Oleh DR AZRI BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

JAWATAN tertentu yang kita sandang, sebenarnya bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan. Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi dan kerja keras.

Istilah kepimpinan membawa definisi yang luas. Menurut tokoh Islam dalam bidang sains politik, al-Mawardi, ia (kepimpinan) merupakan tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia.


Sementara ahli sosiologi, Ibn Khaldun pula berkata, kepimpinan adalah membawa seluruh manusia supaya berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan apabila berada di alam yang kekal abadi nanti.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, Islam menjelaskan bahawa setiap manusia sama ada lelaki atau wanita ialah seorang pemimpin. Setiap orang ialah pemimpin terhadap dirinya sendiri atau kepada rakyat.

Susun strategi

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, seseorang perlulah merancang dan menyusun strategi dengan penuh rapi bagi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat.

Islam telah pun menggariskan pelbagai tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang baik untuk diterap dan diaplikasikan demi mewujudkan sebuah negara yang mapan, dinamik dan sentosa. Antaranya:

1. Memelihara dan memartabatkan agama.
Berusaha mempertahankan kesucian Islam daripada segala bentuk kesesatan, bidaah, penyelewengan dan ideologi yang bercanggah dengan agama suci ini.

Selain itu, seorang pemimpin wajib menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang merosakkan imej Islam dengan menggunakan kaedah atau pendekatan yang bersesuaian seperti penerangan, mengemukakan hujah, keterangan dan sehinggalah kepada tindakan undang-undang.

Sewajarnya, seorang pemimpin haruslah menjadi teladan yang baik dengan mempraktikkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya tidak mengamalkan kebenaran, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi.

ALLAH SWT berfirman: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri?“ (Surah al-Baqarah, ayat 44)

2. Menjaga keselamatan rakyat daripada anasir negatif dan pencerobohan pihak luar.
Hal tersebut dapat dilakukan dengan menyediakan benteng pertahanan yang kukuh dan kekuatan ketenteraan yang mantap.

Iklan

3. Menjamin keamanan dalam negara dengan melaksanakan undang-undang yang ditetapkan oleh syarak dan berlaku adil.
Pemimpin perlu memastikan pelantikan para hakim yang berkelayakan untuk memikul tugas supaya keadilan dapat ditegakkan, sekali gus menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

4. Menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan dengan bijaksana serta berhemah melalui saluran yang betul.
Pemimpin perlu memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan proses pengadilan tidak dizalimi.

5. Menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.
Kepimpinan melalui kementerian, jabatan dan sektor lain perlu menyiapkan kemudahan asas kepada rakyat mengikut bidang kerja masing-masing seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, perdagangan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan sebagainya.

Iklan

Ia adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah menyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu ‘polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.‘

Kesimpulannya, kepimpinan dalam konteks Islam merangkumi pelbagai aspek. Antaranya mereka perlu membina dan membangun insan yang sejahtera yang memiliki jiwa, akhlak dan rohani yang murni, bersaudara serta bantu membantu dalam melakukan apa juga kebaikan.

Seorang pemimpin atau ketua juga mesti bersama-sama berganding bahu dalam mencegah kemungkaran; mempertahankan nilai; kesucian dan kehormatan diri; menegakkan keadilan dan kebenaran; menolak kerosakan serta kebatilan.

Demikianlah peranan dan amanah yang perlu digalas demi menyemai kesejahteraan dan kebaikan di sebuah negara. Wallahu’alam.