga yang memainkan lagu raya di pejabat dan tempat-tempat awam sebagai nak menghidupkan suasana lebaran.

Boleh ke kita mainkan lagu-lagu hari raya di tempat-tempat sebegini? Adakah ia termasuk sebagai hiburan yang dibenarkan? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Sebenarnya, tiada larangan bagi orang Islam untuk merayakan atau meraikan hari raya dengan permainan atau nanyian pada asalnya.

Ia kerana kita meraikan hari kemenangan, kebahagiaan dan hari kita kembali pada fitrah setelah melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Bahkan, bergembira pada bulan Syawal juga tidak ditegah. Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut lebaran.

Tapi ada batasnya iaitu dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima oleh agama Islam.

(Artikel berkaitan: Ini dia cara Rasulullah SAW sambut Aidilfitri)

Berdasarkan hadis daripada Aisyah RA: “Abu Bakar pernah masuk menemui kami pada hari raya, sedang bersama kami dua orang wanita sedang bernyanyi-nyanyian ‘Bu’ats’ di mana Rasulullah sedang menghadapkan mukanya ke dinding. Kemudian, Abu Bakar masuk lalu berkata: ‘Seruling syaitan berada di samping nabi!’ Maka Rasulullah berpaling dan berkata kepada Abu Bakar: ‘Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai hari raya dan inilah hari kegembiraan bagi kita’.” (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

Ketahuilah bahawa Mukmin sebenar akan berasa gembira kerana berterima kasih kepada ALLAH SWT atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan pada bulan Ramadan.

Sudah tentulah orang Mukmin akan berasa puas dengan usaha mereka yang berganda pada waktu itu walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada ALLAH SWT.

Justeru, tidak salah bergembira dengan memasang lagu raya. Asalkan kita tidak lalai dan lagha daripada mengingati ALLAH dan mengabaikan ibadah kepada-NYA.

Iklan

Jangan pula kita pasang lagu raya kuat-kuat, sampaikan orang marah dengan tindakan kita tadi.

Berpada-padalah ya dan jaga juga hati orang di sekeliling kita terutama jika kita pasang lagu raya di komputer pejabat atau di rumah masing-masing. Nanti tak pasal-pasal jadi cerita lain pula.

(Sumber: mufti.perak.gov.my & murshid.my)