PERASAN atau tidak, kalau kita pergi ke pasar malam atau pasar pagi, jarang sekali kita melihat harga barang dipamerkan.

Kalau ada pun, kebanyakannya untuk barang-barang basah saja macam ikan, ayam dan sayur. Tapi kalau makanan atau lauk-pauk, jarang sekali nampak tanda harga.

Bila dah pilih dan nak bayar, barulah kita tahu berapa harga yang perlu dibayar untuk makanan atau barang yang kita pilih tadi.

Dari segi undang-undang memang salah. Tapi kalau dalam Islam, ia kelihatan seolah-olah kelihatan ada elemen gharar (ketidakpastian atau ketidaktentuan). Betul ke kat pasar malam pun boleh jadi elemen gharar hanya sebab tiada tanda harga?

Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman merungkaikan jawapannya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, Rasulullah SAW melarang menguruskan perniagaan dengan gharar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim.

Menurut istilah syariah, kata beliau, gharar bermaksud apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak. (Bada’i As-Sonai’e, Al-Kasani, 5/263; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)

Sementara itu, jelas beliau, jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas sama ada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar.

“Justeru, secara ringkasnya, semua kategori di atas adalah termasuk dalam kategori jahalah dan boleh juga dikategorikan sebagai gharar atau ketidaktentuan,” katanya memetik hantaran di Facebook miliknya.

Tidak meletakkan tanda harga adalah cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada gharar fashiyh atau ketidakpastian yang besar yang merosakkan akad, jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Jual barang ‘indah khabar daripada rupa’, hasil pendapatan boleh ‘jatuh’ haram)

Iklan

“Pun begitu, dalam konteks membeli di pasar atau bazar Ramadan, tahap gharar ini telah menjadi berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan.

“Selain itu, nilai harga pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya disekitar bawah RM100 sahaja.

“Jika makanan pula, biasanya sekitar RM30 ke bawah purata nilai pembelian. Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka pada saat itu tidak menjadikan gharar dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan akad, ia digelar gharar yasir atau gharar yang kecil,” katanya.

Gharar
TIDAK kiralah apa jenis perniagaan yang dilakukan, pastikan pelanggan maklum tentang harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan atau perkhidmamatan yang ditawarkan.

Tapi situasi itu berbeza jika seorang pesakit bertemu doktor atau pemilik kereta membawa kenderaan masing-masing ke bengkel, kata Zaharuddin.

Iklan

Kedua-dua tempat itu, jelas beliau, kebiasaannya ada elemen gharar dalam harga. Malah, ia lebih ‘bahaya’ kerana ia melibatkan nilai yang lebih besar dan sukar untuk dibatalkan atau ditarik semula.

“(Dalam situasi ini) Pelanggan seolah terpaksa membayar walau tidak bersetuju dengan harganya. Oleh kerana itu, elok semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas daripada gharar atau tidak.

“Paling mudah adalah dengan menghubungi pelanggan atau pesakit sebelum membuat apa-apa pembaikan dan rawatan yang berkos tinggi, dapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu akan menghilangkan gharar tersebut,” jelas beliau.

Kepada para peniaga, pastikan maklumkan harga kepada pelanggan siap-siap sebelum mereka beli atau mendapatkan khidmat kita.

Bukan apa, kita nak rezeki yang diperoleh nanti berkat dan orang juga suka dengan apa yang kita jual.

Sumber: Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman