LEBIH dua minggu lalu, dunia Islam kehilangan seorang tokoh ilmuan hadis dan pakar tafsir yang faqih buat selama-lamanya. Beliau ialah Syeikh Prof Dr Nuruddin ‘Itr yang menemui Pencipta-NYA pada 23 September lalu.

Perkhabaran duka itu begitu menjentik emosi ramai orang. Malah, media sosial pada ketika itu dihujani dengan berita berkenaan dan sarat dengan ucapan takziah, selain mendoakan agar roh ulama berkenaan dicucuri rahmat dan tempatnya di jannah.

Menerusi carian di internet, sebenarnya tidak banyak cerita yang dimuat naik tentang beliau. Difahamkan, hal peribadi, aktiviti mahupun dakwahnya ditulis banyak dalam bahasa Arab.

Namun, tatkala kematiannya, begitu ramai yang memperkatakan tentang kebaikan dan ilmunya yang menjadi rujukan ramai terutama mereka yang terbabit dalam bidang hadis dan tafsir.

Itu sudah cukup membuktikan bahawa Allahyarham Sheikh Prof Dr Nuruddin, 83, bukanlah insan biasa-biasa. Pastinya banyak keringat yang disumbangkan beliau kepada Islam.

Malah, ketika hayatnya, sarjana itu dengan penuh tawaduk berkata: “Mencintai al-Azhar adalah bekal persiapanku menemui ALLAH,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal tarbiyahislamiyah.id.

Sesungguhnya, kematian itu sesuatu yang pasti. Ia akan dihadapi oleh semua orang yang ada di muka bumi ini. Namun, perginya seorang insan yang merupakan ilmuan hebat itu merupakan satu kehilangan yang besar.

Benarlah sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hamba-NYA. Tetapi ALLAH menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keturunan Nabi Muhammad

Menelusuri salasilahnya, ilmuan Mazhab Hanafi itu berasal daripada keturunan cucu Nabi Muhammad SAW iaitu Hasan RA.

Anak kelahiran Aleppo, Syria pada tahun 1356 Hijrah bersamaan 1937 Masihi itu datang daripada keluarga yang alim dan mulia.

Bapanya, Muhammad ‘Itr merupakan anak murid ulama bernama Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin Rahimahumullah.

Dr Nuruddin 'Itr
KITAB Manhaj al-Naqd Fi Ulum Hadith antara karya Dr Nuruddin ‘Itr yang menjadi rujukan ramai termasuk di universiti di seluruh dunia.

Sememangnya, beliau dilahirkan untuk mencurahkan baktinya kepada agama ALLAH. Bayangkan pada usianya yang kecil, beliau sering diajak bapanya untuk menghadiri majlis pengajian para ulama.

Dari segi akademik, Sheikh Dr Nuruddin ‘Itr memulakan pembelajarannya di sekolah tsanawiyyah syari’yyah di Khusruwiyyah, Aleppo hingga memperoleh ijazah tsanawiyyah peringkat pertama pada tahun 1954.

Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar di Mesir. Ramai yang pernah menjadi gurunya antaranya Syekh Mustafa Mujahid, Syekh Muhammad Muhammad Samahi, Syekh Abdul Wahab al-Buhairi dan Syekh Muhyiddin Abdul Hamid.

Dalam kalangan para pendidiknya itu, figura yang paling berpengaruh dalam membentuk keilmuan dan kerohanian kepada Dr Nuruddin ialah al-Allamah Syekh Abdullah Sirajuddin al-Husaini iaitu seorang hafiz al-Quran dan mufassir (ulama tafsir).

Pada tahun 1964, Dr Nuruddin ‘Itr berjaya menamatkan ijazah doktor falsafah PhD dalam jurusan tafsir dan hadis. Ketika itu, beliau turut menghasilkan kajian perbahasan hadis yang berjudul Taroqat al-Tirmidzi fi jaamiihi wa al-muwazanatu bainahu wa baina al-shohaini.

