PADA hari Ahad minggu lalu, sejarah baharu tercipta apabila vaksin Covid-19 tiba ke negara ini.

Masakan tidak, sudah lebih setahun seluruh dunia dihantui dengan virus yang boleh membawa maut itu.

Maka, detik itulah yang paling dinanti-nantikan semua orang. Vaksin itu akan menjadi ‘perisai’ kepada wabak berkenaan.

Vaksin Covid-19

Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech pada hari Rabu lalu. Beliau sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin berkenaan di negara ini.

Baca juga Jururawat suntik PM vaksin Covid-19 kongsi pengalaman

Pun begitu, masih ada lagi yang waswas dengan pengambilan vaksin berkenaan. Sedangkan, Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020.

Namun begitu, masih ada segelintir pihak yang mula bersuara bahawa pengambilan suntikan berkenaan dianggap sebagai menafikan konsep tawakal. Benarkah begitu?

Tampil menjawab persoalan berkenaan, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menerusi Twitternya baru-baru ini mengemukakan pandangan Al-Syeikh Muhammad Soleh Al-Al-‘Utsaimin tentang perkara itu.

MUHAMMAD FAHMI

Ujar beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, ulama yang pakar dalam bidang sains fiqh itu pernah ditanyakan berkenaan suntikan vaksin untuk penyakit meningitis (radang pada selaput otak).

“Sebahagian orang mendakwa bahawa pengambilan vaksin ini hukumnya haram kerana menafikan konsep tawakal.

“Namun begitu, Syeikh menjawab, ‘Bahkan suntikan ini merupakan sebahagian daripada tawakal kerana tawakal juga mesti mengambil kira usaha’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya.

Baca juga Orang ramai kini boleh daftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera

Iklan

Menyambung hujahnya, ujar Muhammad Fahmi lagi, Al-Syeikh Muhammad Soleh kemudian menambah bahawa: “Ketua golongan yang bertawakal iaitu (Nabi) Muhammad SAW sendiri apabila pergi memerangi musuh, baginda memakai perisai besi.”

“Perhati dan telitikan jawapan yang diberikan tokoh ulama itu,” pesannya.

Vaksin Covid-19

Justeru, jelaslah bahawa mengambil vaksin itu adalah sebahagian daripada tawakal dan usaha kita untuk melindungi diri serta orang lain daripada wabak yang boleh membawa maut.

Iklan

Bahkan, agama Islam juga memberi penekanan kepada kita untuk membuat rawatan, di samping reda dengan takdir ALLAH SWT.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kami merawat (penyakit) kerana sesungguhnya ALLAH tidak menjadikan suatu penyakit melainkan DIA turut menyediakan ubat baginya, melainkan satu penyakit sahaja iaitu ketuaan.” (Riwayat Abu Daud & Ahmad)

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR & Al-Bayan Siri 7: Pengambilan Vaksin Covid-19 : Hukum dan Permasalahannya terbitan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Foto: Freepik