NAMA Ibnu Batutta tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan ilmuan Islam adab ke-14 yang tersohor seantero dunia meskipun sudah jasadnya tiada lagi di muka bumi ini.

Tokoh hebat itu tercatat sebagai penjelajah dan pengembara terkemuka, selain ‘pelancong’ paling berpengalaman.

Ibn Batutta atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad ibn Abdullah aI-Lawati al-Tanji Ibnu Batutta dilahirkan pada tahun 1304 Masihi di Tangier, Maghribi.

Beliau berketurunan barbar suku Lawita dan berasal daripada keluarga yang kebanyakannya merupakan hakim. Ahli keluarganya semuanya bergelar cendekiawan.

Pada usia 12 tahun, figura hebat itu telah menghafal al-Quran. Selain itu, beliau juga mendalami ilmu tafsir al-Quran, hadis, tatabahasa, ilmu hukum, teologi dan lain-lain sehinggalah pada 1325 Masihi, barulah Ibnu Batutta memulakan perjalanan dengan meneroka dunia luar.

Sesungguhnya, ilmuan itu begitu beruntung kerana dapat mengerjakan Rukun Islam ke-5 pada usia 21 tahun. Malah, ia merupakan perjalanan pertamanya di Makkah.

Meskipun tujuannya ke Tanah Suci itu adalah untuk menunaikan ibadah, tetapi Ibnu Batutta juga sempat berguru dengan beberapa orang sarjana terkenal di Mesir, Syria dan Hejaz (barat Arab). Pengajiannya membuatkan beliau layak bekerja di pejabat kehakiman.

120,000 kilometer perjalanan

Ibnu Batutta telah memulakan siri pengembaraannya selama 29 tahun. Ia bermula di Tanah Suci, kemudian mengembara mengelilingi dunia. Antaranya di Afrika Utara, Afrika Barat, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India, Asia Tengah, China, Asia Timur dan Asia Tenggara.

Malah, boleh dikatakan hampir seluruh dunia Islam dijejakinya. Ada riwayat masyhur menyatakan, Ibnu Batutta menjejaki sebanyak 44 buah negara menerusi tiga siri pengembaraan.

Ibnu Batutta
MANUSKRIP Ibnu Batutta yang menceritakan pengalaman sepanjang pengembaraan beliau dan menceritakan tentang dunia Islam.

Menurut seorang sejarawan Barat, George Sarton, perjalanan Ibnu Batutta itu dikatakan melebihi jarak perjalanan Marco Polo, seorang pengembara Barat terkemuka.

Difahamkan, Ibnu Batutta telah melakukan perjalanan darat dan laut melebihi 120,000 kilometer. Barangkali ada yang menganggap pencapaian itu biasa. Namun, jarak berkenaan merupakan pencapaian yang luar biasa dan tidak boleh ditandingi pada zaman berkenaan.

Menariknya, Ibnu Batutta berkelana bukan kerana alasan klise pengembara iaitu untuk berdagang, ziarah atau menuntut ilmu, sebaliknya, cendekiawan itu memilih untuk melakukan pengembaraan untuk diri sendiri yang memang meminati mempelajari tentang negara-negara dan orang-orang baharu. Mudah kata, beliau ingin meneroka keindahan bumi ciptaan ALLAH SWT.

Setelah berpuluh tahun menghabiskan usianya untuk mengembara, Ibnu Batutta kemudian kembali ke Maghribi. Beliau menjadi hakim di negaranya sendiri. Ketika itulah, beliau membukukan segala perjalanannya hampir tiga dekad itu sambil dibantu oleh jurutulis Sultan Maghribi ketika itu, Ibnu Juza.

Nukilannya yang terkenal ialah Nuzzhar fi Ghara’ib al-Amshar wa ‘Aja’ib al-Asfar. Satu lagi karangan beliau yang masyhur ialah Rihlah Ibnu Battuta yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa termasuk bahasa Melayu yang berjudul Pengembaraan Ibn Batuttah: Pengembara agung, karya terulung, menyingkap wajah dunia.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Ya, demikianlah yang dilalui oleh Ibnu Batutta. Tidak boleh dinafikan, siri pengembaraannya itu memberi sumbangan signifikan dalam ilmu geografi, sejarah, ilmu sosiologi dan antropologi dan ekonomi.

Beliau meninggalkan dunia buat selama-lamanya pada 1368 Masihi di bumi kelahirannya, kota Tangier.

PFOFIL

Ibnu Batutta
ILUSTRASI wajah Ibnu Batutta yang terkenal sebagai ‘pelancong’ paling berpengalaman.

Nama: Abu Abdullah Muhammad ibn Abdullah aI-Lawati al-Tanji Ibnu Batutta

Gelaran: Ibnu Batutta

Asal: Tangier, Maghribi

Tahun kelahiran: 1304 Masihi

Tahun kematian: 1368 Masihi

Kepakaran: Pengkaji undang-undang, hakim, tokoh pengembara

Karya agung: Nuzzhar fi Ghara’ib al-Amshar wa ‘Aja’ib al-Asfar dan Rihlah Ibnu Batutta

BAIT MUTIARA

“Pengembaraan – ia memberikan anda rumah di ribuan tempat yang aneh, lalu membuatkan anda menjadi orang asing di tanah anda sendiri.” -Ibnu Batutta