Kajian berkenaan antara lain berkaitan tentang metod penulisan Imam al-Tirmizi dalam Sunannya hinggakan dianugerahkan sebagai kajian PhD kelas pertama.

Selepas menamatkan pengajiannya, Syeikh Dr Nuruddin pernah mengajar di banyak tempat. Antaranya di Syria, di Universiti Islam Madinah dan pensyarah di dua kampus di Damsyik serta Aleppo.

Sekitar tahun 1979, beliau dilantik menjadi ketua Fakulti Al-Quran dan Sains Hadis sebagai profesor di Universiti Damsyik. Beliau turut mengajar di kampus Islam yang lain. Pada masa sama, beliau tanpa jemu berkongsi ilmu di banyak masjid.

Guru yang baik

Hasil pembacaan Sinar Islam, Dr Nuruddin ‘Itr mengarang lebih 50 karya. Ia menjadi rujukan penting oleh para ulama dan penuntut di merata dunia Islam.

Antara hasil karyanya yang paling menonjol adalah kitab Manhaj al-Naqd fi Uluum al-Hadith. Ia disebut-sebut sebagai sebuah sejarah babak baharu dalam ilmu Mustalah al-Hadith selepas zaman Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani (852 Hijrah).

Sebahagian karya beliau banyak dijadikan buku yang banyak diajar di universiti termasuk di Universiti Damsyik dan al-Azhar. Pada mata murid-muridnya, Dr Nuruddin ‘Itr merupakan bapa yang penuh perhatian, seorang guru yang tegas dan murabbi rohani.

Menurut Shaykh Haytham Tamim yang pernah bertemu dengan Dr Nuruddin sekitar tahun 1988, ketika dirinya masih remaja, beliau pergi ke Damsyik.

Sebaik tiba di sana dan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid Nafidh, beliau terdengar Dr Nuruddin ‘Itr membaca sanad Imam al-Bukhari.

“Saya terpegun dengan apa yang dibacakannya. Begitu indah bunyinya, perlahan dan dalam cara yang begitu teratur. Saya kagum.

“Pada waktu dan tempat inilah, shiekh (Dr Nuruddin) yang mempunyai jalur daripada keturunan Nabi Muhammad SAW dilihat begitu bersinar dengan cahaya, membaca (sanad) dengan cara cukup tertib. Tidak tergesa-gesa sehingga setiap kata-katanya dapat ‘ditangkap’ oleh orang sekeliling.

“Beliau membacanya sehingga orang dapat menyerap makna penuh daripada kata-katanya, memberi mereka masa untuk merenungkannya, menghafalnya dan menyimpannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel www.utrujj.org baru-baru ini.

Shaykh Haytham menambah, sesiapa yang pernah bertemu Dr Nuruddin pasti akan mengaguminya dan mengasihinya.

Dr Nuruddin 'Itr
DR NURUDDIN (kanan) tanpa jemu berkongsi ilmu yang dimilikinya, malah beliau juga tidak berkira untuk membantu pelajarnya yang memerlukan.

“Beliau begitu rendah diri dan tawaduk. Dengan pelajarnya pula, beliau sangat baik hati dan tidak berkira. Bayangkan beliau secara diam-diam membantu pelajar terutama ketika mereka yang jauh dari rumah dan tempat tinggal masing-masing.

“Selain itu, beliau juga akan memberikan (pelajar) salah satu daripada bukunya yang merupakan ‘harta karun’. Ketika membuka buku berkenaan, mereka akan mendapat wang (yang terselit di dalamnya),” kata beliau.

Ujar beliau lagi, Dr Nuruddin ‘Itr juga faqih dalam empat mazhab muktabar dalam Islam iaitu Hanafi, Hambali, Syafie dan Maliki.

“Saya masih ingat dalam satu program, Dr Nuruddin memberitahu bahawa beliau dan sekumpulan pelajar wanita di Kolej Syariah menghafal Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dengan sanad serta matan (teks hadis dan rantaian perawi).

