SEBUT sahaja nama Imam Ibnu Katsir, ramai dalam kalangan kita sinonim dengan namanya. Masakan tidak, beliau begitu sinonim dengan Kitab Tafsir al-Quran al-Karim atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Katsir. Naskhah agung itu begitu popular di setiap penjuru dunia termasuk di Malaysia.

Bukan sahaja ilmu tafsir, cendekiawan Islam yang sangat dihormati itu turut menguasai ilmu hadis, sejarah dan fiqh.

Menjejaki sisi peribadinya, Imam Ibnu Katsir atau nama lengkapnya Ismail ibn ’Amr ibn Kathir ibn Daw ibn Kathir dilahirkan di Busra, Syria pada tahun 702 Hijrah bersamaan 1301 Masihi.

Beliau menerima asuhan bapanya yang juga seorang ulama faqih sebentar sahaja. Pada usianya enam tahun, bapa beliau meninggal dunia. Dirinya kemudian dijaga oleh abangnya, Abdul Wahab di Damsyik.

Abdul Wahab telah mendidik Imam Ibnu Katsir sebagaimana didikan keluarga mereka yang taat beragama dan menjunjung nilai-nilai keilmuan. Bayangkan pada usia 11 tahun, tokoh hebat itu sudah menghafal al-Quran.

Kota Damsyik menjadi tempat pertama Imam Ibnu Katsir mendapat pendidikan. Guru pertamanya ialah Burhanuddin al-Fazari, seorang ulama Mazhab Syafie. Ulama terkenal yang pernah menjadi gurunya adalah seperti Ibnu Asyakir, Ibnu Syairazi dan Ibnu Taimiyah.

Nama Imam Ibnu Katsir mula menjadi sebutan apabila ilmuwan berkenaan terlibat dalam penelitian untuk menetapkan hukum terhadap seorang ahli bidaah pada zamannya.

Menjadi resam seorang cendekiawan akan mengembara. Demikian juga yang dilakukan oleh Ibnu Katsir. Beliau mengembara sehingga ke Mesir dan beberapa negara lain.

(Artikel berkaitan: Pengembara Islam tersohor, Ibnu Batutta keliling dunia hampir 30 tahun. Apa yang tokoh hebat ini cuba selami?)

Figura itu juga cukup bertuah apabila sempat mendengar secara langsung hadis-hadis daripada ulama Hejaz selain berjaya memperoleh ijazah daripada Al-Wani.

Kuasai pelbagai ilmu

Keintelektualan dan kepakaran yang dimiliki Imam Ibnu Katsir memberikan merit kepadanya untuk diangkat menjadi ketua di Dar al-Hadis al-Asyrafiah (Lembaga Pendidikan Hadis) pada tahun 1355.

Bukan itu sahaja, beliau juga menulis banyak kitab ilmu hadis. Antara karyanya yang terkenal termasuklah Kitab Jami al-Masahid wa as-Sunan sebanyak lapan jilid.

Ibnu Katsir
IBNU KATSIR telah
meninggalkan satu pustaka ilmu yang cukup bernilai kepada umat Islam. Meskipun beliau sudah pergi buat selama-lamanya
pada 1373 Masihi, Kitab Tafsir al-Quran al-Karim sentuhannya masih digunakan oleh generasi pada hari ini dan selama-lamanya.

Guru besar di Masjid Ummayah Damsyik itu dikatakan telah menggunakan metod tafsir yang paling benar iaitu tafsir al-Quran dengan al-Quran. Jika tidak ditemui dalam al-Quran, maka ia ditafsirkan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, ilmuwan itu juga sentiasa menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang terdapat dalam tafsirannya sama ada sahih, hasan, da’if, gharib, munkar dan sebagainya. Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh tafsir yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Katsir.

Antara penulisan beliau yang begitu terkenal adalah Tafsir al-Quran al-Karim sebanyak 10 jilid. Berabad-abad lamanya kitab ini menjadi rujukan sehingga kini. Selain itu, antara karya monumentalnya yang terkenal termasuklah Kitab Fada’il al-Quran yang memerihalkan tentang ringkasan sejarah turunnya kalam ALLAH.

(Artikel berkaitan: Tak boleh tafsir al-Quran semberono, ini penjelasan lanjut untuk kita fahami dasar ilmu tafsir kalam ALLAH)

Hasil karyanya juga tidak terhad kepada dua bidang berkenaan, tetapi turut merangkumi ilmu sejarah dan fiqh.

Sesungguhnya, keintelektualan Imam Ibnu Katsir tidak boleh disangkal lagi. Malah, beberapa ulama besar turut mengakuinya.

Antaranya Muhammad Husain al-Zahabi dalam al-Tafsir wa al-Mufassirun menyatakan: “Ibnu Katsir telah menduduki posisi yang sangat tinggi dari sisi keilmuan dan para ulama menjadi saksi terhadap keluasan ilmunya, penguasaan teorinya khususnya dalam bidang tafsir, hadis dan sejarah.“

Ibnu Katsir

Ibnu Katsir meninggal dunia di Damsyik pada tahun 774 Hijrah bersamaan 1373 Masihi.

Iklan

BAIT MUTIARA

“Barang siapa yang memiliki sifat berikut iaitu senantiasa beristighfar dan taubat, nescaya ALLAH akan lancarkan rezekinya, mudahkan urusannya dan jaga kekuatannya.” – Ibnu Katsir

PROFIL

Nama: Ismail ibn ’Amr ibn Kathir ibn Daw ibn Kathir

Gelaran: Imad al-Din Abu al-Fida’

Iklan

Asal: Busra, Syria

Tahun kelahiran: 702 Hijrah (1301 Masihi)

Tahun kematian: 774 Hijrah (1373 Masihi)

Kepakaran: Ilmu tafsir, hadis, sejarah dan fiqh

Karya agung: Tafsir al-Quran al-Karim, Fada’il al-Quran, Jami al-Masahid wa as-Sunan dan Adillah at-Tanbih li Ulum al-Hadits

Sumber & Foto: kiasedu.hex.my, republika.co.id, pecihitam.org, gramho.com, bacalatansa.com & Freepik