Oleh FOUZIAH AMIR

SEBAGAI pemimpin keluarga dan syarikat, setiap orang perlu memahami amanah yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT dengan sebaiknya.

Demikian pandangan yang dilontarkan Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad (DNex), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir ketika ditanya tentang pembinaan ‘kerajaan diri’.

SYED ZAINAL ABIDIN

Soalan itu diajukan sempena program World #QuranHour yang membawa misi Surah al-Mulk yang bermaksud kerajaan pada kali ini anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

World #QuranHour yang mengangkat Surah Al-Mulk bakal diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 24 Ramadan 1442 Hijrah bersamaan 6 Mei ini.

Program tersebut bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan TV Alhijrah bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.

Bagi Syed Zainal Abidin, paling penting tugas yang digalas itu perlu dilakukan penuh komitmen, dedikasi dan terbaik.

“Pemimpin dilihat sebagai contoh kepada orang lain. Saya sendiri menjadi contoh di rumah mahupun di tempat kerja.

“Kita bukan sahaja menunjukkan diri sebagai ketua yang berkaliber, tetapi menunjukkan nilai dan akhlak yang baik sebagai umat Islam.

“Umpamanya, jika kita marah, perlu cara berhemah. Bukan marah tidak tentu pasal sehingga orang lain jadi tertekan dan kemurungan. Kita harus memberi teguran dan nasihat yang boleh mendorong mereka jadi lebih baik.

Baca juga Ini sebab pemilihan Surah al-Mulk jadi tema program interaksi dengan al-Quran dan #QuranHour 2021

“Apa pun, kita tidak boleh menganggap orang lain mesti ikut seperti kita, sedangkan mungkin mereka tidak mempunyai ilmu berbanding kita,” katanya ketika ditemu bual di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, menjadi pemimpin bukan sekadar hanya tahu memberi arahan dan mentadbir, tetapi peranannya lebih daripada itu.

Pemimpin boleh menjadi guru, ustaz waima pendidik kepada orang yang dipertangungjawabkan di bawahnya untuk memberi tunjuk ajar, peluang dan pendidikan terbaik.

“Cara ini boleh diaplikasikan dalam keluarga mahupun syarikat,” katanya.

Pemimpin
PEMIMPIN bukan sekadar hanya tahu memberi arahan dan mentadbir, tetapi boleh menjadi guru dan pendidik kepada orang yang dipertanggungjawabkan di bawahnya.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin yang juga mantan peneraju syarikat gergasi Perodua dan Proton berpendapat, sebagai pemimpin dalam organisasi, dirinya lebih senang menjawab pertanyaan tentang prestasi kerja oleh pengerusi.

Iklan

“Apa yang saya takuti apabila ditanya oleh ALLAH SWT. Adakah kita memberi ruang seluasnya kepada orang di bawah jagaan untuk solat, belajar agama dan mencari ilmu? Saya melihat perkara ini penting.

“Bagi saya, jika ada jawatan yang boleh membawa pengaruh, dia akan menjadi contoh. Saya sendiri memanfaatkannya untuk menjadi imam solat berjemaah. Jika ada ruang sebelum masuk waktu Zohor, adakan ceramah.

“Pemimpin yang baik perlu tunjukkan contoh yang baik seperti disiplin kedatangan dan cara bekerja.

Iklan

“Lama-kelamaan orang lain akan ikut. Begitu juga sebagai ayah dalam keluarga yang menjadi teladan baik,” ujarnya.

Orang ramai dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1442H di lokasi masing-masing dengan mendaftar hotspot melalui bit.ly/ WQH1442H.

Foto: Fouziah Amir & Freepik