“Dengan penuh teruja dan gembira beliau berkata: ‘Kita sudah ada muhaddisah (ilmuan hadis wanita) sekarang. Mereka akan sebarkan pengetahuan ini’,” katanya.

Bukan itu sahaja, banyak madrasah dan maahad yang dibantu Dr Nuruddin. Secara diam-diam, ilmuan berkenaan sering sahaja memberikan wang kepada pelajar.

Dari aspek rohani pula, Sheikh Dr Nuruddin digambarkan sebagai seorang yang sangat zuhud. Penyucian hati menjadi tujuannya dan menggapai reda ALLAH adalah harapannya. Begitu tawaduknya insan yang berhati mulia ini, selain ramah, penyayang, khusyuk dan lembut hatinya dengan menangis apabila memperkatakan sesuatu yang menyentuh perasaan dan sanubarinya.

Maka, sebab itulah ilmuan itu hidup jauh daripada kemasyhuran yang dikecapinya di tengah-tengah prestasi cemerlang yang diperolehnya. Oleh sebab itu, beliau selalu memilih untuk tidak dikenali.

Kehilangan besar

Pemergian Sheikh Dr Nuruddin lebih dua minggu lalu cukup memberi kesan mendalam kepada dunia Islam. Ilmu dan ketokohan yang dimilikinya sukar untuk dicari ganti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau pernah beberapa kali mengikuti pengajiannya bersama Allahyarham Syeikh Dr Nuruddin ketika di Majma’ Ilmi Damsyik di kota Syam.

DR ZULKIFLI

“Beliau adalah seorang yang terkenal dengan ketokohan dalam ilmu hadis. Semoga ALLAH merahmatinya dan menempatkannya bersama para solihin dan ulama,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Senada dengan Zulkifli ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

DR WAN SALIM

Jelas beliau, Allahyarham begitu dikenali sebagai seorang yang berpendirian tegas dalam menentang penyebaran fahaman Syiah di negaranya, sedangkan rejim Bashar al-Assad (Presiden Syria) memang mendukung dan berusaha untuk menyebarkan fahaman tersebut di negara berkenaan.

“Bagi yang mengenali diri Allahyarham, mereka memang menghormatinya sebagai seorang tokoh ulama yang warak, bersopan santun, ramah dan amat merendah diri walaupun terhadap anak-anak murid beliau sendiri.

“Pada masa sama, beliau juga terkenal dengan sikapnya yang ‘ketat’ dalam pengajarannya terutama dari sudut penilaiannya terhadap tesis para pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah,” katanya kepada Sinar Islam.

Peninggalan tokoh ilmuan dalam bidang hadis itu turut dirasai oleh Pensyarah Kanan Fakuti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Secara peribadinya, Dr Ahmad Sanusi begitu menggemari penulisan Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr dalam bidang Ulum al-Hadith. Malah, karyanya berjudul Manhaj al-Naqd Fi Ulum Hadith misalnya menjadi rujukan beliau ketika mengajar subjek ilmu hadis.

Iklan

“Salah satu elemen baharu yang dipersembahkan melalui karya ini adalah corak penyusunan idea dalam menyampaikan pemahaman mengenai bidang ini,” katanya.

Meskipun tidak pernah bertemu secara empat mata dengan Allahyarham, namun Dr Ahmad Sanusi yang mengikuti rapat perkembangannya sentiasa mengingati nasihat tokoh berkenaan yang begitu berbekas di hatinya.

Antara pesanan yang amat berguna pada hari ini adalah berkaitan dengan pengajian hadis-hadis fitnah akhir zaman, terangnya.

“Ketika berlakunya Arab Spring, dunia Arab digemparkan dengan pelbagai kejadian menyedihkan. Pertumpahan darah berlaku sesama Muslim. Malah, keruntuhan tamadan sebuah negara berlaku sekelip mata.

“Ketika ditanya mengenai perkara ini, Sheikh Dr Nuruddin berpesan kepada kita agar mempelajari dan meneliti hadis-hadis mengenai fitnah akhir zaman kerana sesungguhnya Nabi Muhamamd SAW pernah menyampaikan beberapa nasihat penting mengenai perkara ini.

“Andai kita semua berupaya menjauhi fitnah sebegini, maka negara umat Islam akan lebih aman dan damai, tidak seperti pergolakan yang berlaku pada hari ini,” katanya berkongsi pesanan Allahyarham yang begitu melekat di hatinya.

Meskipun jasadnya sudah tiada lagi di dunia ini, namun ilmu yang dimilikinya boleh disebarluaskan untuk kepentingan umat Islam sejagat. Al-Fatihah.

Kehilangan ulama beri kesan besar kepada ummah

Kematian seseorang ulama bukan sahaja menyebabkan dunia Islam telah kehilangan permata paling berharga, tetapi ia sebenarnya merupakan satu musibah yang besar kepada ummah.

Demikian pandangan yang dilontarkan oleh pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

USTAZ WAN AKASHAH

Jelas beliau, ulama merupakan pewaris nabi yang faqih dalam agamanya, mengamalkan ilmu, memerah keringat untuk menyampaikan dan memberi kefahaman dakwah Islam.

“Dalam al-Quran dan hadis, banyak disebutkan tentang kemuliaan ulama. Malah, ALLAH akan ‘mencabut’ ilmu itu dengan kematian para ulama,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Supaya ALLAH SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.“ (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.“ (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Jelas Ustaz Wan Akashah lagi, dalam kita menongkah zaman milenial kini, ramai orang yang ‘berguru’ dengan platform online seperti YouTube, media sosial dan sebagainya.

Hakikatnya, konsep berguru sebenar dalam Islam ialah kita perlu bertalaqi dengan guru berkenaan, terang beliau.

Maksudnya, kita bertemu dan berjumpa dengan guru. Itulah yang dikatakan ilmu yang berkat. Apabila kita dapat ilmu daripada YouTube dan orang yang tidak dikenali, walaupun kita sudah perolehnya, namun ia mudah saja ia luput dan barangkali tidak dapat dimanfaatkan.

“Sebab itulah sebaik-baiknya bertemulah guru kita, bertalaqi dengannya dan duduk bersamanya. Ia sebagaimana cara Rasulullah SAW bertalaqi dengan Malaikat Jibril AS sehinggakan lutut bertemu dengan lutut,” katanya.

Iklan

Justeru, tokoh pendakwah itu mengingatkan kita agar mengaut sebanyak mungkin ilmu daripada para alim ulama di tempat masing-masing selagi mereka masih hidup.

“Andai kita mendengar orang alim meninggal dunia, banyakkanlah beristighfar memohon ampun kepada ALLAH dan meminta supaya ALLAH melindungi kita daripada perkara yang menyesatkan.

“Seperkara lagi, cubalah cari hasil penulisan atau karya ulama yang berkenaan. Meskipun ulama berkenaan sudah meninggal dunia, tetapi penulisannya dapat kita manfaatkan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

ANEKDOT

PROFIL

DR NURUDDIN ‘ITR

Nama: Prof Dr Nuruddin ‘Itr

Umur: 83 tahun

Asal: Aleppo, Syria

Tahun kelahiran: 1937

Tahun kematian: 23 September 2020

Kepakaran: Ilmu tafsir dan tokoh ilmuan bidang hadis

Pencapaian: Pernah dilantik menjadi Ketua Fakulti Al-Quran dan Sains Hadis di Universiti Damsyik dan disenaraikan sebagai 500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2018 bagi kategori tokoh ilmiah.

Sumbangan: Menghasilkan karya-karya terkemuka yang menjadi rujukan ribuan penuntut hadis dan beliau disebut-sebut sebagai sejarah babak baharu dalam ilmu Mustalah al-Hadith selepas zaman Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani (852 Hijrah)

Sumber & Foto: bacalatansa.com, tarbiyahislamiyah.id, www.utrujj.org, zulhusnimatresat.blogspot.com, howiyapress.com & Asril Aswandi Shukor